Didik Anak Mengemas dari Kecil

Monalisa Harun Chong

Mempunyai pengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang prasekolah sebagai guru prasekolah dan penyelia.

Sakitnya mata bila tengok kasut bersepah-sepah. Pemandangan sebegini selalu berlaku di rumah, tadika, hatta di masjid dan di surau-surau.

Mengapa perkara ini berlaku? Adakah konsep bersepah-sepah melambangkan kehidupan kita?

Jika kita masih tidak sedar keadaan rumah yang bersepah, kita perlu lakukan sesuatu. Anak-anak tidak lahir dengan pakej suka kasut bersepah. Mereka lihat dan hidup dengan cara kita menyusun atur keadaan rumah kita.

Ajarilah anak mengemas sedari mereka kecil lagi. Walaupun pada pandangan kita perbuatan menyusun kasut bukan satu perkara yang penting pun. Usah pelik jika sekecil-kecil perbuatan ini mampu mengajar mereka erti tanggungjawab dan bertimbang rasa.

Mulakan dari sekarang, ajar mereka untuk mengemas rumah bersama-sama, bergilir-gilir menyusun kasut ahli keluarga, basuh pinggan dan cawan yang telah dipakai, basuh tandas dan pelbagai lagi tugasan harian yang boleh dipupuk dalam diri anak-anak.

Semua di atas adalah antara pembelajaran secara tidak langsung untuk mendidik jiwa dan kasih sayang dalam keluarga.