Apakah imunisasi?
Imunisasi merujuk tindakan merangsang sistem daya lawan jangkitan (imun) untuk menghasilkan antibodi melalui pemberian vaksin. Ia juga merupakan satu kaedah pembentukan daya lawan (imuniti) jangkitan penyakit cegahan vaksin secara aktif. Vaksin mengandungi antigen yang diperolehi dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin berfungsi untuk merangsang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.
Imunisasi diperlukan bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat daripada dijangkiti pelbagai penyakit cegahan vaksin yang serius yang boleh mengakibatkan kecacatan dan kematian. Selain itu, imunisasi bertujuan melindungi mereka yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan dan tidak sesuai menerima imunisasi seperti kanak-kanak yang menghidap kanser. Ini juga dapat mengelak berlakunya kejadian wabak penyakit cegahan vaksin.
Siapakah yang perlu mendapatkan imunisasi?
Imunisasi adalah hak kanak-kanak seperti yang termaktub dalam Konvensyen Hak Kanak-kanak. Ibu bapa yang tidak memenuhi keperluan anak ini boleh dikatakan telah mencabul hak asasi anak. Anak berhak mendapatkan imunisasi supaya dapat merangsang tumbesaran dalam persekitaran yang selamat. Pemberian imunisasi ini adalah penting dalam memastikan kelangsungan dan kesejahteraan hidup anak.
Semua bayi, kanak-kanak dan murid sekolah perlu mengikut Jadual Imunisasi Kementerian Kesihatan Malaysia. Imunisasi orang dewasa juga disarankan bagi golongan seperti pengendali makanan, anggota kesihatan, jemaah haji dan umrah serta pengembara. Kebanyakan ibu bapa berpendapat daya lawan jangkitan yang diperoleh secara semula jadi lebih baik dari imunisasi. Adakah perkara ini benar?
Daya lawan jangkitan yang diperolehi secara semula jadi tidak mencukupi bagi sesetengah penyakit dan amat berbahaya seperti Polio dan Measles. Jangkitan semula jadi ini memberi risiko kepada kanak-kanak untuk mendapatkan kompilasi termasuk kecacatan kekal dan kematian. Vaksin memberi perlindungan setaraf dengan imuniti yang terhasil daripada jangkitan semula jadi, tanpa perlu melalui risiko kompilasi jangkitan.
Fatwa mengenai imunisasi
Adakah imunisasi ini selamat?.Sebelum vaksin dipasarkan secara komersial, ia diuji dengan rapi pada ribuan orang menerusi kajian klinikal berskala besar. Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa imunisasi adalah satu-satunya cara pencegahan yang dapat dilakukan bagi mengelakkan penyakit cegahan vaksin. Maka program tersebut adalah harus, kerana sesuatu kerosakan akan cepat berkembang dan bahayanya adalah lebih besar. Oleh hal yang demikian, penggunaan vaksin dalam imunisasi itu adalah harus dari segi syarak dan bagi kemaslahatan umum.
Kesan sampingan imunisasi
Kesan sampingan lazimnya termasuk kesan merah pada kawasan suntikan dan demam. Namun, kebanyakan kesan ini adalah ringan dan sembuh dengan segera. Kesan sampingan serius jarang berlaku seperti loya dan sawan. Sekiranya terdapat kesan sampingan yang serius bawa anak ke klinik atau hospital dengan kadar yang segera.
Kesimpulannya, pengetahuan mengenai imunisasi adalah penting dalam kalangan ibu bapa. ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapatkan imunisasi bagi memastikan anak-anak dapat membesar dalam keadaan yang sihat dan selamat. Imunisasi adalah hak anak yang perlu dipenuhi demi kelangsungan dan kesejahteraan hidup.