Kanak-kanak merupakan golongan yang turut terjejas emosi mereka akibat banjir yang melanda beberapa buah negeri baru-baru ini. Bencana alam seperti ini sememangnya memberikan impak yang begitu mendalam kepada anak-anak.
Anak-anak yang terlibat dalam bencana banjir akan cenderung untuk mengalami trauma yang berpanjangan apatah lagi sekiranya bencana banjir ini berlaku saban tahun bagi mereka yang berada di negeri-negeri pantai timur pada hujung tahun. Tanda anak anda mengalami stres ialah:
- Anak akan menjadi clingy dan tidak mahu berenggang dengan ibu-bapa akibat berasa takut dengan keadaan sekeliling seperti suasana di pusat pemindahan banjir yang padat dengan mangsa-mangsa banjir.
- Anak-anak akan mengalami rasa cemas sepanjang masa kerana berasa bimbang dengan keadaan sekeliling
- Kanak-kanak akan mengalami masalah depresi dan kehilangan selera makan akibat rasa cemas yang berpanjangan.
Kesan sampingan yang akan dialami oleh kanak-kanak akibat bencana
- Kanak-kanak akan mengalami masalah pembelajaran akibat banjir kerana mereka tidak dapat belajar dalam keadaan yang selesa kerana banjir mengakibatkan kemusnahan harta benda dan peralatan persekolahan.
- Kanak-kanak akan mengalami trauma kerana bencana tersebut membuatkan mereka sentiasa berasa cemas, takut dan lebih teruk sekiranya mereka kehilangan individu yang disayangi.
- Kanak-kanak enggan berenggang dengan ibu-bapa selepas bencana banjir berlaku dan ini menyebabkan mereka enggan ke sekolah.
- Berlakunya kerisauan yang melampau terutamanya mengenai keadaan tempat tinggal mereka selepas bencana banjir berlaku.
Tip untuk mengatasi trauma kanak-kanak pasca bencana:
- Ajarkan anak-anak pengetahuan asas seperti langkah-langkah keselamatan ketika menghadapi banjir dengan cara yang paling mudah difahami anak. Gunakan pendekatan seperti bercerita, berkongsi gambar dengan anak-anak.
- Komunikasi dua hala antara ibu bapa dan anak. Ibu bapa hendaklah mendengar dan mengambil berat perasaan anak dengan penuh empati dan galakkan anak-anak bercerita dan meluahkan apa yang dirasa kepada anda.
- Banyakkan membuat aktiviti bercerita, mewarna, membuat kraftangan, bermain dan pelbagai lagi yang sesuai mengikut usia anak.
- Ibu bapa perlu memantau keadaan kesihatan anak-anak selepas bencana. Sekiranya anak menunjukkan tanda-tanda tidak sihat, dapatkan rawatan segera.
Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada mangsa banjir yang mempunyai anak kecil.