Makanan Pelengkap Bayi: Buatan Sendiri Atau Komersial?

  • Reading time:7 mins read
  • Post category:Kesihatan

Oleh : Nur Fadzlin Syahira Rusly & Dr. Nor Aini Jamil

“Bagaimana acuan begitulah kuihnya”. Corak pemakanan anak boleh dibentuk oleh corak pemakanan ibu bapa mereka. Lazimnya, bayi akan makan hidangan yang diberikan oleh ibu bapa. Oleh itu, pemakanan awal anak anda boleh menjadi penentu tabiat pemakanan dalam kehidupannya.

Berdasarkan Panduan Pemakanan Malaysia 2014, bayi perlu diberikan susu ibu secara ekslusif sejak lahir sehingga berumur 6 bulan. Selepas itu, makanan pelengkap perlu diperkenalkan bagi membekalkan tenaga yang mencukupi untuk tumbesaran. Hal ini kerana nutrisi dalam susu ibu tidak mencukupi untuk menampung keperluan nutrisi bayi yang semakin meningkat. Oleh itu, pemberian makanan pelengkap sangat penting bagi mengurangkan risiko kekurangan zat makanan (malnutrisi).

Panduan pemakanan tersebut turut menyarankan pemberian makanan pelengkap buatan sendiri (homemade) tanpa sebarang gula dan garam tambahan. Saranan ini mungkin mudah untuk diikuti bagi golongan ibu yang tidak bekerja. Namun, bagaimana dengan para ibu yang berkerja? Saranan ini mungkin sukar untuk diikuti atas pelbagai faktor terutama sekali faktor masa! Oleh itu, makanan pelengkap komersial mungkin menjadi antara pilihan utama mereka. Sebagai ibu bapa, adakah anda tahu sama ada makanan pelengkap bayi di pasaran mempunyai nutrisi seperti yang dinyatakan?

Tahukah Anda?

  • Sebuah kajian di Taiwan pada tahun 2018 mendapati:
    • Produk makanan pelengkap komersial yang mendakwa “tiada gula tambahan” mengandungi nisbah kandungan gula lebih tinggi berbanding makanan pelengkap komersial biasa.
  • 20 – 30% produk makanan pelengkap komersial di pasaran yang mendakwa “sihat” mengandungi kandungan garam (sodium) yang tinggi.
  • 5% daripada produk makanan bayi di pasaran yang menyatakan “tiada perisa tambahan” mempunyai kandungan garam (sodium) yang tinggi.
  • Manakala kajian lain di Amerika Syarikat pada tahun 2015 mendapati:
  • 47% jumlah tenaga (kalori) di dalam makanan pelengkap bayi jenis bijirin campuran dan buah-buahan terdiri daripada sumber gula ringkas yang boleh meningkatkan paras gula dalam darah.

Justeru itu, faktor penambahan gula dan garam mungkin menyebabkan sebahagian makanan pelengkap komersial adalah lebih sedap berbanding makanan buatan sendiri. Hal ini amat membimbangkan kerana pendedahan awal bayi terhadap makanan tinggi gula dan garam boleh menyebabkan mereka lebih cendurung memilih makanan yang lebih manis dan masin kelak. Pengambilan garam dan gula yang berlebihan pada peringkat awal juga dapat meningkatkan risiko tekanan darah tinggi dan kencing manis (diabetes) peringkat awal di kalangan kanak-kanak.

Selain itu, corak pengambilan makanan yang tidak sihat juga boleh meningkatkan risiko obesiti di kalangan kanak-kanak yang kini telah menjadi satu wabak dan epidemik di Malaysia. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Negara pada tahun 2015 melaporkan seramai 14.8% kanak-kanak berumur 5 – 9 tahun adalah obes, diikuti 14.4% bagi kanak-kanak berumur 10 – 14 tahun.

Tidak dinafikan terdapat bayi dan kanak-kanak yang mempunyai sikap suka memilih makanan, lebih-lebih lagi ketika ingin memperkenalkan makanan baharu. Sebagai ibu bapa kita akan berasa lebih lega apabila anak makan apa sahaja yang dihidangkan kepada mereka. Namun faktor kualiti makanan hendaklah dititikberatkan berbanding kuantiti makanan semata-mata.

Sebagai ibu bapa, kita perlu mempertimbangkan antara kebaikan dengan keburukan pemberian makanan pelengkap komersial kepada bayi.  Teknologi kini hanya dihujung jari! Banyak pilihan resepi ringkas dan mudah boleh dijadikan panduan dalam penyediaan makanan pelengkap bayi anda, yang semestinya lebih sihat. Kebanyakan resepi hanya mengambil masa maksimum 15 minit sahaja dan boleh disediakan lebih awal dengan menggunakan cara penyediaan dan penyimpanan yang betul. Sekurang-kurangnya anda tahu apa yang anda berikan kepada bayi anda.

 TIP PENYEDIAAN DAN PEMBERIAN MAKANAN PELENGKAP BAYI

  • Perkenalkan hanya satu jenis makanan pada satu-satu masa pada peringkat permulaan.
  • Pastikan makanan dimasak sehingga lembut (contoh: kukus atau rebus) serta dipurikan sehingga halus sebelum dihidangkan kepada bayi berumur 6 – 8 bulan. Tambahkan susu ibu, atau susu formula ke dalam makanan yang telah siap dipuri bagi mengurangkan kepekatan sebelum diberikan kepada bayi.
  • Makanan yang dicincang atau dipotong kecil boleh diberikan kepada bayi berumur 9 – 11 bulan. Pada umur 12 bulan, kanak-kanak boleh makan makanan keluarga.
  • Makanan berdaging lebih mudah dikisar menggunakan mesin pengisar berbanding dilenyek secara manual.
  • Makanan yang telah siap dimasak boleh disimpan di dalam peti sejuk sehingga 24 jam (suhu 3°C atau lebih rendah) atau satu bulan di dalam bahagian sejuk beku (0°C atau lebih rendah).
  • Masukkan makanan ke dalam bekas kecil untuk memudahkan penyimpanan di bahagian sejuk beku.
  • Panaskan makanan yang telah dibekukan menggunakan ketuhar gelombang mikro (microwave) sehingga makanan lembut. Sejukkan pada suhu bilik selama 10 minit sebelum dihidangkan atau
  • Pindahkan makanan sejuk beku ke bahagian bawah peti sejuk sehari sebelum menghidangkannya atau rendam di dalam air suam.
  • Peralatan yang digunakan semasa penyediaan dan pemberian makanan pelengkap perlu bersih

  • Elakkan memberi jus buah kepada bayi sebelum tidur atau pada waktu malam.
  • Elakkan campuran makanan protein (contoh: ayam atau daging) dalam makanan berkanji (contoh: mee atau- nasi) jika makanan tersebut ingin disejukbekukan.
  • Elakkan merebus atau memasak sayur terlalu lama bagi mengelakkan kehilangan vitamin dan mineral.
  • Jangan biarkan makanan yang telah dimasak melebihi 2 jam pada suhu bilik.
  • Jangan bekukan semula makanan bayi yang telah dipanaskan.

Selamat mencuba. Demi kesihatan keluarga terutamanya untuk si Kecil, sediakanlah makanan sendiri sekerap mungkin.

Oleh:

Nur Fadzlin Syahira Rusly

Nur Fadzlin sedang mengikuti kursus Sarjana Pemakanan Klinikal,

Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dr. Nor Aini Jamil

Pensyarah, Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Rujukan:

  • Cogswell, M. E., Gunn, J. P., Yuan, K., Park, S. & Merritt, R. 2015. Sodium and Sugar in Complementary Infant and Toddler Foods Sold in the United States. Pediatrics 135(3): 416-423.
  • Kementerian Kesihatan Malaysia. 2008. Garis Panduan Pemberian Makanan Bayi Dan Kanak-Kanak Kecil. 1-114.
  • Koo, Y. C., Chang, J. S. & Chen, Y. C. 2018. Food Claims and Nutrition Facts of Commercial Infant Foods. PLoS One 13(2): e0191982.
  • Malaysian Dietary Guidelines for Children and Adolescents.
  • Ministry of Health Malaysia. 2015. National Health & Morbidity Survey 2015. Institute of Public Health.
  • World Health Organisation. 2019. Complementary Feeding. https://www.who.int/nutrition/topics/complementary_feeding/en/ [10th December].
  • Mahan, L.K, Escott-Stump, S., Raymond, J.L. 2011. Krause’s Food and Nutrition Care Process. 13th Edition. St. Louis, Missouri. Elsevier Saunders.