Praktikal Bersama Si Manja: Jom Memasak!

  • Reading time:2 mins read
  • Post category:Kesihatan

Monalisa Harun Chong

Mempunyai pengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang prasekolah sebagai guru prasekolah dan penyelia.

Kanak-kanak pasti tersenyum riang apabila mereka boleh turut serta dalam acara memasak di dapur. Terutama aktiviti memasak yang dirancang dan disediakan untuk dilakukan bersama anak-anak.

Mari mulakan aktiviti memasak sebagai salah satu aktiviti ‘Mesti Buat’ sekali sebulan atau dijalankan setiap hujung minggu jika anda punyai masa.

Aktiviti memasak boleh dimulakan dengan aktiviti-aktiviti mudah seperti:

  1. Mengetahui keselamatan di dapur
    – Mulakan dengan memperkenalkan peraturan-peraturan di dapur, bahaya di dapur, berhati-hati semasa mengendalikan peralatan dapur dan perkenalkan sekali peralatan-peralatan di dapur.
  2. Kebersihan sewaktu mengendali makanan
    – Ajari anak membasuh tangan dengan betul, membasuh bahan-bahan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan sebagainya.
  3. Menimbang tepung, gula, bahan-bahan memasak dengan menggunakan kaedah cawan, sudu dan sebagainya sebelum beralih pada ukuran seperti kg, gram dan sebagainya.
  4. Mulakan dengan aktiviti memasak yang mudah seperti mencampurkan bahan-bahan, memukul telur, mengadun bahan dengan spatula, menguli doh dan sebagainya.
  5. Buatkan kad resepi yang mudah untuk anak-anak ikut dengan ukuran cawan dan sudu.
  6. Mulakan dengan resepi mudah dan sihat yang tidak memerlukan oven. Contoh: No-bake cookies.
  7. Masukkan aktiviti menghias makanan sebagai salah satu aktiviti memasak.

Pesanan sewaktu melakukan aktiviti memasak bersama anak-anak:

  1. Anda meletakkan kegembiraan melakukan aktiviti bersama sebagai objektif pertama dan utama.
  2. Anda memberi anak-anak masa pada permulaan jika anak masih belum mahir dan tidak teratur ketika melakukan aktiviti bersama anda.
  3. Tidak mengapa jika anda masih mengulang aktiviti yang sama. Ini membantu anak menguasai teknik yang dikehendaki.
  4. Jika mereka selalu menumpahkan bahan-bahan masakan, tidak boleh melakukan aktiviti yang dilakukan dengan baik. Ini bermakna motor halus mereka masih lemah dan perlu dikuatkan.
  5. Apa yang penting adalah senyuman dan masa bersama yang bermakna.

Selamat Mencuba! Share Jika Bermanfaat!