Sekolah Di Dalam Hutan?

  • Reading time:3 mins read
  • Post category:Pendidikan

Jameyah Sheriff

Konsultan Pendidikan & Penjagaan Awal Kanak-Kanak (ECCE)

Kredit Gambar : Sekolah Belantara, Sungai Dara, Behrang

Ada teman saya bertanya tentang perbezaan antara Coconut School di Kemboja dengan Green School di Bali. Bagi saya, sama ada namanya Coconut School, Green School, Sekolah Alam, Forest School, Bush School, Bamboo School dan lain-lain, semuanya mempunyai matlamat dan tujuan yang sama iaitu ingin membimbing anak-anak memahami tentang kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan mengintegrasikannya dalam pembelajaran yang lebih menyeluruh dan bermakna. Apabila anak-anak memahami matlamat ini, dengan sendirinya nilai murni dan jati diri turut terbina.

Bacaan Berkaitan : Apakah Sebenarnya “Pendidikan”?

Perbezaan setiap sekolah ini adalah pendekatan dan pelaksanaannya. Sekolah Alam di Indonesia mula ditubuhkan oleh Lendo Novo yang berasal dari Bandung pada tahun 1998 berdasarkan keprihatinannya terhadap biaya pendidikan yang menjadi semakin mahal dan melampaui  kemampuan masyarakat umum.

Lendo berpendapat bahawa yang menjadikan sekolah itu mahal adalah kerana infrastrukturnya, seperti bangunan, kolam renang, lapangan olahraga, dan lain-lain. Infrastruktur cuma menyumbang sekitar 10% sahaja terhadap kualiti pendidikan. Sedangkan 90% penyumbang utama kualiti pendidikan berpunca daripada kualiti guru, kaedah pembelajaran dan pengajaran yang tepat, dan buku yang sesuai sebagai gerbang ilmu pengetahuan. Ketiga-tiga variabel tersebut sebenarnya murah, asalkan ada guru yang mempunyai idealisme dan kepakaran yang tinggi.  Falsafah Sekolah Alam ini telah berkembang ke hampir setiap daerah di Indonesia yang turut menekankan latihan industri yang relevan bagi kawasan sekolah itu didirikan.

Green School yang terletak di Bali pula ditubuhkan oleh individu dari negara luar atas minatnya terhadap pendidikan alam sekitar yang lebih bersifat semula jadi dengan penggunaan pelbagai teknologi. Yurannya amat tinggi dan hanya mampu diikuti oleh anak-anak golongan ekspatriat. Walau bagaimanapun, kerajaan Indonesia menetapkan beberapa peratus tempatnya diberikan kepada anak-anak tempatan tanpa sebarang yuran. Pendekatan pembelajarannya adalah terbuka – pelajar boleh memilih untuk mengambil peperiksaan atau sebaliknya. Terdapat pelbagai tawaran latihan kepada yang berminat dari aspek pedagogi hinggalah menghadiri bengkel rawatan buluh. Ini kerana kebanyakan struktur sekolah ini dibina daripada buluh sehinggakan sekolah ini sudah menjadi salah satu destinasi pelancongan di Bali.

Bamboo School di Bangkok mempunyai persamaan dengan Sekolah Alam di Indonesia yang dibina oleh seorang warga tempatan. Sekolah ini memberi fokus kepada pendidikan pertanian dan keusahawanan. Uniknya sekolah ini adalah pelajar diberi kuasa membuat keputusan dalam pembelajaran mereka dan turut menggalakkan penglibatan ibu bapa dan komuniti.

Forest School di UK, Eropah dan Australia lebih memberi tumpuan kepada pendekatan pembelajaran yang menghargai alam semula jadi sebagai elemen penting dalam kehidupan kanak-kanak supaya mereka membesar dalam persekitaran yang lebih dekat dengan kehidupan sebenar manusia, tanpa meninggalkan ciri-ciri kehidupan moden yang serba mencabar.

Coconut School pula merupakan impian seorang pemuda yang mahu menukar kehidupan kanak-kanak yang kurang bernasib baik kepada kehidupan yang lebih bermakna melalui alam sekitar sebagai sumber penting bahan pembelajaran. Ouk Vanday pengasasnya berpesan, “I want to incorporate education with the environment.”

Semoga usaha beliau akan terus berjaya. Projek beliau seterusnya membina Floating Coconut School supaya sungai terpelihara dan bersih!