5 Langkah Bijak Menjamin Keselamatan Anak

Nur Akmar Mohd Arif

Nur Akmar Binti Mohd Arif merupakan pensyarah di Jabatan Pendidikan, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM), Kolej UNITI, Port Dickson.

Keselamatan kanak-kanak di tadika adalah perkara yang perlu diutamakan pengusaha, ibu bapa dan guru. Ia penting bagi memastikan kanak-kanak dapat belajar dalam suasana yang kondusif dan harmoni sepanjang berada di tadika.

Antara hak kanak-kanak paling asas menurut jaminan UNICEF adalah hak keselamatan. Perkara keselamatan yang perlu dititiberatkan pengusaha dan guru khususnya adalah polisi pengambilan kanak-kanak di tadika. Guru bertanggungjawab dalam memastikan kanak-kanak diambil ibu bapa atau ahli keluarga yang dikenali sahaja dengan selamat apabila tiba waktu balik bagi mengelak daripada berlakunya kejadian yang tidak diingini seperti kes penculikan dan sebagainya.

Persekitaran yang selamat serta peranan guru sebagai contoh perlakuan selamat di tadika dapat menjamin keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak sepanjang keberadaannya di tadika. Para guru bertanggungjawab mengawal selia perlakuan kanak-kanak supaya tindakan mereka terkawal semasa dalam jagaan guru termasuklah semasa waktu balik.

Sehubungan dengan itu, para guru perlu peka kepada aspek keselamatan kanak-kanak jagaannya supaya sentiasa berada dalam keadaan yang selamat sebelum dikembalikan kepada ibu bapa atau penjaga.

Bagi menjayakan polisi pengambilan kanak-kanak yang selamat dan meyakinkan, terdapat 5 langkah yang boleh dilakukan apabila tibanya waktu balik.

  1. Kanak-kanak diminta beratur untuk mengambil beg masing-masing.
  2. Kanak-kanak perlu beratur di hadapan guru sebelum balik.
  3. Kanak-kanak membaca doa beramai-ramai sebelum balik dengan bimbingan guru.
  4. Kanak-kanak bersalaman dengan guru sebelum balik.
  5. Guru mengiringi kanak-kanak ke pintu utama dan dikembalikan dalam keadaan selamat kepada ibu bapa atau penjaga masing-masing.

Kesimpulannya, aspek keselamatan kanak-kanak meliputi juga proses mengembalikan kanak-kanak kepada ibu bapa dan penjaga apabila tamat tempoh mereka di tadika dalam keadaan yang selamat. Ini penting bagi mengelak perkara yang tidak diingini kerana ‘malang sentiasa tidak berbau’. Hakikat yang perlu diterima, persekitaran fizikal tadika yang selamat dapat memberi impak positif kepada keselamatan dan kesejahteraan emosi kanak-kanak.