Lindungi Anak Anda daripada Penderaan Seksual

Dr Mary Joseph Marret

Consultant Paediatrician

Apabila memikirkan tentang keselamatan anak-anak, anda harus fikirkan juga tentang penderaan seksual. Demikian kerana, sesiapapun boleh menjadi mangsa kepada penderaan seksual.

Tinjauan yang dijalankan dalam kalangan murid-murid sekolah rendah di Malaysia, mendapati bahawa lebih daripada 10% murid lelaki dan perempuan pernah mengalami sesuatu bentuk penganiyaan seksual yang melibatkan pendedahan atau sentuhan fizikal. Kebanyakan kanak-kanak ini pernah didera oleh seseorang yang mereka kenali contohnya seperti saudara mara, jiran, kawan dan guru. Ramai berpendapat bahawa penderaan seksual merupakan sesuatu yang hanya mengesan kanak-kanak perempuan. Walau bagaimanapun, satu kajian di negara-negara Asia mendedahkan bahawa penderaan seksual juga turut melibatkan mangsa kanak-kanak lelaki.

Keadaan di mana penganiyaan seksual kanak-kanak boleh berlaku

Kanak-kanak boleh terdedah kepada risiko penganiyaan seksual di dalam rumah, di sekolah, ketika mengambil bahagian di dalam aktiviti sosial, ketika sedang berekreasi atau bersukan, di pusat penjagaan kesihatan serta tempat beribadat. Dengan kemunculan era komunikasi digital, kanak-kanak boleh terdedah kepada penganiyaan seksual dalam talian oleh orang yang mereka kenali dan juga tidak kenali.

Pemangsa akan mewujudkan peluang untuk bersendirian dengan kanak-kanak atau mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak yang tidak diawasi ibu bapa atau penjaga. Mereka mungkin menggunakan strategi mendapatkan kepercayaan kanak-kanak dengan tujuan mengeksploitasi mereka secara seksual (sexual grooming). Adakalanya, mereka mungkin menggunakan permainan atau aktiviti yang menyeronokkan untuk memanipulasi mangsa untuk meluangkan masa bersama mereka. Pada luarannya, pendekatan mereka langsung tidak nampak meragukan dan seolah-olah sesuatu yang normal.

Pemangsa menggunakan taktik seperti memberi hadiah/rasuah atau mengugut mangsa agar menyimpan rahsia. Mereka juga mungkin menakut-nakutkan mangsa dengan alasan kononnya jika mangsa mendedahkan atau melaporkan perkara tersebut, mereka tidak akan dipercayai malah mungkin dipersalahkan.

Bagaimana untuk melindungi anak-anak anda

Cara terbaik untuk melindungi anak anda daripada manipulasi psikologi seperti itu ialah untuk berkomunikasi dan membina hubungan rapat dengan mereka. Sentiasa beritahu anak anda bahawa anda menyayangi mereka seadanya. Libatkan diri dalam kehidupan mereka dan sentiasa awasi gerak-geri mereka. Beri perhatian kepada keseluruhan perkembangan mereka, bukan kepada pelajaran semata-mata. Beritahu mereka bahawa anda sentiasa bersedia untuk membantu mengatasi masalah mereka. Berikan jawapan kepada persoalan mereka secara terbuka dan jujur, mengikut tahap kefahaman dan kematangan mereka. Bersedia untuk berbincang mengenai perubahan tubuh mereka dan hal-hal seksual apabila mereka berasa curiga atau keliru. Ini akan memastikan mereka mendapat bimbingan yang betul daripada anda mengikut budaya dan nilai-nilai yang anda mahu terapkan. Mereka juga akan lebih mempercayai anda dan akan lebih selesa merujuk kepada anda apabila menghadapi masalah.

Terangkan kepada mereka dengan jelas apa yang dibenarkan dan tidak dibenarkan. Apabila mereka melakukan kesilapan, bertenang dan dengar apa yang mereka katakan. Bersedia untuk membincangkan masalah. Berikan tindak balas secara rasional dan bukan mengikut emosi. Kanak-kanak yang merasakan isu mereka diambil serius akan berani untuk meluahkan apa masalah pun.

Galakkan anak anda untuk berkawan dengan orang yang mempunyai sikap yang baik. Ke mana sahaja anak anda pergi, pastikan mereka diawasi. Jangan biarkan anak anda bersendirian dengan seorang dewasa tanpa kehadiran orang lain

Ajar anak anda untuk menghormati tubuhnya dan tubuh orang lain

Ajar anak anda tentang sentuhan baik dan tidak baik

Beritahu anak anda bahawa sekiranya mereka berasa tidak selesa apabila seseorang menyentuh atau mencium mereka, mereka harus berkata “tidak!” dan minta dia berhenti. Mereka harus beritahu anda atau orang dewasa yang boleh dipercayai apabila perkara ini berlaku. Beri mereka contoh siapakah “orang dewasa yang boleh dipercayai”.

Ajar anak anda bahawa jika seseorang menyentuh mereka dengan cara yang tidak baik, ia bukan salah mereka. Jelaskan kepada anak anda bahawa sekalipun mereka membuat kesilapan, ia bukan justifikasi untuk seseorang menghukum mereka dengan sentuhan yang tidak baik.

Yakinkan anak anda bahawa anda akan sentiasa membantu dan melindungi mereka daripada seseorang yang cuba mencederakan mereka.

Ajar anak anda bahawa tidak semua rahsia harus disimpan

Beritahu anak anda bahawa jika seseorang meminta mereka menyimpan rahsia yang tidak baik, mereka harus memberitahu anda dan dapatkan bantuan. Bantu anak anda memahami bahawa orang boleh menggunakan hadiah atau ancaman untuk memanipulasi mangsa dari mendedahkan rahsia yang buruk.

Adakalanya, seorang dewasa dalam keluarga atau lingkungan sosial anda mungkin cuba untuk mengambil kesempatan ke atas anak anda. Sentiasa percayai anak anda dan bersedia untuk menyokong dan melindungi mereka jika perkara ini berlaku.

Ajar anak anda untuk berhati-hati

Ingatkan anak anda untuk jauhkan diri jika seseorang yang tidak dikenali cuba untuk mendekati mereka dengan memberi hadiah atau bertanyakan maklumat. Latih mereka untuk menjerit meminta tolong dan berkata “Anda bukan ibu/bapa saya!” jika seseorang yang tidak dikenali datang rapat dan cuba menarik mereka.

Beritahu anak-anak anda untuk bertanya dengan anda dahulu jika mereka perlu memberi sebarang maklumat peribadi dalam talian.

Beritahu anak-anak anda agar jangan bersembang, berkongsi maklumat atau menghantar gambar kepada orang yang tidak dikenali di platform media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Wechat atau platform lain di dalam telefon bimbit dan komputer. Ingatkan mereka untuk berfikir dengan berhati-hati tentang maklumat dan gambar foto yang mereka pos dalam rangkaian sosial.

Beritahu anak anda bahawa mereka tidak dibenarkan untuk mengatur janji temu atau perjumpaan dengan seseorang tanpa pengetahuan atau kebenaran anda.

TINGKAH LAKU GROOMING ORANG DEWASA YANG PERLU DIAWASI

Berhati-hati dengan mana-mana tingkah laku orang dewasa berikut yang mungkin ditujukan kepada seorang kanak-kanak yang anda kenali. Pada luarannya, tingkah laku tersebut tidak nampak salah dan memberi gambaran bahawa seseorang itu “baik dengan kanak-kanak” atau menyukai kanak-kanak.

Beberapa tanda amaran

  • sering mencari jalan untuk bersendirian dengan seorang kanak-kanak, contohnya, mencadang untuk keluar bersendirian bersama kanak-kanak tersebut, atau menawarkan diri untuk “menjaga” atau mengasuh seorang kanak-kanak bersendirian apabila ibu bapanya sibuk.
  • tidak menghiraukan keperluan privasi seorang kanak-kanak (contohnya, di dalam bilik mandi).
  • memberi hadiah atau wang tanpa alasan munasabah.
  • berkomunikasi secara keterlaluan dengan seorang kanak-kanak; menghantar pesanan ringkas, beremel atau panggilan telefon.

Perkara yang perlu dilakukan

Jika anda bimbang anak anda mungkin adalah mangsa penganiyaan seksual:

  • Bercakap dengan anak anda dan tanya jika terdapat sesuatu yang merisaukan dia. Dengar dengan teliti apa yang mereka hendak katakan.
  • Jika anak anda mengadu tentang sesuatu yang mencurigakan atau mempunyai simptom atau tingkah laku yang menunjukkan kemungkinan terjadinya penganiyaan seksual, dapatkan nasihat doktor.

Artikel ini dipetik dengan izin daripada laman sesawang www.mypositiveparenting.org.