Dalam kehidupan berkeluarga, terdapat pelbagai ragam yang akan dihadapi ibu bapa. Kanak-kanak mempunyai keperibadian tersendiri yang mungkin sukar untuk dihadapi tetapi masih boleh dibentuk.
Ikatan kasih sayang menjadi tunjang kebahagiaan hidup berkeluarga. Menyatakan kasih sayang terhadap anggota keluarga akan membawa kesejahteraan dalam kehidupan berkeluarga.
Sebagai langkah awal, anda perlu sentiasa mengingatkan anak anda untuk mengucapkan terima kasih kepada setiap seorang anggota keluarga setelah meminta pertolongan biarpun kecil.
Bukan berhenti setakat itu, anda juga perlu menunjukkan tauladan yang baik dan berterima kasih kepada anak anda di atas pertolongan yang diberikan.
Sebagai ibu bapa, anda perlu bersama-sama dengannya dalam melakukan pekerjaan yang mungkin menyukarkan anak anda untuk menghadapinya.
Belajar untuk melakukan setiap pekerjaan dengan tekun. Ini akan menjadikan pekerjaan yang dilakukan lancar malah membuatkan anggota keluarga menjadi gembira.
Anak-anak perlu berasa seronok untuk melakukan pekerjaan. Jika dia ikhlas dalam melakukan tugasan yang anda berikan, dia akan menyegerakan segala tugas tanpa berbelah-bagi.
Jika anak anda meminta anda membantunya, jangan melambat-lambatkan pertolongan yang diberikan. Kanak-kanak sukar memberikan tumpuan dan mudah bosan ketika melakukan sesuatu pekerjaan.
Contoh yang baik dapat menunjukkan rasa kasih sayang adalah dengan melakukan tugasan rumah yang lebih banyak ketika anggota keluarga sedang sakit.
Anda boleh meminta anak anda untuk membantu menjaga keperluan ahli keluarga yang sedang sakit. Ini akan menggalakkan perasaan memerlukan dalam setiap anggota keluarga.
Untuk menjadikan masa makan sesuatu yang menarik, pastikan anda duduk semeja dan minta setiap seorang dari anak anda untuk membaca doa makan. Ukhwah yang terjalin dalam kalangan anggota keluarga akan bertambah rapat.
Adab menyambut tetamu merupakan sesuatu perkara yang wajar dididik kepada anak anda ketika dia masih kecil.
Pastikan anak anda berada di ruang tamu dan belajar berkomunikasi dengan para tetamu. Jika anak hanya duduk di dalam biliknya sepanjang tetamu berkunjung, besar kemungkinan anak anda akan mengulangi tabiat yang sama dan sukar berhubung dengan individu luar.
Kesimpulannya, kasih sayang dalam diri anak-anak dapat dipupuk dengan meluangkan masa berkualiti bersama. Melakukan aktiviti riadah, meluahkan perasaan dan menceriakan suasana di rumah dapat membantu anak anda dalam menjalani kehidupan yang memutikkan kasih sayang di jiwa mereka.