Comel Atau Obes? 10 TIP UNTUK MENGATASI MASALAH OBESITI DALAM KALANGAN ANAK-ANAK

  • Reading time:8 mins read
  • Post category:Kesihatan

Nur Ili Mohamad Tarmizi

Pegawai Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.Ahli Alumni Muslim Profesional Kesihatan Malaysia (IMPAK).

Sememangnya kita pasti akan berasa ‘geram’ apabila melihat bayi atau kanak-kanak dengan pipi yang tembam dan tubuh yang gempal kerana kecomelan mereka. Namun, ramai ibu bapa yang tidak sedar akan bahaya dan risiko yang mungkin terjadi apabila kegempalan yang berlebihan ini dibiarkan berlarutan hingga usia mereka menginjak dewasa. Masalah berlebihan berat badan (overweight) dan kegemukan melampau atau dalam istilah perubatan dikenali sebagai obes, merupakan masalah kesihatan yang makin menjadi kebiasaan di kalangan kanak-kanak. Kanak-kanak dikategorikan sebagai berlebihan berat badan atau obes apabila Indeks Jisim Tubuh* (body mass index, BMI) mereka lebih daripada tahap Indeks Jisim Tubuh kanak-kanak lain yang seusia dengan mereka**.

Jumlah kanak-kanak dengan masalah obesiti kini menjadi semakin membimbangkan. Berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun 2011, sebanyak 3.9% (0.3 juta) kanak-kanak 18 tahun ke bawah mengalami masalah obesiti di Malaysia dan bilangan ini meningkat lebih dua kali ganda kepada 11.9% (1 juta) pada tahun 2015. Satu kajian yang dilaporkan pada tahun 2016 pula  mendedahkan bahawa bilangan kanak-kanak dan remaja (5-19 tahun) di seluruh dunia telah meningkat sebanyak 10 kali ganda sepanjang empat dekad lepas.

Data kebangsaan terkini (2019) melaporkan bahawa kira-kira 30% kanak-kanak di Malaysia yang berumur antara 5-17 tahun mempunyai masalah berat badan berlebihan. Jumlah kanak-kanak yang overweight hampir sama dengan yang obes!

Keadaan ini sesungguhnya amat membimbangkan. Obesiti perlu dicegah seawal umur iaitu di bawah 5 tahun lagi kerana kawalan obesiti akan menjadi lebih sukar apabila mereka menginjak ke umur remaja dan dewasa. Anda pasti tidak mahu anak anda mewarisi ‘kecomelan berlebihan’ ini bukan?

  • Indeks Jisim Tubuh dikira menggunakan formula: Berat (kg) ÷Tinggi2(m)
  • Bayi dan kanak-kanak/remaja 0- 19 tahun mempunya carta pertumbuhan khas untuk memantau tumbesaran mereka mengikut umur dan jantina

Bagaimanakah mengenalpasti sama ada anak anda mengalami masalah berat badan?

Bawa anak anda ke Klinik Kesihatan berhampiran. Di fasiliti tersebut terdapat pasukan anggota terlatih iaitu pegawai perubatan, pegawai pemakanan dan jururawat yang akan mengenalpasti tahap tumbesaran anak anda. Mereka akan mengukur berat dan tinggi serta mengira bacaan Indeks Jisim Tubuh (IJT) anak anda dan seterusnya mengkategorikan IJT mereka sama ada normal atau tidak normal.

Bagaimanakah kanak-kanak mengalami masalah berlebihan berat badan atau obes?

  • Berat yang tidak dipantau dan dikawal sedari awal usia
  • Pilihan makanan dan gaya hidup keluarga yang tidak sihat
  • Pengambilan jumlah/saiz hidangan yang berlebihan melebihi saranan pengambilan makanan untuk kanak-kanak
  • Pengaruh masyarakat yang tidak sihat seperti penjualan makanan-makanan ringan yang tidak sihat di pelbagai kedai
  • Waktu menonton televisyen/gajet elektronik yang lama
  • Kerap mengambil makanan segera dan terproses seperti sosej, burger, nugget, ayam goreng segera dan sebagainya.

 Apakah kesan berlebihan berat badan kepada kanak-kanak?

  • Berisiko kepada masalah kesihatan melibatkan jantung
  • Masalah tidur: berdengkur, mengantuk di waktu siang, senang letih
  • Tinggi risiko untuk mempunyai penyakit kencing manis, tinggi kolestrol dan darah tinggi apabila menginjak remaja/dewasa
  • Mempengaruhi pencapaian akademik anak-anak
  • Rasa rendah diri dan tidak yakin dengan diri

10 tip untuk mengelakkan atau mengatasi masalah obes

  1. Buat perubahan kecil seperti menambah sayur-sayuran tambahan kepada hidangan.

Sekalipun pada mulanya mereka menolak, lama-kelamaan mereka akan perlahan-lahan membiasakan diri dengan menjamah sayur-sayuran. Tahukah anda sayur-sayuran kaya dengan serat yang membantu mengurangkan lemak  dan gula dalam darah?

  1. Menggalakkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai snek sihat.

Anda boleh memotong buah-buahan dan sayuran berbuah dalam bentuk jejari dan hidangkan dengan cara hidangan/resepi menarik kepada anak-anak sebagai snek! Ini boleh mengurangkan/menggantikan pengambilan snek yang tidak sihat.

  1. Menghadkan hidangan makanan tinggi kalori (tenaga) di rumah.

Kurangkan makanan tinggi gula dan makanan berlemak seperti biskut manis, sosej, nugget dan lain-lain yang mana bukan sahaja merangsang selera anak-anak untuk makan secara tidak sihat, malah anda juga mudah terjebak!

  1. Budayakan gaya pemakanan sihat di kalangan anak-anak.

Kurangkan hidangan yang terlalu berminyak atau berlemak dan berikan saiz hidangan yang tidak berlebihan kepada anak-anak. Selang-selikan cara masakan/ hidangan anda dengan cara memasak yang sihat seperti kukus, rebus, panggang dan sup. Tahukah anda kalori lemak lebih tinggi dari protein dan karbohidrat? Badan kita memerlukan lemak, tetapi berilah dengan kadar yang sedikit sahaja. Terdapat juga ibu bapa yang memberikan anak-anak makan dalam kuantiti berlebihan dari yang sepatutnya. Dapatkan nasihat pemakanan dari pegawai kesihatan yang terlatih di institusi kesihatan yang berhampiran dengan anda.

  1. Tidak menyimpan air manis di rumah.

Terdapat ibu bapa yang menyimpan minuman manis dalam peti ais atau menghidangkannya setiap masa di rumah seperti minuman teh tarik. Anak-anak yang dibiasakan makan dan minum sumber-sumber manis dari kecil akan cenderung mengambil makanan dan minuman manis apabila dewasa.  Pengambilan gula berlebihan juga merupakan salah satu punca yang menyumbang kepada masalah obesiti.

  1. Galakkan mereka mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat!

Bawa anak berjalan ke suatu tempat sekiranya dekat dan bukan memandu kereta atau menaiki motor. Libatkan anak-anak dengan aktiviti fizikal menerusi riadah berekreasi dan aktiviti sukan. Anda juga perlu menjadi contoh dengan menyertai mereka melakukan aktiviti tersebut. Ia tentu lebih menyeronokkan dan berkesan.

  1. Hadkan waktu menonton televisyen dan waktu bermain gajet di rumah.

Kajian menunjukkan waktu menonton televisyen yang lama turut menyumbang kepada masalah obesiti. Apabila anak-anak terlalu fokus menonton televisyen dan bermain gajet, mereka akan kurang melakukan aktiviti fizikal dan kurang membakar kalori (tenaga) dalam badan.

  1. Disiplinkan anak anda dengan waktu makan yang betul.

Jangan biasakan mereka dengan makanan dan minuman manis yang diambil tidak tentu masa. Sekiranya anak-anak tidak mengambil sarapan, makan tengahari dan makan malam pada waktu yang betul, mereka akan cenderung mencari sumber makanan yang tidak sihat.

  1. Pantau tahap perkembangan dan tumbesaran anak.

Bawa anak anda ke klinik kesihatan berdekatan untuk membuat pemeriksaan berkala seperti yang ditetapkan. Sekiranya tahap tumbesaran anak-anak tidak dipantau berterusan, anda mungkin tidak menyedari bahawa anak anda mungkin berisiko mengalami masalah berat badan.

  1. Berikan pendidikan kepada anak-anak tentang pemakanan sihat.

Ceritakan kepada mereka tentang kepentingan zat makanan dan bahaya obesiti. Pastikan anda mendapatkan sumber maklumat  daripada sumber yang betul. Sekiranya terdapat iklan-iklan makanan yang tidak sihat, ceritakan kepada mereka tentang perlunya mengelakkan atau mengurangkan pengambilan makanan tersebut.

Contoh Sukatan Makanan Bagi Minum Pagi/ Minum Petang Dan Hidangan Utama Untuk  Kanak-kanak 4-6 tahun

HidanganUmur 4 – 6 tahun
Minum Pagi/ Minum Petang

1 keping roti

½ potong betik

1 gelas susu

Air kosong

Hidangan Utama (Sarapan/

Makan Tengah Hari/ Makan Malam)

1½ senduk nasi putih

2 sudu makan bayam  dan 2 sudu makan lobak merah

1  ekor ikan kecil masak kicap atau 1 ketul dada ayam atau 1 ketul daging saiz kotak mancis atau 1 biji telur

½ potong tembikai

Air kosong

Saranan kekerapan pengambilan hidangan utama adalah 3 kali sehari: sarapan, makan tengahari dan makan malam.

Saranan pengambilan snek sihat adalah 1-2 kali sehari.

Link dengan artikel bertajuk COVID dan Vitamin

Dapatkan nasihat tentang pemakanan sihat untuk anak anda dalam segmen SIHAT BERSIH majalah AWAL isu 07 dan 16 di eniaga.awal.my

 

Rujukan:

Institute for Public Health (IPH) 2015. National Health and Morbidity Survey 2015 (NHMS 2015). Vol. II: Non-Communicable Diseases; 2015: Ministry of Health Malaysia

Krushnapriya S. et.al (2014). Childhood obesity: causes and consequences, J Family Med Prim Care. 4(2): 187–192. doi: 4103/2249-4863.154628

Laura S. (2014). Childhood obesity. Obesity and Metabolic Complications. Medicine; 43(2):108-111

MacLean JE et al. (2018) The scope of sleep problems in Canadian children and adolescents with obesity, Sleep Medicine, doi: 10.1016/j.sleep.2018.03.006

McBride, D.L. (2018). Childhood Obesity: Influential Factors and Interventions, Journal of Pediatric Nursing, https:// doi.org/10.1016/j.pedn.2018.02.011

National Health and Morbidity Survey (2011). National Health and Morbidity Survey 2011 Fact Sheet.

van Emmerik NMA et al. (2012) High cardiovascular risk in severely obese young children and adolescents, Archives of Disease in Childhood Published Online First: 23 July. doi: 10.1136/archdischild-2012-301877

https://www.thestar.com.my/metro/community/2016/08/15/weighty-issue-among-the-young-2015-national-survey-indicates-incidences-of-obesity-among-malaysian-c/#ySthqUErUxkUZkMA.99

https://says.com/my/news/national-health-survey-finds-that-50-of-malaysians-are-either-overweight-or-obese?_ga=2.196401836.1452064615.1592963979-1919129452.1555917868