9 Tip Berkesan Didik Anak Suka Membaca Tanpa Dipaksa

  • Reading time:4 mins read
  • Post category:Komunikasi

Dr Azizah Ugusman

Dr. Azizah Ugusman Pensyarah Perubatan, Jabatan Fisiologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ramai ibu bapa mahukan anak-anak yang minat dan pandai membaca. Kebolehan membaca sangat diperlukan oleh anak-anak kerana ia merupakan pintu utama untuk mereka memperoleh maklumat baharu, berkomunikasi dan mengembangkan daya imaginasi mereka. Jadi, bagaimana ingin memikat anak supaya minat membaca? Berikut saya kongsikan sembilan tip mudah yang ibu bapa boleh praktikkan untuk memupuk minat membaca di kalangan anak-anak, tanpa perlu memaksa mereka. Tip ini telah saya amalkan sendiri pada anak-anak saya yang kini berumur antara 10 bulan hingga 10 tahun.

Tip 1- Ibu bapa sebagai model

Tip ini merupakan tip yang paling penting. Sekiranya kita mahukan anak yang suka membaca, maka kita mestilah lebih dahulu suka membaca. Tunjukkan contoh kepada anak betapa seronoknya membaca, dan perlahan-lahan ajak anak ikut membaca bersama kita atau bacakan cerita untuk mereka. Anak akan meniru tabiat membaca ibu bapa. Jika anak lihat ibu bapa leka bermain telefon bimbit sahaja, bagaimanakah mereka mahu mencontohi kita?

Tip 2- Bermula awal

Biasakan anak dengan buku sejak kecil, hatta ketika anak masih di dalam kandungan lagi. Deria pendengaran merupakan antara deria terawal yang terbentuk pada bayi dan bayi boleh mendengar suara ibu. Ibu digalakkan untuk mengaji, membaca buku dan berbual-bual dengan anak di dalam kandungan. Jadikan buku sebagai objek yang tidak asing dalam hidup anak-anak. Melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

Tip 3- Buku yang sesuai

Gunakan buku yang sesuai mengikut peringkat umur anak. Contohnya, untuk bayi dan anak yang berumur di bawah 2 tahun, bacakan buku yang mempunyai gambar yang menarik, warna yang terang dan bahasa yang ringkas.

Tip 4- Luangkan masa

Sesibuk mana pun kita dengan aktiviti harian, luangkan sekurang-kurangnya 10 minit sehari untuk sesi membaca bersama anak. Jadikan sesi membaca ini sebagai rutin harian keluarga. Pilihlah waktu yang sesuai misalnya apabila kita dan anak berada dalam mood yang tenang, contohnya sebelum tidur.

Tip 5- Nada suara yang menarik

Pelbagaikan nada suara semasa membaca buku bersama anak. Bacaan yang mendatar dengan satu nada sahaja akan membuatkan anak-anak cepat bosan. Anak-anak akan bersemangat untuk mendengar cerita sehingga tamat sekiranya ibu bapa menggunakan nada yang menarik dan membuat bunyi-bunyi yang berkaitan seperti bunyi singa, bunyi katak atau apa sahaja bunyi yang dapat menambahkan pemahaman dan menarik perhatian mereka.

Tip 6 – Kunjungi perpustakaan/kedai buku

Gunakan masa terluang pada hujung minggu untuk membawa anak-anak berkunjung ke kedai buku atau perpustakaan walaupun kita tidak berniat untuk membeli atau meminjam sebarang buku. Biarkan anak-anak membaca di situ dan menghabiskan masa mereka dengan dikelilingi buku-buku.

Tip 7 – Hadiah buku

Raikan pencapaian anak-anak dengan memberi mereka buku sebagai hadiah. Jangan lokek untuk keluarkan duit membeli hadiah buku untuk anak. Bawa anak pilih sendiri buku apa yang mereka mahu beli dan baca.

Tip 8- Ruang membaca

Seperti mana di dalam rumah ada ruang khas untuk tidur, makan, mandi dan sebagainya, perlu juga ada ruang khas untuk membaca. Sediakan ruang membaca di rumah yang senang diakses oleh anak. Tidak perlu seluas perpustakaan, cukuplah dengan satu sudut yang selesa dan pencahayaan yang baik.

Tip 9- Peluk, cium dan puji

Selepas habis sesi membaca, peluk, cium dan pujilah anak-anak. Ini akan meningkatkan keyakinan diri mereka dan membuatkan mereka semakin suka membaca.

Kesimpulan

Apa yang paling penting ialah usaha ibu bapa untuk meluangkan masa membaca bersama anak-anak. Jadikan membaca satu budaya. Semoga berhasil!

Dapatkan buku-buku menarik di awalbooks.com untuk anak anda.  Hadiahkan buku yang telah memenangi ANUGERAH BUKU PERPUSTAKAAN NEGARA 2020 bertajuk DI MANA? DI MANA? kategori buku kanak-kanak. 

Hak cipta terpelihara. Artikel dan ilustrasi dalam laman web ini tidak boleh disalin atau diduplikasi secara keseluruhan atau sebahagian dengan apa cara sekalipun tanpa persetujuan secara bertulis daripada pemunya hak.