Daripada STEM Kepada STEAM – yang mana lebih baik?

Prof. Emeritus Dato Dr. Aminah Ayob

Prof. Emeritus Dato' Dr. Aminah merupakan Pensyarah di Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Bidang kepakaran beliau adalah Pendidikan Sains, Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Brain-based Learning.

Dalam artikel yang lepas, saya telah menerangkan dan memberi contoh projek STEM (Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik). Sila lihat artikel berkaitan: Pendidikan STEM. Dalam artikel ini saya akan perkenalkan pula mengenai pendidikan STEAM iaitu STEM ditambah dengan mata pelajaran Seni (Art), Sastera dan Budaya (Arts/Culture). Dengan itu saintis/jurutera yang dilahirkan boleh mengintegrasikan seni dan keindahan serta budaya dalam sesuatu produk yang dihasilkan. STEAM lebih menekankan kreativiti dalam penyelesaian masalah. Mengikut pandangan pakar, STEAM adalah lebih menyeluruh dan baik untuk prospek kerjaya pada masa hadapan.

Pada pandangan saya STEAM adalah lebih relevan untuk murid-murid prasekolah kerana ia mengambil kira kecenderungan kanak-kanak dalam kedua-dua bidang iaitu Sains dan Matematik serta Seni*, Sastera dan Budaya. Kecenderungan ini perlu dikenal pasti sejak kecil supaya dapat disuburkan.

Tambahan lagi, bukan semua pelajar ingin menceburi bidang Sains dan Matematik pada masa hadapan; ramai juga berminat untuk menerokai bidang-bidang berkaitan Seni, Industri Kreatif, Animasi, Pengiklanan, Pereka Bentuk, Pereka Fesyen dan bidang-bidang profesional yang lain.

*Mata pelajaran ‘Seni’ termasuklah lukisan, catan, anyaman, kraf, muzik, lakonan, tarian
dan drama. 

Perbezaan Antara STEM Dengan STEAM

Sebenarnya kedua-dua bidang ini adalah hampir sama dan berfokus kepada pembelajaran STEM; tetapi dalam STEAM, aspek kreativiti dan estetika  ditambah supaya pembelajaran STEM menjadi lebih relevan dan sesuai dengan minat pelajar secara keseluruhannya.

Perbezaan kedua-dua bidang ini dapat diperjelaskan melalui objektif atau tujuannya iaitu:

Pendidikan STEM bertujuan:

Memupuk minat kanak-kanak supaya suka belajar Sains, Matematik, Teknologi, dan Kejuruteraan melalui kaedah saintifik;

Melahirkan saintis, ahli matematik, jurutera, doktor, bioteknologis, software developers, robotic atau drone engineers, penganalisis data dan big data, programmers dan sebagainya, bagi memenuhi bidang pekerjaan berteraskan STEM pada masa hadapan.

Pendidikan STEAM bertujuan:

Meningkatkan kreativiti dan estetika dalam pembelajaran STEM;

Melahirkan saintis, jurutera dan teknologis yang kreatif dan inovatif serta tahu menghargai seni dan keindahan warisan budaya dan alam sekitar.

Secara ringkas perbezaannya adalah seperti berikut:

STEM

STEM lebih menekankan pembelajaran konsep-konsep asas SAINS, MATEMATIK dan aplikasinya dalam ENGINEERING dan TEKNOLOGI.

STEM bertujuan memastikan lebih ramai murid terlibat atau memilih bidang Sains, Teknologi, Matematik, dan Engineering  sebagai pengkhususan di peringkat universiti.

STEAM

STEAM menekankan REKA CIPTA, KREATIVITI dan SENI (termasuk Bahasa, Budaya, Kemanusiaan, Warisan dan Ilmu Kemanusiaan).

STEAM bertujuan memastikan pelajar masa hadapan berdaya maju dengan sendiri melalui karya inovatif, kreatif dan berestetika serta mempunyai nilai-nilai kemanusiaan (humanity).

Perbezaan daripada segi bidang pekerjaan

Rajah 1 menunjukkan jenis-jenis pekerjaan yang sesuai dengan bidang STEM dan STEAM. Maklumat ini perlu diambil perhatian oleh setiap ibu bapa dan guru kerana kebanyakan pekerjaan yang ada sekarang, terutama yang berkaitan perkhidmatan (services) dan yang berbentuk rutin seperti perkeranian, jurujual, pekerja kilang, akauntan, jururawat, dan sebagainya termasuk juruterbang (pilot) mungkin tidak wujud lagi pada masa hadapan. Menurut Bank of England, 95 juta pekerjaan akan diambil alih oleh robot dalam masa 10 hingga 20 tahun akan datang (https://bgr.com/2015/11/16/robots-replacing-human-jobs). Oleh itu, penting sekali kita menyediakan pelajar hari ini dengan kemahiran STEM/STEAM yang akan menjadi fokus pekerjaan masa depan.

Rajah 1: Contoh Pekerjaan dalam STEM dan STEAM

(Sumber: AminahAyob, STEAM untuk Prasekolah, 2018)

Senario STEM/STEAM Di Malaysia

Malaysia sangat memerlukan ramai pelajar meminati bidang STEM/STEAM supaya kelak mereka akan menceburi bidang kerjaya STEM/STEAM. Jadual 1 menunjukkan bilangan saintis bagi setiap 10,000 pekerja di beberapa negara termasuk Malaysia. Data ini jelas menunjukkan Malaysia perlu mengambil langkah segera dan drastik bagi membangunkan minat pelajar terhadap STEM/STEAM, dan ia mesti bermula di prasekolah.

Pelbagai usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan bilangan pelajar yang meminati STEM/STEAM di prasekolah dan sekolah.

Jadual 1: Nisbah Bilangan Saintis per 10,000 pekerja di beberapa Negara (Wikipedia, 2015)

Keperluan Kritikal

Menurut Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), kebanyakan pelajar di Malaysia, kurang berminat menyertai bidang STEM. Beliau menyatakan:

“Ketika ini terdapat hanya 90,000 pelajar aliran sains yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), jauh kurang berbanding 270,000 yang diperlukan setiap tahun.”

“Bagi menggerakkan negara ini ke depan, kita memerlukan lebih ramai ahli sains dan jurutera yang lahir daripada mata pelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).” (ASM, 5 Nov 2016).

Kemelut ini seterusnya dibangkitkan lagi pada 2017 oleh Menteri di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bimbang dengan penurunan peratusan nisbah pelajar aliran sains di sekolah menengah di seluruh negara. Malah, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 membuktikan penurunan mendadak dalam beberapa mata pelajaran STEM.

Sebagai contoh, bagi subjek berkaitan teknologi atau kejuruteraan, Lembaga Peperiksaan menyatakan seramai 8,854 calon menduduki kertas Lukisan Kejuruteraan pada 2017, merosot dengan ketara pada tahun lalu (2018) dengan hanya 1,928 calon. Manakala bagi Pengajian Kejuruteraan Awam seramai 681 calon menduduki kertas berkenaan pada 2017, berkurangan kepada 679 tahun berikutnya (KPM, 2018).

Bagi mata pelajaran English for Science and Technology, penurunan mendadak dari 1,254 calon pada 2017 kepada 799 calon pada 2018.

Menurut Menteri Pendidikan (2018), jumlah pelajar dalam aliran STEM yang sangat sedikit ini memberi implikasi kepada universiti dan politeknik atau institusi latihan kemahiran yang bertujuan menghasilkan sumber manusia mahir dan separa mahir seperti jurutera, juruteknik, arkitek, saintis dan penyelidik.

Tren yang dilihat ini sangat membimbangkan. Ada kemungkinan negara kita tidak mampu melahirkan ramai tenaga kerja bidang STEM pada masa hadapan, dan terpaksa mengimport pakar-pakar STEM dari luar negara. Rajah 2(a) dan 2(b) menunjukkan negara-negara yang bakal mempunyai bilangan saintis dan jurutera yang ramai menjelang tahun 2030.

Rajah 2 (a): Negara paling ramai Saintis pada tahun 2030 (Sumber: OECD, 2017)

Rajah 2 (b): Negara paling ramai graduan kejuruteraan (UNESCO, 2015)

Menyedari hal ini, maka amat penting disuburkan minat kanak-kanak sejak di prasekolah dalam bidang STEM/STEAM.

Saya akan memberi beberapa contoh projek STEAM pada masa akan datang dalam portal ini.

Artikel berkaitan: https://www.thestar.com.my/news/education/2019/03/17/interest-in-science-continues-to-drop

Related Books