Komedi Membijaksanakan Anak-anak

Zahid Zaki

Muhammad Zahid Bin Mohamad Zaki merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Penulisan Kreatif, Aswara. Beliau pernah menerima anugerah Graduan Bitara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pelajar Terbaik Diploma Penulisan Kreatif Aswara (2014).

Ketawa mampu menghubungkan perasaan dan membantu kanak-kanak menjadi lebih bijak. Hal ini kerana mereka berupaya membezakan bila waktunya untuk seseorang menjadi serius dan bila pula waktu untuk berhibur. Seorang kanak-kanak yang ceria dan mudah ketawa mampu mengawal perasaan mereka dengan lebih baik ketika menghadapi cabaran berbanding anak-anak yang cenderung sukar untuk dihiburkan. Ketawa memberikan sesiapa sahaja ketenangan termasuklah kanak-kanak.

Seorang kanak-kanak yang bijak berseloroh sebenarnya telah memahami di antara kewajaran sebenar dengan satu hal yang sengaja dibuat-buat untuk menimbulkan sifat-sifat yang tidak wajar. Sebagai contoh, kanak-kanak berusia kurang dua puluh empat bulan akan mudah ketawa apabila seseorang dewasa mengembungkan pipi atau memegang pensel di bawah hidung. Mereka boleh ketawa mengekeh seolah-olah perkara itu sesuatu yang sangat melucukan. Sebenarnya, sifat lelucon ini bukanlah sesuatu yang diwariskan daripada seorang bapa atau ibu tetapi sesuatu yang dipelajari dan dibentuk dari usia kecil.

Lazim kita mendengar bahawa seseorang yang lucu sebenarnya bijak. Hal ini merujuk kepada sifat spontan yang diamalkan mereka dalam hidup. Bercakap melalui skop kanak-kanak, mereka seolah-olah tahu bila waktunya bagi sesuatu keadaan yang tegang dikendurkan. Seorang kanak-kanak yang lucu boleh menghiburkan bapanya dengan tingkah laku yang tersendiri. Adakalanya dengan kepetahan mereka bercakap, gerak tari dengan tubuh yang keras “bagai kayu” dan nyanyian mereka yang sumbang menyakitkan telinga. Namun, sedikit sebanyak, mereka tahu ibu bapa akan terhibur melihat mereka.

Apabila anak-anak ini melihat ibu bapa ketawa senang melihat keletah mereka, perbuatan yang sama akan diulang berkali-kali untuk melihat respon senang daripada ibu bapa mereka. Sebenarnya, hal ini melatih anak-anak untuk menjadi lebih responsif dan memupuk empati diri anak-anak. Mereka juga akan memiliki daya keyakinan diri yang tinggi dan boleh bergaul dengan kanak-kanak lain dengan cepat. Mereka akan membawa persekitaran hidup yang lebih positif dengan orang sekeliling. Apa yang menarik lagi ialah mereka sebenarnya lebih sihat berbanding kanak-kanak yang hidupnya penuh dengan tekanan hidup. Bagaimana boleh diperkatakan begitu?

Kanak-kanak yang lebih gembira kurang terkesan dengan perubahan sekeliling, maka mereka juga kurang tertekan dengan masalah sekitarnya. Kesihatan mereka lebih baik terutamanya dapat dilihat daripada segi tekanan darah dan pengucapan mereka yang lebih lancar berbanding anak-anak yang hidup dalam suasana yang tertekan. Bahkan, penghadaman mereka juga lebih baik berbanding anak-anak yang kurang gembira. Izharnya, kegembiraan dan ketenangan mampu membantu sistem tubuh badan manusia bahkan immunisasi tubuh badan anak-anak.

Komedi dan jenaka sememangnya unsur dalaman manusia yang berkaitan dengan sesuatu yang menarik minat untuk didengari, difahami dan dibayangkan dalam keadaan tak masuk akal tetapi boleh diterima secara keseluruhan. Justeru, unsur humor atau jenaka ini perlu dibentuk dalam diri anak-anak bagi memberikan kebaikan masa panjang baik daripada segi emosi, mental mahupun jasmani si manja.

RUJUKAN

http://www.whattoexpect.com/toddler/toddler-growth-and-development/developing-a-sense-of-humor.aspx