5 Panduan Penggunaan Gajet untuk Anak Anda

  • Reading time:3 mins read
  • Post category:Pendidikan

Syazwan Shaari

Syazwan Sha'ari merupakan pensyarah di Jabatan Pendidikan, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM), Kolej UNITI, Port Dickson.

Penggunaan gajet dalam kehidupan seharian bukan asing lagi bagi masyarakat kita. Ramai yang mengakui, lebih mudah jika anak-anak digula-gulakan dengan Ipad bagi mengawal tingkah laku anak jika berada di tempat awam. Tetapi, ramai yang tidak sedar, kesan yang boleh memudaratkan anak-anak kecil ini. Adakah anda tahu, bahawa rangsangan yang berlebihan dari penggunaan gajet ini boleh mengecutkan otak anak anda, terutamanya kanak-kanak yang berumur di bawah 3 tahun? Gajet yang dimaksudkan ini juga termasuklah penggunaan televisyen.

Kajian menunjukkan anak-anak di bawah umur 2 tahun yang dibiarkan menonton rancangan di televisyen terlalu lama akan mengalami efek negatif pada perkembangan bahasa, kemahiran membaca dan ingatan memori jangka pendek. Kesan menonton televisyen pada 2 tahun pertama juga akan mengganggu tidur dan tumpuan anak-anak apabila mereka meningkat dewasa.

Namun begitu, penggunaan gajet yang tidak terlalu lama sememangnya dibolehkan. Teknologi sememangnya memberi banyak manfaat kepada kita. Berikut ialah panduan penggunaan gajet.

1. Had masa

Tidak lebih 15 – 20 minit bagi satu-satu sesi penggunaan gajet bagi anak di bawah usia 2 tahun dan lebih kurang 2 jam dalam sehari bagi anak 2 tahun ke atas. Tempoh penggunaan bergantung kepada  usia anak.

2. Makan sambil menggunakan gajet

Makan sambil menggunakan gajet dan menonton televisyen akan membuat anak hilang fokus untuk menghabiskan makanannya atau membuat anak makan dengan lebih banyak kerana asyik menonton boleh mengganggu kebolehan anak merespon pada isyarat kenyang. Ini adalah salah satu punca obesiti.

3. Iklan

Pilihlah program tanpa iklan kerana iklan akan mengganggu anak untuk memahami jalan cerita yang ditonton. Ini kerana bahagian otak yang mengekalkan maklumat masa singkat anak belum berkembang secara sepenuhnya. Gangguan iklan akan membuat anak lupa jalan cerita sebelumnya lalu mendapat rumusan jalan cerita akhir yang salah. Ini amat tidak membantu usaha untuk melatih anak memanjangkan tempoh tumpuannya.

4. Pilih program

Pilih program-program yang menarik dan menghiburkan seperti program yang banyak pengulangan ayat, perkataan dan nilai yang ingin dipupuk. Pastikan juga rentak program tidak terlalu laju hingga menyukarkan anak kecil untuk mengikutinya. Pilih juga program yang menarik dari segi kandungan dan bahan paparannya supaya dapat menjadi contoh pembelajaran kepada kanak-kanak. Selain itu, program yang memberi peluang kepada kanak-kanak untuk melibatkan diri dan belajar bersama juga amat digalakkan.

5. Menggunakan gajet bersama anak

Menggunakan gajet bersama bukan sekadar merapatkan hubungan tetapi ia mewujudkan komunikasi 2 hala sebenar walaupun skrin/TV sedang digunakan.

Pendek kata, bukan alat atau teknologi yang harus dimusuhi, tetapi sikap melampau manusia atau ketidakbijaksanaan manusia dalam mengurus penggunaan bahan teknologi ini. Teknologi akan memberi banyak manafaat jika kita pandai memanfaatkan kelebihan itu.

Related Books