Alam permainan kanak-kanak adalah dunia yang bebas dan dilihat tidak berstruktur. Sewaktu kanak-kanak bermain, kita sering menganggap mereka melakukan satu hal yang remeh bahkan adakalanya tidak masuk akal.
Namun, kita sebenarnya terlupa bahawa aktiviti bermain bagi kanak-kanak adalah satu proses mereka berinteraksi dengan dunia luar, membangunkan pemikiran bahkan melatih kemahiran berbahasa.
Apa hubungkaitnya bermain dengan proses perhubungan sel-sel otak kanak-kanak?
Bagaimana bermain boleh merangsang minda mereka untuk memproses kesan-kesan pengalaman yang kemudiannya diubah menjadi ilmu bermanfaat?
Sebenarnya, terdapat banyak kaedah tidak berstruktur yang boleh digunakan untuk mencambah pengetahuan terutamanya ketika kanak-kanak bermain.
Ahli psikologi Lev Vygotsky pernah menyatakan bahawa “Pencapaian terhebat seorang kanak-kanak mungkin berlaku ketika bermain.”
Bermain ialah alam kespontanan dan kebebasan. Dalam konteks pendidikan, kita mengakui bahawa kespontanan dan kebebasan mesti sekali-sekala (atau selalu) berlaku pada hari yang terancang dan berstruktur.
Namun begitu, kami juga berpendapat bahawa terdapat perbezaan antara permainan bebas – jenis permainan kreatif yang menjurus kepada eksplorasi dan uji kaji – dan sikap suka bermain dan berseronok. Hal ini boleh berlaku biarpun dalam situasi yang paling formal dan telah ditentukan. (Wendy Bowkett. 2012:41)
Ini bermaksud unsur keseronokan adalah sifat khusus bagi pelaksanaan permainan. Kanak-kanak yang bermain lazimnya akan berdialog dengan dirinya sendiri dan membina fantasi yang kompleks.
Mereka menghasilkan dialog yang bersifat dalaman dan melatih kemahiran verbal sekaligus. Sama ada perbualan itu bersifat individu atau secara berkumpulan, cuba dengar dengan teliti.
Ketika kanak-kanak bermain, mereka akan cuba mengajuk segala percakapan individu yang terdekat. Jika apa yang ditirunya sesuatu yang bersifat positif, anda sebagai ibu bapa seharusnya gembira kerana anak anda mula memahami, mengingati dan membina kefahaman tentang sesuatu perkara yang mereka pernah alami.
Sebagai contoh, sewaktu kanak-kanak bermain “pondok-pondok” dengan jiran-tetangga, anda dapat melihat mereka boleh memainkan peranan yang lazimnya digunakan oleh ibu bapa di rumah.
Walaupun berlandaskan imaginasi mereka, keupayaan meniru perbualan orang dewasa ini memperlihatkan proses penguasaan bahasa.
Sama seperti apa yang ditanggapi Vygotsky, bahasa adalah kemahiran yang diperoleh melalui proses yang berterusan. Ia melibatkan sistem komunikasi yang berjaya mengutip memori tentang satu-satu perkara dan secara khusus memahami memori yang disebutkan.
Justeru, bermain dapat dianggap sebagai satu proses untuk mencapai kemahiran berbahasa dan kognitif dalam diri anak-anak.
RUJUKAN
Wendy Bowkeet. 2012. 100 Panduan Membina Amalan Yang Baik Dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Kuala Lumpur. Insitut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.
http://www.childdevelopmentmedia.com/articles/play-the-work-of-lev-vygotsky/