Ramai ibu bapa sering mengajar anak-anak mereka takut kepada sesuatu: orang asing, serangga, binatang, kegelapan dan hantu atau syaitan. Tujuan asalnya ialah untuk mengawal anak agar tidak terlalu berani dalam menjelajah dunia dengan minda inkuisitif / ingin tahu mereka memandangkan mereka masih tidak sedar akan bahaya yang mungkin ada. Namun begitu, kita biasanya melampau dalam isu ini sehinggakan ia merencat secara total naluri ingin tahu anak-anak dan mengakibatkan mereka menjadi paranoid dan risau tidak bertempat.
Manusia dilahirkan dengan naluri untuk melindungi diri daripada sesuatu yang mampu mengancam diri dan kerana itulah kita mempunyai sistem pertahanan diri tersendiri sama ada secara sedar mahupun di bawah sedar. Perasaan takut juga adalah sebahagian daripada naluri ini yang biasanya akan dibentuk dan dikembangkan oleh ibu bapa dan alam sekeliling. Naluri yang asalnya diguna untuk keadaan bahaya sahaja kadangkala dikembang kepada perkara yang tidak perlu dan tidak penting hanya untuk memudahkan kerja kita sebagai ibu bapa.
Seharusnya, perkara yang jauh lebih penting ialah dengan melorongkan naluri inkuisitif ini dengan bimbingan yang baik dalam suasana dan emosi yang selamat serta terkawal. Ibu bapa harus meminggirkan naratif takut hantu daripada jiwa anak-anak. Ketakutan yang anak-anak alami wajar didefinisikan dengan yang sebenarnya. Sebagai contoh, gelap bermaksud sesuatu yang tidak pasti dan tidak nampak. Maka yang harus dirisaukan bukan hantu tetapi kebarangkalian lain seperti terjatuh, terpijak benda berbahaya, terlanggar sesuatu dan sebagainya.
Budaya takut hantu perlu diubah kepada budaya percaya bahawa Allah Penguasa segalanya dan tiada apa yang mengatasi-Nya. Segala kerisauan, keinginan dan keperluan disandarkan kepada Yang Maha Pencipta dan bukannya kepada sesuatu yang tidak pasti dan tidak nampak. Kepercayaan kepada perkara ghaib tidak harus diiring dengan rasa takut. Ia harus diiring dengan pembuktian bahawa Allah mampu mencipta segala perkara yang kelihatan mahupun tidak, yang masing- masing ada tugas tersendiri.
Apabila keyakinan kepada Allah itu tinggi, maka anak-anak tidak lagi perlu takut kepada hantu dan sebagainya. Mereka bakal membesar menjadi orang yang yakin sepenuhnya dengan kekuasaan Allah dan tidak lagi merasakan bahawa makhluk lain mampu menggugat mereka.
Penyerahan total ini penting supaya tiada nilai kebergantungan kepada makhluk. Kebergantungan hanya berhak untuk Yang Maha Pencipta. Nilaian akidah ini penting supaya kita mampu membangunkan generasi yang yakin diri dan mampu menghadapi cabaran lain pada masa hadapan
Mencari-cari buku yang boleh mencetuskan perbincangan tentang emosi dengan anak anda?
***Layari https://eniaga.awal.my untuk mendapatkan buku-buku yang menarik berserta panduan untuk ibu bapa dalam Siri Cerdas Mengurus Emosi.