Semua orang pernah jatuh sakit, sama ada ringan mahupun berat. Secara ringkasnya, kita sakit apabila berlaku ketakseimbangan fisiologi dalam tubuh kita. Namun begitu, kita boleh melakukan beberapa tindakan supaya cepat pulih daripada penyakit terutamanya jika melibatkan anak kecil.
Minum lebih banyak air
Minum air pada suhu bilik adalah amalan yang terbaik. Kita juga boleh mengambil jus atau sup supaya tubuh berada pada tahap hidrasi yang baik. Kita juga perlu minum lebih air apabila selesema dan hidung tersumbat kerana ia menyebabkan kekeringan pada mulut. Air yang mencukupi dapat menurunkan suhu badan serta menambahkan selera makan. Selain itu, air juga membersihkan mulut, mengelakkan daripada jangkitan dan mulut berbau.
Mengelap badan
Mengelap badan dengan tuala lembap membantu menurunkan suhu badan melalui proses penyejatan. Sebelum suhu badan naik, kita akan menggigil kerana aras suhu normal telah meningkat ke aras yang lebih tinggi akibat jangkitan kuman. Ini yang menyebabkan badan berasa sejuk dan menggigil. Elakkan daripada memakai pakaian tebal kerana ia akan menghalang pelepasan haba daripada badan.
Jangan bersenam
Bersenam akan meningkatkan suhu badan dan menyebabkan keletihan.
Tidur secukupnya
Umumnya, pemulihan tubuh berlaku semasa tidur. Badan kita akan lebih cepat pulih daripada penyakit sekiranya tidur mencukupi. Tidur secukupnya di dalam bilik yang tidak terlalu sejuk atau panas.
Makanan berkhasiat
Sememangnya selera makan terjejas semasa sakit. Makan makanan yang lebih mudah dihadam seperti bubur, sup dan jeli buah-buahan. Makanan berkhasiat membekalkan tenaga; menguatkan ketahanan tubuh supaya cepat pulih.
Sokongan moral
Nasihat daripada doktor dan kata-kata semangat daripada orang sekeliling serta pengambilan ubat mengikut jadual penting untuk kembali sihat.
Memberi ubat kepada anak-anak sering kali mencabar. Pujuklah si kecil dan bersoal jawab tentang kepentingan pengambilan ubat.
Berusaha untuk menjaga kesihatan
Mencegah daripada jatuh sakit lebik baik daripada mengubatinya. Berusahalah untuk menjaga kesihatan dari segi pemakanan, kebersihan dan rehat yang mencukupi. Libatkan diri dengan aktiviti yang menyokong kesihatan fizikal dan juga mental.
Elakkan tempat yang sibuk
Jangan bawa anak yang tidak sihat ke tempat yang ramai orang kerana anak akan lebih mudah dijangkiti pelbagai penyakit lain. Malah, penyakit anak anda juga boleh berjangkit kepada orang lain.
Bawa anak berjumpa doktor
Sekiranya anda telah melakukan kesemua perkara di atas, namun penyakit si kecil masih tidak berkurang setelah beberapa hari sakit, bawalah berjumpa doktor dengan segera.
Dapatkan buku cerita tentang apa yang perlu dibuat apabila si kecil demam bertajuk JOJO DEMAM di https://eniaga.awal.my/products/jojo-demam