“Aiman, tolong belikan ibu santan kelapa boleh”? pinta ibu. “Tak naklah. Ibu pergilah sendiri!” balas Aiman yang leka dengan permainan videonya.
Adakah situasi ini pernah berlaku kepada anda? Ramai yang mungkin mengalaminya. Apakah yang menyebabkannya berlaku? Mengapakah Aiman bersikap sedemikian? Bagaimanakah cara untuk mengubah sikap Aiman? Siapakah yang patut dipersalahkan? Pelbagai persoalan timbul di fikiran kita.
Itulah sebabnya penting bagi anak-anak diajar tentang adab, sepertimana firman Allah SWT:
“Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, tetangga yang dekat mahupun jauh, teman sejawat dan orang-orang yang berjihad.” (Surah An-Nisa : 36)
Ada 3 adab yang perlu disemai dan dididik dalam diri anak iaitu:
Adab kepada Ibu Bapa
Jasa dan pengorbanan ibu bapa dalam melahirkan, mendidik, membesarkan dan memberi pendidikan tidak boleh dipertikaikan. Tiada satu pun yang mampu dibalas. Oleh yang demikian, anak-anak perlu diterapkan dengan adab terhadap ibu bapa agar anak-anak sentiasa menghormati, berbakti dan menghulurkan sedikit sumbangan berupa tenaga, masa mahupun wang ringgit.
Antara adab kepada ibu bapa:
- Mencium tangan mereka.
- Bercakap dengan lemah lembut dan berbudi bahasa.
- Menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan.
- Mendapatkan nasihat mereka apabila perlu atau ketika menghadapi masalah.
- Sentiasa mendoakan kebaikan dan rahmat Allah untuk mereka.
Adab kepada Guru
Anak-anak juga perlu menjaga adab dengan guru yang menabur bakti mendidik dan mengajarkan mereka di sekolah. Ini berpadanan dengan sabda Nabi SAW: “Pelajarilah ilmu, pelajarilah ketenangan dan kesopanan dan rendahkanlah dirimu terhadap seorang yang kamu ambil ilmunya (guru).” (Riwayat At-Tabrani)
Antara adab kepada guru:
- Membantu guru sewaktu di sekolah.
- Mendengar teguran / nasihat guru.
- Menghargai ilmu yang telah dicurahkan.
- Sentiasa mengingati jasa guru.
Adab kepada Rakan, Jiran dan Tetamu
Anak-anak perlu dibimbing dalam memilih rakan-rakan. Pilihlah yang soleh, bertakwa, baik akhlaknya dan boleh mengajak mereka ke jalan yang diredhai oleh Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah olehmu teman yang buruk (akhlaknya) sebab engkau akan dikenali dengannya.” (Riwayat Ibn Asakir)
Manakala menghormati jiran tetangga pula sangat dititikberatkan dalam Islam.
Antara adab terhadap jiran:
- Memberi salam apabila bertemu.
- Memenuhi undangan jika dijemput.
- Tidak menyakiti hati mereka.
- Membantu jika diperlukan.
- Menziarahi sekiranya sakit.
Semoga kita semua sentiasa diberikan rahmat dan hidayah oleh Allah SWT. Amin