5 Hikmah Pelukan Ibu Bapa Terhadap Si Manja

Nur Akmar Mohd Arif

Nur Akmar Binti Mohd Arif merupakan pensyarah di Jabatan Pendidikan, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM), Kolej UNITI, Port Dickson.

Memeluk anak merupakan salah satu ekspresi rasa sayang yang sangat perlu ditunjukkan oleh ibu bapa kepada anak. Galakan, pujian dan penghargaan yang diterima seiring dengan pelukan akan meningkatkan rasa kasih sayang dan  keyakinan diri si anak dalam persekitaran yang meyakinkan. Berikut merupakan 5 hikmah daripada kuasa pelukan ibu bapa terhadap si manja yang perlu diketahui!

1. Mengawal emosi anak meragam

 Pelukan penting untuk membina kapasiti otak dan memberi ketenangan kepada si manja. Apabila si manja sedang sedih atau mengamuk, peluklah dengan penuh kasih sayang untuk meredakan kesedihan atau kemarahannya. Ucapan yang dilafazkan juga perlulah seiring dengan gaya bahasa sambil menenangkannya dengan pelukan. Contohnya ungkapan “Kenapa sayang mama ni menangis? Anak mama kan kuat macam mama”. Ini dapat meningkatkan keseimbangan dan kepercayaan anak terhadap ibu selain memberi ketenangan kepada si manja.

2. Meningkatkan kecerdasan anak

Pelukan dapat merangsang perkembangan sel otak anak. Otak kanak-kanak membesar melalui tindak balas yang diterima dari persekitaran. Ia menghubungkan sendi wayarnya dengan organ pemikiran dan emosi berdasarkan pengalamannya. Kajian menunjukkan bahawa anak yang sering dipeluk akan menjadikannya lebih kreatif dan cerdas mindanya. Ucapan positif dan diiringi dengan pelukan dapat merangsang si anak untuk lebih berimaginasi dalam sokongan persekitaran yang selamat dan meyakinkan.

3. Meningkatkan harga diri anak

Sentuhan dan pelukan merupakan ekspresi rasa sayang yang sangat perlu ditunjukkan agar anak rasa kehadirannya dihargai. Ini akan memberi kesan positif kepada kestabilan emosi, pembentukan peribadi yang baik serta meningkatkan kepercayaan diri. Jalinan emosi yang positif ini secara tidak langsung mendidik anak-anak untuk menyayangi, menghargai dan sentiasa berbuat baik dengan orang sekeliling seperti guru, rakan sebaya dan jiran tetangga.

4. Membentuk ikatan emosi yang positif

 Pelukan daripada ibu bapa mampu mengurangkan tekanan kepada si anak. Kanak-kanak dan ibu bapanya secara biologi terikat untuk membentuk satu ikatan emosi. Contohnya, bayi yang diletakkan pada dada ibunya dapat merasakan degupan jantung si ibu dan merasakan belaian hangat kasih ibunya hingga wujud jalinan ikatan emosional serta kelekatan yang kuat di antara keduanya. Ini penting bagi merangsang perkembangan emosi positif anak.

5. Keselamatan dan perlindungan

Dalam keadaan berbahaya, pelukan sangat diperlukan oleh seorang anak supaya anak tersebut merasakan ketenangan dan menghilangkan ketakutan. Anak yang sedang membesar juga perlu diberi petunjuk mengenai tingkah laku yang selamat untuk ditiru dan tempat yang selamat untuk dituju. Perbuatan yang “tidak dibenarkan” perlulah seiring dengan kuasa pelukan ibu bapa yang dapat meningkatkan keyakinan si anak terhadap ibu bapanya.

Contohnya seperti ungkapan “Sayang… tempat itu berbahaya… kamu tidak boleh pergi ke sana” dengan ton suara si ibu yang lemah lembut tetapi tegas sambil mengusap belakang anak pada masa yang sama. Penggunaan bahasa yang lemah lembut seiring dengan pelukan mesra kepada anak akan membuatkan si anak memahami penerangan dan tujuan kita yang sangat mengambil berat serta mahu melindunginya.

Kesimpulannya, ibu bapa perlulah merasakan kesungguhan di sebalik kuasa pelukan terhadap anak. Ini memberi ketenangan jiwa kepada anak dalam aktiviti seharian yang dilaluinya. Hikmah sentuhan dan pelukan itu sendiri boleh meningkatkan rasa kepercayaan dan keseimbangan anak terhadap ibu bapa dan seterusnya merangsang perkembangan menyeluruh si anak.