7 Tip Mendidik Anak Membahagiakan Ibu bapa

  • Reading time:4 mins read
  • Post category:Kerohanian

Nasary Yusof

Ustaz Nasary Yusof merupakan penulis di Al Ameen Serve Holdings Sdn Bhd.

Tidak dapat dinafikan bahawa kita semua bercita-cita dan menginginkan anak-anak  menjadi insan yang baik lagi mulia dan dapat pula membahagiakan hati kita.  Bagi mencapai hasrat yang mulia ini, berikut adalah 7 tip yang perlu  kita lakukan sebagai ibu bapa supaya anak-anak dapat mencontohinya bagi membahagiakan kita pula nanti:

Prihatin

Antara perkara yang amat penting bagi anak-anak ialah prihatin dan peka terhadap keperluan ibu bapa. Sebagai contoh yang mudah, hulurkanlah sedikit pertolongan berbentuk wang ringgit setiap bulan bagi membantu melengkapi keperluan makan minum dan keperluan harian mereka. Sedihnya, ramai dalam kalangan kita sebagai anak mengabaikan tanggungjawab ini. Jauhilah sikap melepas tangan dengan mengharapkann adik-beradik lain yang memikulnya.

Bertanya Khabar

Setiap anak hendaklah menyedari bahawa ibu bapa itu sentiasa merindui  anak-anak mereka. Apa salahnya anak-anak bertanya khabar tentang kesihatan dan kehidupan harian mereka. Ruangkanlah sedikit masa walaupun sekadar 5 minit untuk bertanya khabar, sesungguhnya sekira kita mengingati mereka maka mereka akan lebih mengingati kita.

Bercakap Dengan Baik

Setiap kali bercakap, berbincang dan bergurau senda dengan kedua-dua ibu bapa kita, maka semestinya kita perlu merendah dan melembutkan suara kita. Jangan sekali-kali kita melukakan hati mereka dengan suara yang angkuh dan sombong. Bercakaplah dengan penuh kemesraan dan dengan gaya keanak-anakan walau setinggi mana pun pangkat dan jawatan kita.

Memberi Hadiah

Suatu perkara yang paling mudah dan amat berkesan kepada hati kedua-dua ibu bapa kita ialah memberi hadiah kepada mereka sempena hari lahir atau tarikh lahir kita sendiri. Ramai dalam kalangan kita yang meraikan tarikh kelahiran anak-anak mereka sahaja, tetapi lupa untuk meraikan ibu bapa mereka. Berikanlah hadiah kepada ibu bapa kita sempena hari kelahiran kita, tuliskanlah secebis kata pada hadiah tersebut, “Mak saya memohon maaf di atas segala kesilapan saya terhadap Mak, saya juga amat berterima kasih kepada Mak yang sanggup bersabar mendidik saya dari saya kecil hinggalah saya menjadi manusia yang berguna sepertimana saya pada hari ini.”  Inilah tanda syukur kita kepada Allah dan terima kasih kita kepada ibu bapa kita yang telah berkorban untuk kita semasa kita kecil dahulu.

Layanan Yang Terbaik

Memberi layanan yang terbaik semasa ibu bapa ada di rumah kita atau di rumah mereka. Hidangilah makanan kepada mereka, jemputlah mereka menjamu selera terlebih dahulu sebelum menjemput suami atau isteri kita. Dahulukan mereka dalam setiap perkara dan janganlah kita melukakan hati ibu bapa kita dengan layanan yang kurang baik. Ada masanya kita terleka dalam hal seperti ini.

Pujian

Sentiasalah beri pujian dan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada kedua-duanya. Hargailah mereka walaupun pemberian mereka cuma sesikat pisang  atau sekilo beras sebagai buah tangan. Terimalah hadiah tersebut dengan hati yang penuh ikhlas dan penuh kasih sayang.

Mendoakan

Sentiasalah mendoakan kedua-dua ibu bapa kita. Basahilah lidah kita dengan satu doa yang diajar sendiri oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya, “Ya Allah ya Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku, kasihanilah keduanya sebagaimana  mereka mengasihaniku semasa aku masih kecil.”

Satu lagi doa yang elok diamalkan ialah, “Ya Allah yang Tuhanku, jadikanlah diriku dan kedua ibu bapaku sebagai hamba-Mu yang terbaik dan tempatkan kami semua di Syurga Firdaus-Mu.”

Semoga dengan doa ini segala dosa kita diampuni oleh Allah SWT dan semoga kedua-dua ibu bapa kita juga sentiasa menyayangi dan merindui kita dengan terus mendoakan agar kita semua selamat di dunia dan di akhirat. Amin ya Rabbal Alamin.

Mencari bahan bacaan yang dapat memupuk sikap murni dalam diri anak-anak?

***Dapatkan majalah AWAL yang menyediakan cerita yang mengajak mereka menilai sikap dan mencontohi amalan yang baik dalam segmen KISAH TELADAN pada setiap isu. Layari eniaga.awal.my untuk bahan pendidikan awal kanak-kanak yang ceria dan menarik.

Related Books