Vape: Anak Itu Amanah

  • Reading time:4 mins read
  • Post category:Pendidikan

Roselinee Mohammad Radzi

Jawatankuasa Pembangunan dan Pembelaan Kanak-Kanak Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Negeri Selangor

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluargamu daripada api neraka…” (Surah al-Tahrim, Ayat 6)

Ini memberikan makna yang jelas bahawa setiap individu mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan diri dan keluarga terhindar daripada api neraka dalam apa jua keadaan sekalipun. 

Peranan ibu dan bapa tidak hanya terhad kepada memberi makanan, pakaian dan tempat berlindung sahaja. Malah ibu bapa sewajarnya mempunyai sifat qawwam iaitu bertanggungjawab, mengambil berat, memenuhi keperluan, mengurus, prihatin, memimpin, mengawal dan membela anak-anak di bawah tanggungan mereka. 

Kita dikejutkan dengan perkongsian seorang ibu di akaun Instagram milik peribadi yang membenarkan anak berumur dua tahun menyedut rokok elektronik (vape) tanpa rasa bersalah. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku dan sama sekali tidak boleh dianggap sebagai gurauan oleh kedua ibu bapa.

Apa yang berlaku hari ini menunjukkan betapa kurang peka dan prihatinnya ibu bapa terhadap kesan jangka masa panjang kepada emosi, tingkah laku dan kesihatan serta perkembangan dan tumbesaran kanak-kanak tersebut. 

Umum mengetahui yang cecair rokok elektronik bukan sekadar mengandungi wap air malah mengandungi nikotin. Nikotin merupakan hasil tembakau yang menyebabkan ketagihan iaitu sejenis gangguan otak kronik.

Melalui beberapa analisis sampel cecair rokok elektronik secara rawak oleh Makmal Toksikologi, Pusat Racun Negara, terdapat kandungan cecair rokok elektronik yang mengandungi nikotin sehingga 4 mg dalam 1 ml cecair. Ini bermakna setiap botol yang mengandungi 25 ml cecair rokok elektronik akan mengandungi sehingga 100 mg nikotin.

Nikotin serendah 2 mg sudah boleh menyebabkan gangguan pada perut dan usus. Dos yang lebih tinggi boleh menyebabkan kesan yang lebih teruk antaranya sawan dan kegagalan pernafasan. Nikotin pada paras sekurang-kurangnya 40 mg boleh menyebabkan kematian.

Tempoh umur enam tahun dan ke bawah merupakan fasa perkembangan otak yang pesat bagi kanak-kanak. Namun sekiranya seawal usia dua tahun anak telah didedahkan dengan asap rokok elektronik, dikhuatiri akan membantutkan perkembangan kognitif dan tingkah laku.

Ini bukan sahaja menjejaskan ingatan, malah akan mengganggu perhatian kanak-kanak tersebut pada masa akan datang.

Pembentukan tingkah laku anak-anak adalah melalui teladan yang ditunjukkan oleh ibu bapa. Sikap sambil lewa yang membenarkan anak menyedut rokok elektronik akan meningkatkan risiko anak-anak untuk menjadi penghisap ‘vape’ dan dibimbangi membawa kepada ketagihan yang lebih bahaya seperti dadah.

Anak-anak walau secara zahirnya dilihat sebagai hak milik ibu bapa,  namun mereka sebenarnya bukanlah hak mutlak kita. Anak adalah  amanah daripada Allah SWT kepada ibu bapa untuk dididik, dilindungi serta disempurnakan hak-hak mereka sehingga kelak mereka kembali semula kepada Allah SWT dalam keadaan husnul khatimah (sejahtera). 

Untuk sampai kepada tahap yang sedemikian, ibu bapa perlu sentiasa menambah nilai diri dengan sentiasa mendalami pelbagai pengetahuan dan kemahiran seperti pengetahuan agama, kesihatan dan kemahiran  keibubapaan dalam membesarkan anak-anak. 

Sudah tiba masanya ibu bapa dan masyarakat untuk MENGIKTIRAF bahawa seorang kanak-kanak bukan sahaja merupakan suatu bahagian penting masyarakat malah mereka juga merupakan kunci kepada kehidupan, pembangunan dan kemakmuran masyarakat seperti yang termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001. 

Untuk membentuk masyarakat Malaysia madani yang unggul dan ke arah pembentukan Negara Rahmah, maka seluruh anggota masyarakat perlu menjadi pelindung, pemelihara serta memberi bantuan dari segi fizikal, mental dan emosi agar anak-anak hari ini dapat tumbuh dan berkembang baik supaya mereka menjadi generasi peneraju pada masa hadapan.

Kita tidak mahu melihat generasi hari ini lumpuh, gugur dan tiada matlamat yang jelas hanya kerana tiada didikan serta sokongan yang ampuh bermula daripada keluarga khususnya dan masyarakat amnya.

Lihat sahaja kajian MyHealth pada tahun 2019, statistik menunjukkan pada tahun 2015 sebanyak 3.06 peratus kanak-kanak lelaki dan 0.42 peratus kanak-kanak perempuan berumur antara 10 hingga 14 tahun telah mula merokok, malah sekitar 27 peratus pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 adalah perokok.

Ini jelas menunjukkan bahawa ia bukanlah suatu perkembangan yang sihat kerana umum mengetahui kesan rokok kepada kesihatan serta tumbesaran anak-anak. 

Amat besar tanggungjawab yang tergalas di bahu ibu bapa dan setiap anggota masyarakat bagi memastikan kesejahteraan perkembangan anak-anak sebagai pewaris masa hadapan.

Anggota masyarakat perlu mengambil bahagian dan sentiasa berperanan bagi memastikan generasi pewaris yang berkualiti dan mampu menggalas amanah sebagai khalifah. Kita tidak mahu meninggalkan generasi akan datang dengan kehidupan yang kelam.  

Leave a Reply