ANAK SEMBELIT? 7 CARA MENANGANINYA

  • Reading time:3 mins read
  • Post category:Kesihatan

Nur Ili Mohamad Tarmizi

Pegawai Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.Ahli Alumni Muslim Profesional Kesihatan Malaysia (IMPAK).

Membesarkan anak-anak merupakan satu perjalanan yang penuh dengan cabaran, pembelajaran dan nikmat yang luar biasa bagi ibu bapa. Salah satu cabaran tersebut adalah apabila anak mengalami masalah sembelit. Keadaan ini sangat mengganggu emosi ibu bapa dan anak-anak malah menyakitkan secara fizikal. Anak anda mungkin menghadapi sembelit apabila anak mengalami masalah berikut:

  • Najis besar dan keras
  • Najis kelihatan berketul-ketul kecil seperti tahi arnab
  • Anak mengerang kesakitan apabila membuang air besar
  • Kelihatan darah pada najis anak

Najis yang sihat seharusnya lembut, berbentuk seperti pisang/ular dan dapat dikeluarkan secara lancar. Namun, sekiranya najis berketul dan keras, itu mungkin menunjukkan masalah berkaitan pemakanan.

Apa yang boleh anda lakukan?

Air, air dan air!

Tingkatkan pengambilan air anak-anak melalui pengambilan susu, makanan bersup, buah-buahan yang tinggi air serta air kosong. Anda boleh juga tetapkan sasaran pengambilan air kosong sehari. Ambil satu botol dan isikan air kosong sesuai dengan umur anak-anak anda. Suapkan air ke anak perlahan-lahan sepanjang hari untuk menghabiskan sasaran tersebut.

Sayuran berdaun

Tingkatkan pengambilan sayur-sayuran berdaun seperti bayam, sawi dalam pemakanan anak-anak. Cuba amalkan pemberian sayur 2-3 kali sehari sebanyak 1- 2 sudu besar untuk setiap sesi.

Sayuran berbuah

Tambah dengan jenis sayur lain seperti lobak, tomato sebanyak 2 sudu besar  untuk 3 kali sehari bagi meningkatkan pengambilan serat.

Buah

Pastikan anak mengambil 1-2 sajian buah sehari (contoh: 2 potong kecil betik/ ½ -1 biji pisang emas/2 potong kecil tembikai/lain-lain buah yang lembut dan saiz yang selamat bagi anak). Utamakan buah yang banyak air dan tinggi serat. Buah seperti epal, pir dan prun mengandungi bahan dinamakan sorbitol yang mampu membantu melembutkan najis.

Bakteria baik?

Perkara ini masih dalam kajian. Namun anda boleh cuba meningkatkan probiotik (bakteria baik) dalam usus anak melalui pengambilan makanan sihat seperti yogurt.

Tingkatkan aktiviti fizikal.

Banyakkan pergerakan anak melalui aktiviti fizikal untuk merangsang pergerakan otot usus!

Rujuk kepada yang pakar.

Sekiranya anda telah melakukan perubahan di atas namun tidak menampakkan perubahan positif, sila rujuk kepada doktor dengan segera!

Membuang air besar secara berkala dengan najis yang tidak terlalu keras mahupun cair merupakan tanda-tanda bahawa anak anda mempunyai sistem penghadaman yang sihat. Tingkatkan pengambilan pemakanan secara sihat dan amalkan gaya hidup aktif bersama anak-anak untuk kesihatan usus serta kualiti hidup yang lebih baik!


Rujukan:

  • Asakura K, Masayasu S, Sasaki S. Dietary intake, physical activity, and time management are associated with constipation in preschool children in Japan. Asia Pac J Clin Nutr. 2017 Jan;26(1):118-129
  • Huang R, Hu J. Positive Effect of Probiotics on Constipation in Children: A Systematic Review and Meta-Analysis of Six Randomized Controlled Trials. Front Cell Infect Microbiol. 2017;7:153.
  • Samuel Nurko, Md, And Lori A. Zimmerman. Evaluation and Treatment of Constipation in Children and Adolescents.Am Fam Physician.2014 Jul 15;90(2):82-90.
  • Maffei HV, Vicentini AP. Prospective evaluation of dietary treatment in childhood constipation: high dietary fiber and wheat bran intake are associated with constipation amelioration. J Pediatr Gastroenterol Nutr. 2011;52(1):55–59.
  • Guerra PV, Lima LN, Souza TC, et al. Pediatric functional constipation treatment with Bifidobacterium-containing yogurt: a crossover, double-blind, controlled trial. World J Gastroenterol. 2011;17(34):3916–3921.