ANAK KITA MENIPU?

Dr. Ahmad Rostam Md Zin

Dr. Ahmad Rostam Md Zin merupakan Exco Early Career Psychiatrist, Persatuan Psikiatri Malaysia. Beliau juga merupakan ahli Alumni Muslim Profesional Kesihatan Malaysia (IMPAK).

Berat betul tuduhan ini. Lagi-lagilah jika yang dituju itu adalah anak kita sendiri dan yang menuduh itu ialah kita sendiri sebagai ibu bapa. Untuk semua ibu bapa di luar sana sudah tentu pernah melalui situasi di mana anak kita tidak bercakap benar dan walaupun jelas kita tahu mereka tidak bercakap benar, masih lagi mereka kekal dengan apa yang mereka lakukan. Adakalanya, kita sebagai ibu bapa bakal naik angin kerana kerisauan kita bahawa anak sudah mula pandai menipu.

Persoalannya ialah benarkah anak kita sengaja berbohong atau menipu? Persoalan ini perlu dijawab berdasarkan peringkat umur anak tersebut.

Bagi anak yang berumur bawah 4 tahun sehinggalah mereka berada di peringkat prasekolah, kebarangkalian untuk mereka mengada-adakan cerita itu amat tinggi. Ia bermula dengan cerita yang datang dari imaginasi mereka berdasarkan apa yang mereka faham dari rangsangan sekeliling dan sebenarnya tiada kena mengena dengan realiti. Anak dalam peringkat umur yang terlalu muda cenderung untuk bermain menggunakan imaginasi dan ini menyebabkan mereka adakalanya keliru yang mana satu benar dan mana satu ditokok tambah.

Oleh kerana itulah, akan terdengar kisah jumpa telur dinosour, ternampak pelakon popular, mimpi alam fantasi dan macam-macam lagi yang diceritakan penuh semangat untuk perhatian ibu bapa mereka. Pada ketika ini, mereka belum lagi faham mengapa orang menipu dan konsep sengaja menipu untuk mendapatkan sesuatu itu belum lagi mereka fahami. Namun, reaksi kita kepada kisah dongengan mereka itu mampu membantu pembentukan emosi anak kerana perhatian daripada kita adalah makanan rohani mereka.

Apabila umur mereka menginjak ke zaman prasekolah dan sekolah rendah, mereka mula belajar mengada-adakan cerita. Mereka sudah pandai membezakan antara realiti dan fantasi umumnya dengan didikan ibu bapa dan juga kanak-kanak yang lebih tua. Pada ketika ini, tokok tambah cerita itu berdasarkan apa yang boleh diterima akal. Tidak lagi tentang dinosaur atau Puteri Disney. Umumnya, tujuan mereka masih sama iaitu untuk mendapatkan perhatian, memperoleh sesuatu daripada kita atau untuk menyembunyikan sesuatu. Mereka ini sedang bereksperimentasi dengan reaksi sosial atas cerita-cerita yang keluar daripada mulut mereka.

Di peringkat ini, anak tidak sewajarnya dimarahi. Dekati mereka dengan ehsan dan perbetulkan cerita mereka berdasarkan apa yang kita faham dan bertenang. Sekiranya mereka kekal dengan cerita-cerita ini, terus pupuk sikap untuk mereka berkata benar dan ganjar mereka kerana berkata benar. 

Semakin meningkat umur, menipu biasanya berkaitan dengan tingkah laku ingin melepaskan diri daripada sesuatu, mengelak daripada dihukum, menyembunyikan fakta kerana tahu ia boleh mendatangkan masalah dan macam-macam lagi. Pada ketika ini, sampai masanya untuk ibu bapa kekal tenang dan dekati anak untuk memahami mengapa menipu menjadi pilihan mereka. Pasti ada sebab mereka menipu dan kita juga kena jelas bahawa menipu bukan sesuatu yang boleh dikompromi. Yang lebih penting, anak ini perlu difahamkan bahawa kejujuran bakal diberi ganjaran walau sepahit mana kebenaran yang mereka sembunyikan. 

KESIMPULAN

  1. Anak tidak pandai menipu sehingga mereka diajar untuk menipu oleh situasi sekeliling mereka termasuk oleh ibu bapa, rakan dan orang lain.
  2. Anak yang mula menipu menunjukkan mereka ada masalah untuk berkata benar. Periksa tingkah laku kita yang mengakibatkan mereka jadi takut sebegitu.
  3. Tingkah laku menipu perlu dihapuskan dengan cara mengganjari kejujuran dan bertenang dengan kebenaran yang pahit.
  4. Menipu juga boleh berkait daripada isu di sekolah. Dapatkan input daripada guru atau rakan mereka. Periksa jika mereka ada dibuli di sekolah.

Dr. Ahmad Rostam Md Zin juga merupakan penulis buku kanak-kanak bersama AWAL. Empat karya beliau telah mendapat anugerah Sijil Kepujian Buku Terpilih oleh International Board on Books for Young People (IBBY) pada tahun 2021.  

Hak cipta terpelihara. Artikel dan ilustrasi dalam laman web ini tidak boleh disalin atau diduplikasi secara keseluruhan atau sebahagian dengan apa cara sekalipun tanpa persetujuan secara bertulis daripada pemunya hak.