Tolong! Adik takut Labah-labah!

Dr. Shalisah Sharip Dr. Aishah Hani Azil

Dr. Shalisah Sharip merupakan pakar psikologi klinikal dan pensyarah kanan Jabatan Psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia. Dr. Aishah Hani Azil merupakan pensyarah kanan di Jabatan Parasitologi & Entomologi Perubatan, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kita sering terdengar jeritan, “Eee … takutnya … gelinya!” apabila seseorang melihat sama ada  lipas, labah-labah, kucing, katak atau tikus dan sebagainya. Bagi kanak-kanak, jeritan ini kadangkala diikuti dengan tangisan yang berpanjangan jika binatang kecil atau serangga tersebut masih berada di hadapan mereka. Ada yang terus berlari apabila berhadapan dengan binatang atau serangga tersebut.

Mengapakah anakku takut kepada serangga ini? Adakah ia sesuatu yang serius? Orang sekeliling terutamanya adik-beradik malahan ibu bapa sendiri juga akan memperlekeh atau tidak percaya kepada anak mereka jika si anak memberitahu yang dia takut kepada serangga. Mereka akan diketawakan dan yang paling teruk dibaling dengan serangga mainan serupa dengan serangga yang ditakuti tersebut. Ini akan hanya menambahkan  ketakutan anak yang terbawa-bawa sehingga dewasa.

Pengamal pakar perubatan pula memperhalusi dan mengkategorikan ketakutan kepada tiga jenis iaitu takut, fobia dan bimbang. ‘Ketakutan’ adalah tindak balas emosional terhadap ancaman yang nyata atau yang dirasakan, sedangkan ‘kebimbangan’ adalah menjangkakan terdapatnya ancaman masa depan, manakala ‘fobia’ pula  adalah gangguan kecemasan yang melibatkan ketakutan atau kebimbangan  yang berlebihan atau berkaitan dengan sesuatu objek spesifik atau keadaan. Darjah ketakutan dan tempoh masa yang lama berada dalam keadaan ketakutan yang berterusan merupakan ciri-ciri utama yang membezakan antara ketakutan dan fobia.

Secara umumnya, ketakutan adalah suatu perasaan normal dan merupakan sebahagian daripada proses perkembangan kanak-kanak yang membantu anak anda mempelajari dan menyelesaikan masalah. Perasaan takut dalam kalangan kanak-kanak ini bermula pada umur 6-8 bulan dan tertumpu kepada orang yang tidak dikenali. Mengikut kajian Muris dan rakan-rakan (1997), mereka mendapati kanak-kanak berumur 7-12 tahun paling banyak takut kepada labah-labah dikuti ketakutan kepada peperangan, dijangkiti penyakit, kegelapan, ular, perompak, tidak boleh bernafas, hantu dan mendengar ibu bapa bergaduh. Pengkaji Ollendick dan rakan-rakan pula (1997) menjelaskan ketakutan ini berbeza antara jantina, berubah mengikut umur dan tahap proses perkembangan seseorang.

Tindakan perlu diambil oleh ibu bapa apabila melihat ketakutan anak-anak ini mengganggu kehidupan harian dan menimbulkan perasaan tidak selesa atau menyebabkan anak merana. Perasan yang tidak selesa dan tertekan jika tidak dirawat boleh mengganggu aktiviti harian anak anda jika mereka berterusan terdedah kepada benda yang ditakuti. Ketakutan sebegini sering membuatkan emosi anak tidak selesa dan kadangkala menjelma dalam mimpinya. Selain mimpi, anak anda juga akan menunjukkan simptom seperti susah bernafas, pening, berpeluh, panik, menangis dan ingin lari dari tempat itu. Ibu bapa akan seringkali menjauhkan anak mereka daripada haiwan atau serangga yang ditakuti apabila mengetahui ketakutan anak mereka.

Individu yang mengalami ketakutan melampau terhadap sesuatu objek yang berada di luar kawalan diri seseorang individu itu, yang mungkin berbentuk situasi, haiwan atau pun manusia, diklasifikasikan sebagai menghadapi fobia spesifik. Justeru, fobia atau kebimbangan terhadap binatang atau serangga adalah tergolong sebagai fobia spesifik. Binatang yang selalu ditakuti oleh kanak-kanak meliputi anjing, kucing, ular, tikus, buaya, biawak dan serangga. Manakala serangga yang telah dikenal pasti menyebabkan ketakutan kepada kanak-kanak ialah labah-labah, lalat, lebah, semut, lipas, nyamuk, pepijat, cengkerik dan lalat kren (crane fly). Fobia kepada serangga dikenali sebagai entomofobia

Fobia spesifik kepada serangga dalam kalangan kanak-kanak tidak boleh dipandang remeh. Bagi mengendalikan masalah ini dengan cara yang betul, ibu bapa perlu terlebih dahulu mengenal pasti  punca atau pencetus ketakutan dan jenis serangga yang paling ditakuti oleh anak. Secara umumnya, ketakutan tercetus apabila anak tersebut menyaksikan ketakutan ibu bapa atau mana-mana orang yang dikenali terhadap serangga tersebut atau pernah mempunyai pengalaman terkena gigitan atau sengatan serangga. Entomofobia boleh menghalang kanak-kanak tersebut daripada bermain, bersukan, beriadah dan menjalankan aktiviti luar rumah seperti di taman permainan dan tempat rekreasi. Justeru, ibu bapa perlulah mendapatkan pandangan daripada pakar apabila mengesyaki anak mereka mengalami entomofobia supaya intervensi awal boleh diambil. Jika tidak, entomofobia boleh menjadi semakin kronik dan berlanjutan sehingga kanak-kanak itu dewasa.

Seandainya anak anda mengalami simptom awal fobia kepada serangga atau binatang, cara-cara seperti berikut boleh diikuti:

  1. Ibu bapa seharusnya tidak panik apabila berhadapan dengan serangga yang anak mereka takuti. Ini penting kerana anda harus menunjukkan contoh tingkah laku yang bersesuaian apabila berhadapan dengan serangga tersebut dimana anda perlu bersikap tenang dan berani. Tunjukkan perasaan sayang terhadap makhluk kecil ciptaan Tuhan ini.
  2. Tidak mengejek, mempersendakan dan mengugut anak yang mengalami entomofobia. Ibu bapa dan ahli keluarga perlu mempamerkan sikap empati dan memahami perasaan takut anak mereka. Adalah penting untuk memberitahu anak bahawa ketakutan ini adalah benar dan merupakan sesuatu yang normal. Bersabarlah dengan kerenah dan rawati perasaan anak itu mengikut keupayaannya mengendalikan ketakutan.
  3. Bercerita kepada anak mengenai maklumat asas tentang serangga seperti kebanyakan serangga tidak menggigit dan mempunyai peranan tertentu dalam ekosistem. Contohnya, lebah sebagai agen pendebungaan dan penghasilan madu. Jelaskan mengenai serangga mana yang berbahaya dan perlu dijauhi serta mana yang tidak berbahaya.
  4. Mengajak anak bermain dengan patung yang menyerupai serangga bagi mengurangkan perasaan takut sebelum berhadapan dengan serangga tersebut. Ibu bapa juga boleh menggunakan patung tersebut untuk berlakon seperti persembahan boneka (puppet) di rumah. Bercakap dengan anak semasa tidak berhadapan dengan serangga itu adalah untuk membolehkan dia meluahkan perasaan takutnya. Ini akan memudahkan anda memahami perasaannya dan mengendalikan perasaan tersebut.
  5. Mengajak anak melukis, mewarna dan membuat kraftangan berupa serangga.
  6. Galakkan mereka membaca buku yang melibatkan penceritaan mengenai serangga. Ibu bapa juga boleh menggalakkan mereka untuk bercerita kembali kepada ibu bapa atau adik-beradik yang lain.

Seandainya cara-cara di atas telah dilaksanakan tetapi anak anda masih lagi menunjukkan ketakutan kepada serangga, anda perlu membawanya berjumpa pakar bagi mendapatkan diagnosis yang betul dan rawatan desensitization (penyahpekaan) atau exposure therapy (terapi pendedahan) agar entomofobia boleh diatasi. Rawatan diberikan oleh ahli psikologi klinikal atau pakar psikiatri dengan mendedahkan anak secara berperingkat kepada serangga yang ditakuti dalam situasi yang terkawal sehingga anak boleh menghadapi serangga tanpa ketakutan. Mereka juga mengajar kemahiran bersesuaian kepada ibu bapa dan anak bagi menghadapi ketakutan kepada serangga tersebut. Ubat-ubatan boleh diberi seandainya ketakutan anak adalah sangat tinggi. Ini ditentukan oleh pakar psikiatri bagi meningkatkan keberkesanan terapi pendedahan terutamanya dalam kes ketakutan yang melampau.