Tingkatkan Keselamatan Anak di Dalam Kenderaan

  • Reading time:3 mins read
  • Post category:Pendidikan

Rohafizah Mohammad

Rohafizah binti Mohammad Nasir merupakan pensyarah di Jabatan Pendidikan, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM), Kolej UNITI, Port Dickson

Saban hari kita sering mendengar dan membaca mengenai kes kemalangan kanak-kanak di dalam kereta. Statistik yang diperolehi daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), pada tahun 2013 sahaja seramai 59 orang bayi berusia kurang setahun meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami ketika kemalangan jalan raya. Siapakah yang harus kita persalahkan? Adakah ibu bapa mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan keselamatan anak terjamin sepanjang keberadaannya di dalam kereta?

Menurut Fiedler (2004), kemalangan boleh berlaku di mana-mana. Bahaya tidak dapat dielakkan kerana bahaya terdapat di setiap tempat, setiap keputusan yang dilakukan dan pada setiap tindakan yang diambil. Jadi, ibu bapa perlu lebih peka dan bertanggungjawab dalam menyediakan persekitaran yang selamat di dalam kereta bagi mengelak kemalangan menimpa anak kecil mereka kerana hakikatnya ’malang tidak berbau’.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Profesor Dr. Wong Shaw Voon berkata, kerusi keselamatan kanak-kanak dapat meningkatkan peluang mereka untuk terus hidup dalam kemalangan yang serius. Ini merupakan langkah pencegahan bagi mengelak risiko kecederaan yang lebih serius kepada si kecil.

Di Malaysia, penggunaan kerusi kanak-kanak masih belum diwajibkan dan dikuatkuasakan sepenuhnya. Namun begitu, kerusi keselamatan kanak-kanak adalah cara yang terbaik bagi melindungi mereka serta mampu mengurangkan risiko cedera parah sekiranya berlaku kemalangan. Ibu bapa perlu mengambil langkah bijak dalam aspek keselamatan bagi memastikan anak mereka sentiasa berada dalam keadaan yang selamat walau di mana mereka berada termasuklah di dalam kereta.

Kesimpulannya, ibu bapa masa kini perlu lebih prihatin dan peka dengan keadaan sekeliling. Penggunan kerusi keselamatan dalam kereta adalah penting bagi memenuhi keperluan anak sepanjang berada dalam kereta. Oleh itu, ibu bapa perlu memastikan penggunaan kerusi keselamatan digunakan dengan cara yang betul dan mengikuti segala garis panduan yang ditetapkan dalam usaha memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin.

TIP PEMILIHAN KERUSI KESELAMATAN

1. Bayi baru lahir sehingga umur 1 tahun, berat sehingga 9 kg dan tidak mampu menyokong kepala dengan betul:

  • Kerusi menghadap ke belakang
  • Dipasang di tempat duduk belakang dengan tali pinggang keledar

2. Umur 9 bulan sehingga hampir 4 tahun, berat di antara 9 kg – 18 kg:

  • Kerusi menghadap ke hadapan
  • Dipasang di tempat duduk belakang dengan tali pinggang keledar

3. Umur 4 hingga 11 tahun, berat di antara 15 kg – 36 kg

  • Penggunaan kerusi pengalas yang direka khas untuk kanak-kanak supaya tali pinggang orang dewasa dapat digunakan merentasi dada dan pinggul mereka dengan selamat
  • Kerusi menghadap ke hadapan
  • Dipasang di tempat duduk belakang dengan tali pinggang keledar