6 Sebab Haiwan Boleh Menjadi Terapi Minda Buat Anak Anda

Zahid Zaki

Muhammad Zahid Bin Mohamad Zaki merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Penulisan Kreatif, Aswara. Beliau pernah menerima anugerah Graduan Bitara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pelajar Terbaik Diploma Penulisan Kreatif Aswara (2014).

Bukan senang untuk ibu bapa membuat keputusan membela haiwan peliharaan seperti arnab atau kucing. Ada juga antara mereka yang penggeli kepada haiwan berbulu ini. Ada pula yang mempunyai pengalaman buruk suatu ketika dahulu, mungkin juga pernah dicakar atau memang sedari kecil tidak diajar untuk membela haiwan peliharaan. Hal-hal ini yang menyebabkan mereka agak skeptikal. Mungkin mereka tidak tahu bahawa membela haiwan peliharaan ini adalah satu terapi minda! Di bawah saya akan senaraikan 6 sebab bagaimana terapi “Si Bulu” ini membantu anak anda!

1. PELUANG MENEROKA KEHIDUPAN

Peluang untuk anak anda meneroka pelbagai perkara berkenaan kehidupan secara realiti. Tidaklah mereka duduk berbaring dengan permainan video saja! Selamat juga telefon bimbit anda daripada dipinjam, Okey, serius saya cakap. Meneroka kehidupan di sini bererti mereka belajar erti kasih sayang dan kehilangan. Mereka belajar mengasihi haiwan peliharaan dan menganggap seperti ahli keluarga.

2. BELAJAR ERTI TANGGUNGJAWAB

Tahukah anda bahawa jangka hayat kucing secara puratanya boleh mencapai 12-18 tahun! Lama kan? Ini bererti tanggungjawab yang dipikul untuk menjaga haiwan peliharaan bukanlah mudah. Jika anak anda mula dididik untuk memelihara kucing sedari usia muda, mereka akan membesar sebagai insan yang bertanggungjawab dan kasih pada makhluk-makhluk bernyawa. Saya berani jamin!

3. MELATIH EMOSI DALAMAN

Bukan hendak cakap banyaklah, orang yang bela haiwan peliharaan ini lebih sensitif dan penyabar. Sebagai contoh, sesiapa yang membela kucing akan tahu betapa liciknya seekor kucing. Mereka akan sedaya upaya untuk menyelinap keluar atau paling tidak cuba balas dendam kerana kehendak mereka tidak dilayan. Orang yang membela kucing takkan lulus kalau mereka tak sabar.

4. MEMUDAHKAN PEMBELAJARAN

Bagi fakta ini, bukan saya sendiri yang cakap, tapi diambil daripada akhbar Utusan sendiri. Menurut Konsultan dan Kardiologis Pediatrik Hospital Pakar KPJ Ampang, Dr. Nomee Ashikin Mohammed Radzi, kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran akan lebih fokus terhadap subjek yang diajar oleh guru.

5. JADI PEMBERSIH

Tipulah kalau sesiapa yang membela haiwan peliharaan seperti kucing tapi tak pernah melekat bulu-bulu di baju. Kalau ada pun mungkin disebabkan sikap mereka yang pembersih. Kanak-kanak yang membela kucing akan menjadi orang yang sangat teliti dan pembersih. Ini kerana setiap kali mereka ingin keluar rumah, tentu mereka akan pastikan pakaian mereka kemas. Tak ada bulu kucing melekat. Barulah boleh hendak bergaya sakan.

6. LEBIH ARTISTIK

Jika kita perhati sifat kucing, kita akan anggap kucing seperti makhluk misteri yang banyak menyimpan rahsia. Kadang-kadang, cara mereka memandang kita pun terlalu deep, entahlah perasaan saya saja. Mungkin agak keterlaluan untuk menyatakan anak anda akan jadi seniman agung dengan memelihara kucing saja. Kucing sebenarnya melatih empati diri. Itu adalah kehalusan sifat yang wujud dalam diri seorang ahli seni. Sebab itu, seorang yang menyayangi kucing menganggap kucing itu sebahagian daripada keluarga mereka. Mereka sangat sensitif.

Mark Twain seorang ahli sastera terkenal menganggap “seorang yang mengangkat seekor kucing di ekor akan mendapatkan pengajaran yang tak pernah ditemui oleh orang yang hanya membaca.” Oleh yang demikian, jangan takut untuk memegang tanggungjawab memelihara haiwan peliharaan. Saya berani jamin, akan ada kebaikan dan kerahmatan untuk anda.

RUJUKAN

http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/terapi-haiwan-peliharaan-1.68611