Meneliti kemahiran kanak-kanak yang baru belajar menulis agak berbeza berbanding pelajar sekolah yang sudah mempunyai asas penulisan. Kanak-kanak di usia prasekolah perlu dipermudahkan dengan peralatan menulis seperti kertas dan pensel. Beri galakan kepada anak anda untuk menconteng sesuatu biarpun belum lagi di bangku tadika. Seeloknya anak diberi pendedahan dalam melakukan aktiviti-aktiviti yang merangsang kemahiran motor halus mereka dan menulis adalah salah satu daripada aktiviti yang boleh dilakukan.
Biarpun sukar untuk mengenali contengan yang si manja anda lakukan, cuba bertanya kepadanya tentang apa yang dilukiskan. Biarpun hanyalah garisan-garisan berceranggah, mungkin saja anak anda mentafsirkan sesuatu yang jauh daripada bentuk sebenar. Jangan ketawa! Semakin banyak peluang yang diberikan kepada anak anda untuk menulis, semakin memuncak semangatnya untuk menulis dengan lebih baik.
Sentiasa libatkan diri anda dalam setiap aktiviti si manja demi memudahkan mereka untuk mencapai kemahiran menulis yang baik. Jika selama ini, anda jarang membawa anak anda ke pasar raya, sekarang tibalah masa untuk si manja anda beraksi. Jika dia menginginkan sesuatu, minta padanya untuk menulis permintaannya di dalam senarai belian. Usaha ini bukan sahaja dapat menyemai kasih sayang di antara anda berdua malah mampu mencambah keyakinan diri anak-anak untuk menulis.
Anda juga boleh mengamalkan teka-teki atau membuat kejutan dengan meletakkan nota-nota kecil sama ada di bawah pinggan anak anda atau di bawah bantalnya. Mungkin untuk memberitahunya tentang lawatan mengejut, permainan teka-teki dan peribahasa. Ini turut membantu si manja memperkembangkan kemahiran membaca dna menulisnya.
Anak anda biasanya menyedari jika anda benar-benar ikhlas untuk membaca apa yang ditulisnya. Teknik asas untuk menambat hati anak anda adalah dengan tidak memberi komen-komen negatif terhadap hasil penulisannya. Sebutkan kelebihan-kelebihan yang anda lihat daripada penulisan kreatif yang telah digarap si manja anda.
Jika dalam hasil penulisannya, anak anda kerap melakukan kesalahan, anda tidak perlu menggariskan setiap kesalahan yang telah dia lakukan. Cukuplah menandakan satu atau dua kesalahan yang sama agar anak anda memahami kesilapannya. Berusaha untuk menyedari kelebihan yang dia miliki pasti membantu anak anda dalam jangka masa yang panjang.
Kesimpulannya, anak anda akan mempercepatkan langkahnya dalam menulis jika anda benar-benar memahami tanggungjawab anda sebagai pemangkin yang memberikan jalan mudah untuknya.