Menyemai minat membaca harus dimulakan seawal usia. Konsep menyemai itu sendiri harus bermula dengan menanam perasaan positif ketika membaca. Ibarat menanam benih, ia harus disemai dengan baja dan air serta sinar matahari secukupnya; minat membaca juga harus disemai dengan perasaan suka kepada buku dan secara beransur-ansur.
Peranan ibu bapa dan guru untuk menyemai minat membaca sebenarnya lebih besar sebelum mengajar kemahiran membaca. Ibu bapa dan guru harus menyemai perasaan minat kepada buku dan cerita dalam diri anak terlebih dahulu sebelum mereka diajar membaca. Minat membaca itu akan bercambah menjadi perasaan suka membaca sekiranya ia dipupuk dari seawal usia. Apabila kanak-kanak sudah suka membaca, maka ia akan menjadi nilai dalam diri kanak-kanak. Kanak-kanak yang menjadikan membaca sebagai nilai, akan tumbuh menjadi insan yang berfikir secara kreatif and kritis. Pemikiran dinamik sudah tentu hasil dari pembacaan yang meluas dan pelbagai.
Sekiranya anak-anak dipaksa untuk belajar membaca, pada satu peringkat, mereka mungkin boleh membaca namun minat untuk membaca mungkin beransur pudar. Lebih membimbangkan sekiranya, minat itu terus lenyap apabila mereka menginjak usia dewasa. Paksaan membaca akan membawa kesan jangka masa panjang pada diri kanak-kanak.
Lumrah, kanak-kanak yang masih kecil suka mendengar cerita. Ibu bapa dan guru boleh memilih buku yang bersesuaian dengan minat, tahap pengetahuan, dan perkembangan kanak-kanak. Bayi juga boleh melihat gambar yang terdapat dalam buku cerita, mendengar suara ibu bapa atau guru dalam pelbagai pelbagai intonasi ketika bercerita. “Bonding” juga berlaku di antara ibu bapa atau guru dan kanak-kanak melalui aktiviti bercerita secara santai. Hubungan yang erat ini penting dalam menyemai minat membaca kerana anak-kanak berasa senang dan aman serta tiada gangguan daripada gajet atau seumpamanya sewaktu aktiviti ini dijalankan. Sekiranya kanak-kanak sudah boleh membaca, usah tinggalkan aktiviti bercerita. Sesekali minta kanak-kanak untuk membaca cerita pada anda. Ini juga merupakan penghargaan ibu bapa dan guru kepada kebolehan kanak-kanak.
Persekitaran memainkan peranan yang penting bagi menyemai minat membaca kanak-kanak. Pastikan bahan-bahan bacaan senang dicapai oleh kanak-kanak pada bila-bila masa dan koleksi bahan boleh ditambah dari masa ke semasa mengikut keperluan perkembangan kanak-kanak. Ibu bapa dan guru juga boleh menunjukkan contoh yang baik dengan menjadikan buku sebagai pendamping di masa terluang. Kanak-kanak yang melihat suasana ini di rumah baik di sekolah pasti akan merangsang minat mereka untuk membaca. Sediakan sedikit peruntukan wang untuk membeli bahan bacaan seiring peningkatan usia anak-anak. Selain itu, perpustakaan juga menyediakan ruang dan bahan bacaan untuk kanak-kanak.
Akhir kata, marilah kita menyemai minat membaca dari seawal usia seperti peribahasa, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Apabila minat sudah disemai, lebih mudah untuk mengajar kemahiran literasi kelak.