ANAK ANDA CUKUP BERAT ATAU TIDAK?

  • Reading time:7 mins read
  • Post category:Kesihatan

Nur Ili Mohamad Tarmizi

Pegawai Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.Ahli Alumni Muslim Profesional Kesihatan Malaysia (IMPAK).

Anak anda mungkin nampak sihat dan bertenaga. Namun tahukah anda mereka mungkin berdepan dengan masalah kekurangan berat badan sekiranya tidak dipantau dari awal?

Ramai orang beranggapan bahawa masalah kekurangan berat badan hanya berlaku pada kanak-kanak di negara-negara yang mengalami krisis. Namun, masih ada kanak-kanak di negara kita ini yang berdepan dengan masalah kekurangan berat badan. Data daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun 2019 menunjukkan peratusan kanak-kanak dengan masalah bantut dan kekurangan berat badan di kalangan kanak-kanak kurang 5 tahun di Malaysia adalah 14.1%. Berdasarkan kajian UNICEF yang dijalankan pada tahun 2018 pula, masalah kurang berat badan dan bantut ini masih wujud, bukan sahaja di kalangan kanak-kanak di luar bandar, malah di kalangan kanak-kanak di bandar.

Apakah itu kekurangan berat badan?

Seseorang kanak-kanak dikategorikan sebagai mengalami masalah kekurangan berat badan apabila berat badannya tidak mencapai kadar berat yang sepatutnya berbanding rakan-rakan seusianya. Profesional kesihatan mengkategorikan kanak-kanak sebagai kekurangan berat badan apabila lengkok pertumbuhan mereka dalam carta rujukan adalah kurang daripada lengkok pertumbuhan normal kanak-kanak seusia yang lain. Sekiranya masalah kekurangan berat badan kanak-kanak tidak diatasi dengan cepat, kanak-kanak tersebut berisiko untuk mengalami masalah bantut (ketinggian rendah dan tidak normal berbanding kanak-kanak seusianya), masalah susut (Indeks Jisim Tubuh yang rendah) dan juga masalah-masalah kesihatan yang lain. Masalah bantut yang berlanjutan dari masalah kekurangan berat badan dalam jangka masa panjang pula boleh beralih kepada masalah obesiti apabila kanak-kanak diberikan banyak makanan yang berkalori tinggi namun tidak berkhasiat.

Bagaimana masalah kekurangan berat badan oleh berlaku? Ia boleh disumbangkan oleh beberapa faktor:

  • Kanak-kanak kurang minat untuk makan kerana terdapat pelbagai tarikan lain ketika waktu makan seperti penggunaan gajet.
  • Persekitaran sosial yang tidak memberangsangkan seperti masalah kemiskinan, masalah antara ibu bapa yang terlalu sibuk dan kurang cakna tentang pemakanann serta persekitaran yang kotor yang boleh membawa kepada masalah jangkitan.
  • Pengambilan makanan yang rendah kalori dan zat yang tidak cukup serta tidak sesuai dengan pertumbuhan dan kadar aktiviti fizikal kanak-kanak.
  • Penggunaan ubat-ubatan, contohnya seperti yang digunakan terhadap masalah kanak-kanak hiperaktif yang mana boleh mengurangkan selera makan.
  • Allergi (Alahan) makanan yang mengurangkan pilihan makanan yang boleh diambil oleh kanak-kanak.
  • Mempunyai masalah hormon atau penghadaman ataupun menghadapi masalah yang menganggu penyerapan zat. Keadaan ini turut mengganggu pertambahan berat kanak-kanak.
  • Mempunyai penyakit, contohnya seperti jangkitan cacing ataupun penyakit tiroid.

Apakah kesannya?

Kanak-kanak yang mempunyai masalah kekurangan berat badan boleh mengganggu pertumbuhan kognitif (otak) mereka, terdedah kepada risiko penyakit, terdedah kepada risiko kematian yang lebih tinggi (jika terlalu teruk) serta boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan mereka pada masa akan datang.

Bagaimanakah cara mengatasinya?

  1. Berilah makanan kepada anak-anak anda berdasarkan rutin pemberian makanan utama yang betul (Sarapan, makan tengahari, makan malam) dan berikan mereka makanan dengan saiz makanan yang betul. Tambah 2-3 kali hidangan snek sihat ke dalam rutin pengambilan makanan anak anda seperti kekacang, buah-buahan, buahan kering atau biskut.
  1. Pastikan setiap hidangan makanan utama anak-anak anda mempunyai sumber karbohidrat, protein, lemak dan sayur-sayuran yang lengkap untuk memastikan mereka mendapat sumber kalori dan zat yang cukup dari sumber makanan yang sihat. Anda boleh merujuk kepada artikel comel atau obes untuk mendapatkan cadangan sukatan makanan bagi kanak-kanak berusia 4-6 tahun.
  1. Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah berat badan, anda boleh menambahkan kalori makanan anak anda secara sihat seperti berikut:

Contoh penyediaan makanan berkalori tinggi:

Nasi / bubur

Ditambah ayam / daging / minyak / marjerin

Roti

Ditambah marjerin / mentega kacang / keju

Biskut kraker

Ditambah marjerin / mentega kacang / keju

Susu

Ditambah serbuk coklat / aiskrim

Telur

Ditambah susu / minyak / marjerin / keju

Kentang – dilenyek / dibakar

Ditambah susu /minyak / marjerin

Sumber: Portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia

  1. Elakkan amalan pemberian makanan dan minuman yang mempunyai kadar gula, garam dan lemak yang tinggi serta elakkan pemberian makanan terproses seperti sosej, nuget segera kepada anak-anak. Jangan biasakan mereka dengan makanan yang mempunyai perasa yang terlalu tinggi kerana mereka akan cenderung untuk menolak makanan yang lebih sihat. Makanan-makanan terproses ini pula tinggi dengan kalori namun mempunyai zat yang rendah.
  1. Elakkan pengambilan snek serta air manis paling kurang sejam sebelum waktu makan kerana pemberian makanan tersebut menyebabkan anak-anak anda boleh berasa kenyang hanya dengan mengambil sedikit makanan dan minuman ringan dan oleh itu mereka kurang selera untuk mengambil makanan utama.
  1. Jauhkan gajet atau media-media hiburan dari anak anda ketika waktu makan! Tarikan-tarikan tidak sihat seperti inilah yang boleh menganggu tumpuan dan keinginan mereka untuk menikmati makanan.
  1. Anda adalah ibu bapa yang kreatif! Kenalpasti gaya masakan yang digemari anak anda dan sediakan hidangan makanan dengan persembahan yang menarik.
  1. Jadikan waktu makan sebagai waktu yang ditunggu-tunggu serta menyeronokkan untuk keluarga terutamanya anak anda. Sesetengah anak-anak tidak suka waktu makan kerana mereka sering dimarahi pada waktu ini dan menimbulkan perasaan yang tidak menyeronokkan sewaktu makan.
  1. Elakkan memberi anak-anak anda makan dengan berkongsi satu pinggan, contohnya menyuap seorang abang dan adik makan dari pinggan yang sama. Mengapa? Kerana sukar untuk menentukan sama ada mereka mengambil saiz makanan yang sesuai mengikut umur masing-masing ataupun tidak. Suap mereka menggunakan pinggan berasingan atau jika anda tetap mahu menggunakan pinggan yang sama, pastikan bahagian makanan antara dua kanak-kanak tersebut diasingkan dalam pinggan. Anda boleh juga membuat pertandingan siapa yang dapat menghabiskan makanan lebih cepat di antara anak-anak! Ia pasti menyeronokkan.

Usaha mendapatkan berat badan yang normal bagi anak-anak pastinya mencabar. Namun dengan usaha berterusan dan kerjasama yang baik antara ibu bapa dan penjaga, anda pasti berjaya menaikkan berat badan anak-anak secara sihat. Jangan lupa dapatkan pemeriksaan dan khidmat nasihat anggota kesihatan di pusat kesihatan terdekat.

Rujukan:

  1. Institute of Public Health, Ministry of Health Malaysia (2019). National Health and Morbidity Survey Report 2019.
  2. NCD Risk Factor Collaboration (2017). Worldwide trends in body-mass index, underweight, overweight, and obesity from 1975 to 2016: a pooled analysis of 2416 population-based measurement studies in 128·9 million children, adolescents, and adults. The Lancet.390 (10113): 2627-2642
  3. Rashadiba bt. Ibrahim (2009). Pemakanan Kanak-Kanak yang kurang Berat Badan.Portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia. http://www.myhealth.gov.my/pemakanan-kanak-kanak-yang-kurang-berat-badan/
  4. Unicef Malaysia (2018). Children living in poverty: unseen, but among us. https://www.unicef.org/malaysia/media_urban_child_poverty.html
  5. World Health Organization Regional Office for South East Asia (2018). Health situation and trend assessment; Underweight in children. http://www.searo.who.int/entity/health_situation_trends/data/Underweight_text/en/