Anak Cerewet Makan? Anda Boleh Mengatasinya!

  • Reading time:5 mins read
  • Post category:Kesihatan

Nur Ili Mohamad Tarmizi

Pegawai Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.Ahli Alumni Muslim Profesional Kesihatan Malaysia (IMPAK).

Anak anda asyik menolak makanan? Anda sudah masak sepuas hati tapi anak anda masih tidak mahu makan? Anda tidak keseorangan! Masalah ini dikenali sebagai masalah cerewet makan (fussy eater, picky eater) dan merupakan proses perkembangan biasa di kalangan kanak-kanak. Namun, ia tidak boleh dibiarkan. Kanak-kanak dikatakan mengalami masalah cerewet makan apabila mereka memlilih jenis makanan yang diambil atau menolak makanan baharu.

Kebanyakan kanak-kanak akan mula menolak makanan baharu sekitar usia 20 bulan. Punca masalah ini berlaku dikatakan apabila kanak-kanak lewat diperkenalkan dengan pelbagai jenis makanan sejak awal usia lagi (enam bulan ke atas). Jika tidak diatasi segera, masalah ini boleh memberi kesan kepada pengambilan nutrisi kanak-kanak dan membawa kepada masalah kesihatan seperti masalah kekurangan berat badan dan zat makanan.

Jadi mengapa anak tidak mahu makan?

  • Dibiasakan dengan makanan terproses, makanan segera dan dan snek yang tidak sihat
  • Makan dalam keadaan yang tertekan dan membosankan
  • Banyak gangguan sekeliling ketika makan
  • Makanan nampak tidak menarik dan tekstur makanan tidak sesuai dengan dengan kadar pertumbuhan gigi dan gusi mereka ataupun dengan minat mereka

7 tip untuk mengatasi masalah anak cerewet makan:

1. Jadikan waktu makan sebagai waktu yang menyeronokkan dan informatif!

Jangan memaksa anak anda untuk makan kerana ia akan meningkatkan kadar cerewet makan anak. Sebaliknya, bercerita dengan anak-anak tentang perkara yang mereka suka dan jangan rosakkan “mood” makan dengan memarahi mereka. Kanak-kanak juga lebih berselera untuk menikmati makanan dan menghabiskannya sekiranya menikmati juadah beramai-ramai. Ceritakan kepada mereka kebaikan dan khasiat makanan yang anda berikan kepada mereka.

2. Libatkan anak-anak dalam penyediaan dan pemilihan makanan

Berikan mereka peluang dan kepercayaan untuk memilih makanan mereka. Jangan berikan soalan yang terlalu umum, tetapi mudahkan mereka untuk membuat pilihan, contohnya: “Hari ni adik nak makan lobak merah atau brokoli?” Anak-anak juga boleh membantu menyediakan makanan seperti membantu memilih resepi, membasuh sayur dan buah serta menyusun hidangan dalam pinggan. Mereka pasti bersemangat untuk menikmati hidangan yang mereka sediakan selepas itu!

3. Jauhkan segala tarikan yang boleh mengganggu anak-anak.

Siaran televisyen, anak-anak lain yang sedang berlari di dalam rumah ataupun barang mainan yang bersepah di atas lantai boleh mengganggu tumpuan anak anda semasa makan. Tutup atau alihkan perkara-perkara ini sebelum sesi makan bersama anak.

4. Jarakkan waktu antara pemberian makanan berat dan ringan

Memberikan anak makanan lain apabila hampir waktu makan berat (sarapan/ makan tengahari/ makan malam) akan mengurangkan selera makan mereka kerana mereka mungkin masih kenyang. Jarakkan pemberian snek sihat/ susu dengan pemberian makanan berat.

5. Pujian itu memerikan kesan!

Berikan pujian kepada anak sekiranya mereka berjaya menghabiskan makanan. Anak-anak akan rasa dihargai dan termotivasi untuk sentiasa menghabiskan makanan. Jangan janjikan mereka dengan hadiah-hadiah seperti keropok atau coklat sekiranya mereka menghabiskan makanan.

6. Jadikan juadah anda nampak menarik, sedap dan kekal berkhasiat!

Terdapat kanak-kanak yang menolak makanan kerana makanan nampak membosankan. Tambahkan warna-warna menarik di dalam makanan, contohnya meletakkan lobak merah, batang saderi, kacang pis dalam susunan yang menarik! Jika anda memperkenalkan makanan berwarna hijau kepada mereka sejak awal usia lagi, ini boleh membantu meningkatkan kebiasaan mereka dengan tabiat memakan sayur. Anda boleh memotong makanan dalam pelbagai bentuk juga untuk menarik perhatian mereka. Perkara ini bukan sahaja membantu meningkatkan selera mereka malah merangsang kreativiti anda!

7. Sabar, sabar dan sabar!

Jangan jadi terlalu memaksa. Ketika mengenalkan anak-anak dengan makanan baru, terdapat kanak-kanak yang takut untuk mencuba. Pada permulaan, galakkan mereka untuk sekurang-kurangnya menjilat atau memakan sebahagian makanan tersebut. Pada pengenalan seterusnya, galakkan mereka untuk memakan saiz hidangan yang lebih besar dari semasa ke semasa dan jangan lupa berikan pujian kepada mereka sekiranya mereka dapat memenuhi permintaan tersebut. Anak-anak menyepahkan makanan? Jangan menambahkan kerisauan anda dengan perkara tersebut. Disiplin dan kebersihan semasa makan boleh dididik perlahan-lahan. Alas tempat makan mereka dengan plastik atau keadaan yang mudah dibersihkan. Kanak-kanak suka bereksperimen dengan pelbagai perkara termasuklah makanan! Jangan rencatkan proses pembelajaran dan kreativiti mereka.

Rujukan:

  1. M. Taylor et al. (2015). Picky/fussy eating in children: Review of definitions, assessment, prevalence and dietary intakes, Appetite, 95:349-359
  2. Cowbrough K. (2010).Feeding the toddler: 12 months to 3 years – challenges and opportunities, Journal of Family Health Care, 20 (2): 49-52
  3. de Barse et al. (2015). Longitudinal association between preschool fussy eating and body composition at 6 years of age: The Generation R Study, International Journal of Behavioral Nutrition and Physical Activity, 12:153, DOI 10.1186/s12966-015-0313-2
  4. Harris G (2017). Managing the fussy eater, Paediatrics and Child Health, http://dx.doi.org/10.1016/ j.paed.2017.04.003
  5. Raising Children Network (2017) Fussy eating. (http://raisingchildren.net.au/articles/fussy_eating.html)