Pernahkah anak anda bertanya tentang siapa yang mencipta matahari, langit dan sebagainya? Rencana berikut merupakan cara seorang ibu menerangkan kepada anaknya Adam tentang kewujudan Allah.
Adam, hari ini ibu ingin menceritakan tentang ilmu Tauhid, iaitu ilmu mengenal Allah dan rasul-rasul Nya.
Adam mesti biasa kan, melihat keindahan alam … pada waktu siang, ada awan, matahari, langit, … pada waktu malam pula ada bulan, bintang …
Pernah tak terfikir siapa yang buat semua itu … manusiakah yang buat?
Manusiakah yang buat dengan memakai alat-alat yang canggih?
Jawapannya tentulah tidak, kalau bangunan yang tinggi tu bolehlah … tapi kalau awan, matahari, bintang … itu semua manusia tak boleh buat. Maka, siapakah yang buat itu semua?
Jawapannya, mestilah ada satu kuasa yang membuatnya, dan ia adalah Tuhan kita. Nama Tuhan kita itu ialah Allah. Apakah bukti yang mengatakan dunia ini bukan ciptaan manusia tetapi Allah? Ahli sains telah membuktikan melalui kajian bahawa dunia ini telah wujud jutaan tahun sebelum manusia atau mana-mana hidupan ada di bumi. Jika bumi ada sebelum hidupan ada, siapakah yang menciptakan bumi dan hidupan? Itulah Allah iaitu Tuhan pencipta bumi dan kehidupan yang telah ada sebelum bumi dan hidupan dicipta.
Jika Allah wujud, mengapa kita tak dapat melihatNya? Bukan semua benda yang ada itu boleh dilihat dengan pandangan mata zahir. Contohnya seperti angin dan udara. Kita tak boleh melihat angin dan udara tetapi kita boleh merasai kewujudan angin dan udara. Apa tanda angin itu ada? Kita lihat daun pokok bergoyang.
Kita tidak dapat melihat Allah kerana Allah tidak mengizinkannya sekarang, namun, banyak tanda kewujudan Allah di bumi ini. Mengapakah Allah tidak mengizinkannya sekarang? Kerana itu sebagai ujian kepada orang yang beriman sama ada ingin mempercayai kewujudan Allah atau tidak. Bagaimanakah kewujudan alam ini ada kaitan dengan Allah?
Sebagai contoh yang mudah, cuba Adam fikir. Di rumah ada peti ais, kan? Cuba bayangkan, pada suatu hari, Adam buka peti ais dan nampak ada sebatang aiskrim dan terus makan aiskrim tersebut. Selepas itu, sudah tiada aiskrim, betul? Keesokan harinya, selepas balik dari sekolah, Adam membuka peti ais, dan mendapati ada 5 batang aiskrim lagi di dalamnya. Adam mesti terfikir yang aiskrim tu sudah tentu ayah atau ibu yang buat, kan? Takpun, ibu atau ayah yang beli. Maka, sama juga jika dilihat pada alam ini. Awan, langit, laut, gunung ganang, semuanya ada yang membuatnya, iaitu Tuhan … manusia sudah tentu tidak mampu melakukannya.
Bagaimana pula dengan pokok-pokok, binatang-binatang daripada sekecil-kecil kuman hinggalah sebesar-besar gajah dan zirafah? Sudah tentu Allah yang menjadikan. Manusia pun Allah yang jadikan. Kalau manusia boleh menjadikan manusia, sudah tentu semua pasangan suami isteri ada anak, dan tiadalah pasangan yang tidak mempunyai anak … betul tak? Jika manusia boleh membuat manusia, sudah tentu manusia akan membuat anak-anaknya, semua cantik dan tampan belaka.
Semua benda yang berada di alam ini merupakan tanda adanya Tuhan. Kalau tiada Tuhan, sudah tentu alam ini pun tiada. Oleh kerana alam ini telah ada, maka sudah tentu ada Tuhan.
Ini bersesuaian dengan dalil al-Quran yang berbunyi: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)-nya dan dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan peredaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi: sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.”- al-Baqarah ayat 164.
Baik, sekarang Adam telah tahu tanda-tanda Allah memang ada … bagaimana dengan sifat-sifat Nya pula?
Secara keseluruhannya, Adam hendaklah percaya dengan bersungguh-sungguh dan beriman bahawa Allah adalah sempurna dan mempunyai semua sifat-sifat kesempurnaan dan pada masa yang sama, Allah tidak mempunyai semua sifat-sifat kekurangan, maka, yang baik-baik semua milik Allah dan apa yang kurang pula bukan sifat Allah.