Aktiviti Bersukan bagi Kanak-kanak

  • Reading time:2 mins read
  • Post category:Kesihatan

Dr. Nor Anita Megat M. Nordin

Pengarah Penerbitan Awal

Aktiviti bersukan merupakan satu kaedah untuk mendapatkan kecergasan diri dan mengelakkan daripada risiko menghadapi obesiti. Termasuk dalam gaya hidup yang sihat, bersukan pada peringkat kanak-kanak sangat digalakkan tetapi berada pada tahap-tahap tertentu mengikut perkembangan umur mereka. Jadi, memilih aktiviti sukan yang tepat merupakan peranan ibu bapa bagi memastikan kecergasan anak-anak lebih terjamin.

Kanak-kanak pada usia dua hingga lima tahun telah berkemahiran dalam melakukan pergerakan asas. Walaupun begitu, perkembangan kanak-kanak pada tahap ini belum membolehkan mereka bermain sukan yang memerlukan undang-undang yang ketat dan kemahiran organisasi yang tinggi. Jadi, anak-anak pada peringkat umur tersebut memerlukan sukan yang lebih mudah untuk difahami.

Sebagai contoh, aktiviti berlari, memanjat, menari, melompat dan permainan tangkap bola boleh menjadi pilihan kepada ibu bapa untuk dimainkan. Aktiviti sebegini tidak memerlukan jumlah pemain tertentu untuk menjayakannya. Cukuplah anak anda bersendirian. Pilih aktiviti yang lebih mudah dan boleh dilakukan di persekitaran tempat tinggal anda. Jika ruang rumah anda sempit, anda boleh mengadakan aktiviti menari di hadapan televisyen bersama si manja anda.

Apabila kanak-kanak semakin berusia, koordinasi kanak-kanak dan daya tumpuan mereka lebih teratur. Mereka juga berkemampuan untuk bekerjasama dalam satu pasukan. Kanak-kanak di usia enam hingga tujuh tahun sudah berupaya memahami sedikit demi sedikit perkara ini. Namun, perkembangan ini turut bergantung kepada persekitaran si manja sepanjang mereka membesar. Mereka sudah boleh diajar untuk bermain bersama-sama. Mereka boleh diperkenalkan dengan permainan seperti badminton dan bola sepak. Perkembangan ini bermaksud bahawa mereka telah menguasai lebih daripada sekadar kemahiran fizikal tetapi intelektual mereka juga makin terserlah.

Jika anda melihat anak anda tidak menggemari aktiviti sukan yang anda sediakan, anda perlu bersedia untuk mencari aktiviti yang lebih berpadanan. Ciri-ciri fizikal yang diperlukan untuk menguasai sesuatu sukan mungkin menyusahkan anak anda.  Ibu bapa selalunya terlalu memaksa dan tidak bertanya kepada anak-anak tentang keperluan sukan yang bagaimana diperlukan oleh anak anda.

Semakin anak anda membesar, mereka sudah mula mengetahui kebolehan diri dan batas bagi setiap sesuatu yang dilakukannya. Ibu bapa perlu memberi sokongan kepada aktiviti sukan yang ingin disertainya asalkan mereka sudah memahami kebaikan atau keburukan yang akan terjadi disebabkan tindakan yang dipilih.