Mengapa anak saya malas membaca?
Mengapa anak saya tidak minat membaca walaupun mereka sudah boleh membaca?
Kanak-kanak yang baru boleh membaca masih belum menguasai tahap membaca seperti mereka yang telah lama membaca. Kanak-kanak ini masih memerlukan sokongan dan bantuan. Ibarat anak yang baru boleh mengayuh basikal. Mereka tetap memerlukan bantuan dan sokongan sehingga mereka rasa yakin dan boleh bergerak sendiri tanpa dibantu.
6 tip anda boleh lakukan untuk bantu anak yakin dan suka membaca.
- Mula memilih buku-buku cerita yang mudah, dengan tulisan yang besar dan tidak banyak teksnya.
- Rutinkan anak-anak ini membaca setiap hari pada waktu yang sama dalam masa 2-5 minit sahaja. Tingkatkan masa membaca selepas anak-anak lancar dan yakin membaca.
- Anda boleh bermain permainan “Saya baca, kamu baca”. Anak baca 2 perenggan, anda baca 2 perenggan yang seterusnya.
– anda baca, anak dengar
– anak baca, anda dengar.
Bermain sambil membaca mampu menjadikan aktiviti membaca sesuatu yang menyeronokkan.
- Jadikan shared reading sebagai acara wajib di rumah anda.
– Pilih buku besar: Big book
– Baca sambil menunjukkan pada perkataan satu persatu.
– Ulang membaca buku yang sama sampai anak-anak boleh membaca bersama anda.
Usah risau jika ada anak yang tidak boleh membaca lagi. Aktiviti ini bagus untuk anak-anak yang kurang lancar dengan kaedah foniks.
- Sewaktu membaca bersama anak-anak, anda perlu mengenalpasti perkataan-perkataan yang sukar. Tuliskan perkataan-perkataan sukar itu di atas kad imbasan. Imbas kad selepas membaca atau pada waktu lapang yang lain.
- Jadikan acara “Mari Saya Bacakan” satu rutin di rumah anda.
– Kali ini biar anak yang membacakan cerita di depan anda (ibu bapa) dan adik-beradik yang lain.
Waktu mendengar cerita adalah waktu yang istimewa dan memerlukan fokus yang baik. Elakkan dari memasang TV ketika sesi bacaan dijalankan.