Kanak-kanak Berimaginasi

Dr. Nor Anita Megat M. Nordin

Pengarah Penerbitan Awal

Imaginasi boleh dikategorikan sebagai imej yang ditimbulkan fikiran yang tidak wujud di dunia nyata. Ia boleh mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak jika daya imaginasi mereka menguasai pemikiran realiti. Jika daya imaginasi mereka berlebihan sehingga mempengaruhi kehidupan seharian, ibu bapa perlu berasa risau dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Kanak-kanak yang masih kecil langsung tidak memahami apa-apa entiti seperti hantu, raksasa, dan segala makhluk-makhluk yang berkenaan. Namun, akan tiba saat di mana mereka mula mengandaikan sesuatu yang tidak pernah mereka rasai. Mereka mula menunjukkan rasa takut dan perkara yang menjadi kebiasaan seperti tidur sendirian tidak lagi menjadi perkara yang dirasakan selamat baginya.

Artikel berkaitan: Allah kan Ada di https://awal.my/allah-kan-ada/

Pada saat ini, anda akan mengalami kesukaran untuk meyakinkan mereka bahawa bilik tidur mereka tidak dihuni sebarang makhluk. Masalahnya, dunia pada hari ini banyak menghasilkan sesuatu yang berbentuk imaginasi. Daripada filem di layar perak dan membawa ke kaca televisyen, setiap darinya mencambah benih imaginasi yang mungkin keterlaluan. Selain itu, anak anda yang selalu bermain dalam melakonkan sesuatu peranan telah menyerap imaginasi yang mengganggu mereka.

Sebagai ibu bapa, anda boleh mengubah sisi gelap imaginasi mereka kepada sesuatu yang lebih baik. Sebagai contoh, anda boleh menyuruh mereka melukis gambar makhluk yang menakutkan atau pun membinanya dengan menggunakan tanah liat. Pastikan mereka melakukannya pada waktu pagi, dengan itu mereka tidak akan takut. Setiap karya seni yang dihasilkannya boleh menjadi sesuatu yang melucukan dan boleh membuatkan anak anda tersenyum riang.

Selain itu, anda harus mengelak dari membuka rancangan yang menayangkan tema seram. Malangnya di Malaysia, pengkarya kini lebih memilih untuk menghasilkan karya bergenre seram yang kurang mendidik masyarakat selain hanya menayangkan hantu-hantu hodoh dan mengangkat jalan cerita yang buruk. Oleh itu, ibu bapa perlu memilih rancangan televisyen yang baik dan sesuai untuk tontonan anak-anak anda.

Imaginasi dan realiti bukanlah sesuatu yang sukar untuk dibezakan. Kebanyakan darinya wujud dalam dunia yang nyata manakala sebahagiannya dibentuk melalui pemikiran manusia. Pelbagai kaedah seperti permainan kreatif, membuat arca tanah liat, melukis, mewarna, menghasilkan kolaj dan membuat kostum boleh dijadikan platform yang berkesan bagi menyampaikan visi imaginasi dan peranannya dalam alam realiti.

Kanak-kanak yang memenuhi aktivitinya dengan aktiviti sebegini dapat mengikis tumpuan mereka terhadap media. Sedikit sebanyak, ibu bapa mampu mengawal kegiatan anak-anak dengan imaginasi yang lebih bernilai.