Adik! Jangan Sepak Kucing Tu!

Dr. Shalisah Sharip Dr. Aishah Hani Azil

Dr. Shalisah Sharip merupakan pakar psikologi klinikal dan pensyarah kanan Jabatan Psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia. Dr. Aishah Hani Azil merupakan pensyarah kanan di Jabatan Parasitologi & Entomologi Perubatan, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Haiwan ialah makhluk Allah yang diciptakan untuk pelbagai tujuan. Ia juga merupakan sebahagian ekosistem komuniti yang mengekalkan kesejahteraan manusia dan hidupan lain di muka bumi ini. Ia juga boleh dibuat sebagai binatang peliharaan mengikut pilihan individu. Ada yang suka memelihara binatang eksotik atau yang liar seperti ular atau harimau, mahupun yang manja dan comel seperti kucing atau arnab. Namun begitu. banyak berita memaparkan kekejaman atau pengabaian haiwan seperti kucing atau anjing. Budak sekecil sepuluh tahun didapati berlaku kejam terhadap seekor anak kucing dengan mencekiknya sehingga mati. Seekor ibu kucing dan anaknya dibuang dari rumah pangsa baru-baru ini. Persoalannya, mengapa ini berlaku?

Pengkaji mendapati sifat kejam terhadap haiwan adalah sebahagian masalah yang boleh terjadi pada peringkat awal perkembangan kanak-kanak akibat daripada mengalami masalah emosi dan tingkah laku. Tingkah laku ini merupakan sebahagian daripada ciri gangguan kelakuan (conduct disorder) yakni satu penyakit mental yang perlu dikesan awal kerana boleh membawa implikasi yang buruk. Kanak-kanak sebegini lebih suka bersikap agresif serta cenderung bersikap kejam terhadap manusia lain apabila besar. Faktor genetik dan menyaksikan perlakuan kejam terhadap haiwan pada masa kecil boleh menjadikan pelaku melakukan perlakuan begitu apabila dewasa. Contoh faktor genetik adalah sekiranya ibu atau bapa mengalami personaliti antisosial atau Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD), anak boleh mewarisi masalah gangguan kelakuan. Perlakuan mendera haiwan di kalangan kanak-kanak menunjukkan mereka ini kurang perasaan empati dan mempunyai hubungan kurang rapat dengan individu yang signifikan dengannya.

Kekejaman terhadap binatang dianggap sebagai memusnahkan nilai hormat kepada kehidupan. Malahan dalam Al-Quran and Sunnah Nabi, setiap muslim dianjurkan supaya menyayangi haiwan dan mempunyai belas kasihan terhadapnya. Haiwan juga merupakan makhluk ciptaan Allah sama seperti manusia walaupun darjatnya lebih rendah daripada manusia. Ia tetap memerlukan kasih sayang. Justeru, amat penting penderaan binatang diberi perhatian oleh ibu bapa.

Langkah-langkah yang perlu diambil oleh ibu bapa dalam hal ini adalah seperti berikut:

  1. Ibu bapa perlu menanam sifat kasih sayang terhadap haiwan sejak anak mereka kecil. Jangan tunjukkan sifat takut atau tidak suka kepada haiwan kerana anak akan mencontohi sifat ini.
  2. Selalu bercakap dengan anak-anak anda tentang haiwan atau serangga. Ini seperti memahami fungsi, anatomi dan sebagainya mengenai haiwan tersebut. Haiwan dan serangga mempunyai anatomi yang berbeza. Jenis haiwan dan serangga yang pelbagai boleh dipelajari bersama-sama bagi memupuk semangat cintakan haiwan atau serangga tersebut.
  3. Tonton cerita tentang binatang bersama anak-anak.
  4. Bawa anak anda ke zoo bagi mengajar anak anda jenis-jenis haiwan yang mungkin pupus atau tidak ada di Malaysia.
  5. Tunjukkan bagaimana menjaga haiwan peliharaan dan lakukan bersama dengan anak anda bagi memupuk sifat empati dan sayang terhadap binatang tersebut.
  6. Tunjukkan tingkahlaku sayang pada haiwan atau serangga kepada anak anda seperti mengusap kepala kucing. Seandainya anda tidak selesa dengan binatang atau haiwan, jelaskan kepada anak anda dan mohon suami atau saudara membantu anda.

Seandainya anda terlihat anak berkelakuan tidak sesuai dengan binatang seperti mendera atau mengabaikan haiwan peliharaan, lakukan langkah-langkah berikut:

  1. Jangan tunjukkan rasa takut atau tidak kisah apabila nampak anak anda melakukan tindakan sebegitu. Perasaan tidak kisah ini menyebabkan anak anda merasa bahawa tingkahlaku tersebut tidak salah.
  2. Bertanya mengapa dia melakukan perlakuan sebegitu dan fahami sebabnya. Pada peringkat awal perkembangan, kanak-kanak suka mencuba dan mempunyai perasaan ingin tahu. Ajar apa yang anak anda ingin tahu. Fahami juga masalahnya yang lain yang mungkin berkaitan dengan sebarang tekanan seperti dibuli.
  3. Jangan kenakan hukuman atau marah jika anak anda pertama kali melakukannya.

Pantau dan awasi tingkah laku lain seperti mencuri atau membuli adik beradik dan rakan-rakan. Sekiranya tingkah laku ini masih berterusan, bawalah beliau berjumpa dengan pakar psikologi atau psikiaitri bagi memahami dengan mendalam dan mengajar anak anda menukar tingkah laku yang lebih sesuai.

Kajian saintifik telah menunjukkan bahawa haiwan boleh digunakan sebagai terapi untuk membantu manusia menangani kemurungan dan keresahan. Pesakit digalakkan bermain dan membela haiwan kesayangan mereka bagi mengalih perhatian daripada hanya memikirkan masalah tekanan mereka. Haiwan juga boleh dianggap sebagai sahabat di kalangan orang tua bagi menghilangkan kesunyian dan pengubat rindu terhadap anak-anak yang tinggal berjauhan dengan mereka. Begitu juga anak-anak kecil yang terpaksa berjauhan dengan ibu bapanya. Secara tidak langsung, masa lapang mereka dapat dipenuhi dengan baik dan kualiti kehidupan mereka dapat dipertingkatkan.

Di samping itu, terapi haiwan boleh digunakan untuk membantu kanak-kanak yang berkeperluan khas atau yang menghadapi masalah pembelajaran atau perkembangan. Misalnya, kanak-kanak yang menghidap autisme, ADHD dan sindrom Down. Sesetengah kanak-kanak mempamerkan ciri-ciri seperti menyisihkan diri, kurang berkomunikasi dan keyakinan diri yang rendah. Terapi menggunakan haiwan dilaporkan dapat meningkatkan kemahiran bersosial dan keyakinan diri serta meningkatkan rasa empati dan semangat dalam kanak-kanak.

Dari segi perubatan, kajian saintifik turut membuktikan banyak faedah terapi haiwan yang secara umumnya berupaya menjadikan pesakit lebih sihat. Antara kesan terapi ini adalah menurunkan tekanan darah, mengurangkan rasa sakit, menyebabkan pesakit mengalami relaksasi dan membantu meningkatkan kualiti hidup bagi warga emas yang mengalami demensia (nyanyuk).

Jenis haiwan kesayangan atau binatang peliharaan yang dipilih bergantung kepada individu. Contoh-contoh yang sesuai seperti kucing, arnab, argus, hamster, burung dan ikan. Untuk menarik minat anak anda terhadap haiwan, terutamanya anak yang menunjukkan perasaan takut terhadapnya, pendedahan perlulah dilakukan secara berperingkat. Ibu bapa janganlah memaksa anak-anak untuk menyukai sesuatu haiwan tersebut. Biarlah minat itu berkembang secara semula jadi. Namun, jika ternyata anak memang benar-benar tidak suka akan haiwan, maka ibu bapa janganlah memaksa dalam perkara ini.

Bercakap dengan haiwan kesayangan bukanlah sesuatu yang pelik kerana perbuatan ini dapat membantu seseorang meluahkan tekanan perasaan yang dialami. Memelihara dan berinteraksi dengan haiwan juga dapat memenuhi keperluan emosi anak-anak dengan menyayangi makhluk ciptaan Allah dan mewujudkan memori indah bagi zaman kanak-kanak mereka. Ia juga dapat dijadikan medium untuk mengeratkan kasih sayang antara anak dan ibu bapa serta adik beradik yang lain. Bagi anak tunggal dalam keluarga terutamanya, masa lapang boleh dipenuhi dengan aktiviti penjagaan haiwan kesayangannya. Selain itu, aktiviti sebegini dapat memupuk rasa dan sikap bertanggungjawab dan bertoleransi dalam diri anak-anak. Jelaskan kepada mereka bahawa haiwan tersebut bergantung harap kepadanya.

Pengusaha dan guru tadika/taska/pra-sekolah/sekolah boleh memanfaatkan aspek ini dengan menerapkan nilai-nilai murni dalam aktiviti pembelajaran seperti lawatan ke zoo haiwan jinak (petting zoo), klinik veterinar dan kaedah ajar-belajar seharian seperti membaca, bercerita, menulis, menyanyi, melukis dan sebagainya yang bertemakan haiwan. Ingatkan mereka kepada kehebatan dan kekuasaan Allah yang menciptakan pelbagai jenis dan rupa haiwan di dunia.

Penjagaan kebersihan, seperti amalan membasuh tangan dengan air dan sabun, haruslah dititikberatkan dan diamalkan dengan betul semasa kita berinteraksi dengan haiwan bagi mengelakkan jangkitan bakteria, virus, fungus dan parasit daripada haiwan. Ibu bapa perlu peka sekiranya anak adalah alah (alergi) terhadap haiwan tertentu dan hal ini perlu dimaklumkan kepada guru di sekolah anak anda supaya ia boleh direkodkan.

Tahukan anda bahawa kucing merupakan binatang yang disayangi oleh Nabi Muhammad SAW dan sahabat baginda iaitu Abu Hurairah RA? Oleh itu, kita hendaklah berbuat baik dengan haiwan dan tidak menzaliminya sama sekali kerana sikap terpuji ini bertepatan dengan sunnah Nabi SAW. Bukan itu sahaja, kita turut mendapat banyak manfaat daripada haiwan yang Allah ciptakan sama ada sebagai haiwan peliharaan, sumber makanan, pengangkutan dan juga terapi!

Related Books