Siapakah Ikon Coconut School?

  • Reading time:4 mins read
  • Post category:Pendidikan

Jameyah Sheriff

Konsultan Pendidikan & Penjagaan Awal Kanak-Kanak (ECCE)

Dalam usaha untuk merealisasikan impian saya menubuhkan Sekolah Belantara, saya cuba sebanyak mungkin melawat ke sekolah-sekolah yang mempunyai konsep dan prinsip yang sama dengan sekolah yang saya impikan. Dalam mencari amalan pembelajaran terbaik saya berpendapat konsep pembelajaran di Coconut School adalah yang paling dekat dengan hati saya kerana anak-anak bertanggungjawab ke atas pembelajaran mereka. Sekolah ini ditubuhkan pada 2013 oleh Ouk Vanday yang berasal dari Battambang, Kemboja.

 

Semasa kami sampai ke sekolah tersebut setelah melalui 4 jam perjalanan dari Bandar Raya Phnom Penh, Vanday rupa-rupanya tidak dimaklumkan akan kehadiran kami pada hari itu dan beliau sememangnya tidak bersedia. Setelah menjelaskan bahawa teman rapatnya yang mengendalikan semua berita beliau di sosial media yang memberi kebenaran untuk kami berkunjung ke sekolah tersebut, barulah beliau terus menjemput kami ke kafetaria. “I only have 20 minutes to brief you about my school … because I have a class to attend.”

 

Wah! Begitu berdedikasinya anak muda ini. Kami dimaklumkan bahawa dialah yang memasak, dialah yang mencuci sekolah, dan dia juga yang mengajar. Besar sungguh pengorbanan anak muda ini.

 

Beliau memulakan taklimatnya dengan memaklumkan bahawa sekolah ini diuruskan oleh beliau secara persendirian tanpa bantuan kerajaan mahupun NGO. Kerajaan hanya memberinya 4 hektar tanah dalam kawasan Taman Negara untuk membangunkan sekolah tersebut. Menurutnya lagi, beliau mempunyai sebuah lagi Coconut School di bandar tetapi hanya beroperasi pada hujung minggu kerana murid-murid di sana masih bersekolah di sekolah konvensional.

 

Apakah yang menimbulkan minat beliau untuk menubuhkan sekolah ini? Vanday menjelaskan, beliau gusar melihat rakyat menggunakan plastik dan membuangnya di merata tempat. Jadi beliau membuka sekolah yang menggunakan semula plastik yang dibuang dengan harapan masyarakat akan sedar bahawa plastik ini setelah dipakai masih boleh dimanfaatkan.

 

Tiada yuran dikenakan kepada pelajarnya, dan sebagai ganti setiap pelajar perlu membawa bahan-bahan buangan seperti plastik, botol, kotak dan lain-lain untuk digunakan dalam pembinaan sekolah mereka. Bagi menampung perbelanjaan operasi, Vanday membuka sekolahnya kepada pelancong untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti berkonsepkan penggunaan semula bahan terbuang. Begitulah gigihnya Vanday yang berkata beliau tidak akan berkahwin dan mempunyai anak andai kata beliau tidak dapat menyediakan tempat yang selamat untuk keluarganya. Jadi anak-anak seramai 70 orang inilah keluarganya.

 

Vanday yang kini berusia 36 tahun, meninggalkan dunia pekerjaan walaupun berkelayakan tinggi kerana beliau percaya dengan mendidik anak-anak tentang pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, dunia ini akan menjadi tempat yang lebih baik untuk generasi akan datang.

 

Kita memerlukan ramai lagi ‘Vanday’ bagi memastikan dunia ini menjadi tempat yang lebih selamat dan sejahtera untuk didiami. Bak kata Vanday, “Use your head to think and your heart to feel … and when both meet together you will create a better world.”

 

Saya ingin mengajak golongan muda di Malaysia untuk bersama-sama memanjangkan usaha Vanday demi masa depan generasi akan datang.

 

Bacaan Berkaitan : Apakah Sebenarnya “Pendidikan”?