5 Tip Keselamatan Semasa Aktiviti Main Air

  • Reading time:3 mins read
  • Post category:Pendidikan

Nur Akmar Mohd Arif

Nur Akmar Binti Mohd Arif merupakan pensyarah di Jabatan Pendidikan, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM), Kolej UNITI, Port Dickson.

Aktiviti main air atau berenang merupakan antara aktiviti yang menjadi kesukaan kanak-kanak baik di rumah, taska mahupun di tadika. Aktiviti ini dapat memberi kegembiraan dan keseronokan kepada kanak-kanak kerana air bersifat terapeutik yang menjadi terapi ketenangan, menghilangkan tekanan serta kebosanan dalam kalangan kanak-kanak. Walaubagaimanapun, kemalangan atau kecelakaan boleh berlaku di tempat main air jika aspek keselamatan tidak dititikberatkan sepanjang aktviti main air dijalankan. Maka, ibu bapa dan pendidik di taska mahupun tadika perlu membuat persediaan senarai semak keselamatan semasa aktiviti main air dijalankan bagi memastikan kanak-kanak beraktiviti dalam persekitaran fizikal dan emosi yang selamat.

Jom ikuti 5 tip keselamatan semasa aktiviti main air dijalankan di rumah, taska atau tadika!

1. Pastikan air bersih

Ibu bapa atau guru perlu memastikan air yang digunakan untuk aktiviti main air adalah bersih, tidak keruh, dijauhi daripada najis binatang, tidak berbau dan selamat untuk digunakan oleh kanak-kanak. Air juga perlu dipastikan sentiasa bertutup jika tidak digunakan bagi mengelak kehadiran jejentik yang boleh menjejaskan kesihatan kanak-kanak.

2. Pakaian yang sesuai

Ibu bapa atau guru perlu memastikan pakaian mandi yang sesuai dan selesa dipakai oleh kanak-kanak semasa main air. Jauhi pakaian yang boleh menyekat pergerakan kanak-kanak semasa aktiviti main air bagi mengelak risiko kemalangan.

3. Peralatan main air yang selamat

Peralatan main air yang digunakan perlulah bersih, tahan lama, tidak berkarat, tidak tajam dan tidak mudah rosak seperti pelampung, goggle, gayung dan apa sahaja yang boleh digunakan, disesuaikan dan dimanfaatkan dalam aktiviti main air! Ini bagi memastikan kanak-kanak dapat meneroka segala bahan dan peralatan main air yang selamat dalam persekitaran yang selamat.

4. Kedalaman air yang bersesuaian

Kedalaman air yang digunakan untuk aktiviti main air perlulah cetek dan bersesuaian dengan tahap umur kanak-kanak. Ingat… membiarkan kanak-kanak mandi di kolam renang yang mempunyai kedalaman air yang tidak bersesuaian boleh menyebabkan risiko lemas.

5. Pemantauan orang dewasa

Ibu bapa atau guru bertanggungjawab memantau aktiviti kanak-kanak semasa main air. Elakkan membiarkan kanak-kanak bersendirian atau membiarkan mereka bermain sesama rakan sebaya tanpa pemantauan guru kerana ‘malang tidak berbau’. Jelaskan pada kanak-kanak peraturan dan prosedur semasa bermain air dengan menggunakan arahan yang mudah difahami seperti mengingatkan mereka supaya beratur sebelum masuk ke kolam renang, tidak menolak kawan dan membaling pelampung bagi mengelak kemalangan yang tidak diingini.

Kesimpulannya, tip keselamatan semasa bermain air perlu diambil berat oleh guru bagi memastikan kanak-kanak dapat meneroka aktiviti bermain air dalam persekitaran yang selamat dan meyakinkan!