“Dah langgar, buat tak tahu saja, isy… geram betul!” Pernahkah anda sebagai ibu bapa mengalami situasi begini? Mahu mendiamkan diri atau menegur?
Perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Kanak-kanak harus dibiasakan dan diajar untuk mengucapkan kata maaf setiap kali dia melakukan kesalahan sehingga perkara tersebut menjadi kelaziman tanpa perlu disuruh-suruh.
“Biarkan saja, nanti besar tahulah dia.” Adakah anda berfikiran begini? Jika tingkah laku tidak dididik daripada kecil, maka akan terbawa hingga dewasa. Ini akan mempengaruhi perkembangan sosial dan emosinya tanpa kita sedari hingga ke tahap merasakan diri mereka tidak bersalah dalam semua perkara.
Berikut merupakan tiga panduan asas cara mendidik anak kecil untuk meminta maaf:
Bahasa badan
Lazimnya bila kita sedar yang kita telah melakukan kesalahan; ekspresi muka, mata dan postur badan akan berubah. Oleh itu, gunakan bahasa badan ketika meminta maaf. Ajar anak meminta maaf sambil bersalaman dengan mengucapkan, “Adik minta maaf, mama.” Terimalah kemaafan itu dan tegaskan, “Janji, jangan buat lagi!” sambil ibu atau bapa memeluk mahu pun mencium anak. Di situlah terdidiknya perkembangan emosi kanak-kanak.
Ibu bapa model anak
Ibu bapa jangan malu atau berasa tidak perlu meminta maaf kepada anak. Sebaliknya bersikap matanglah dan tidak ada salahnya jika sememangnya ibu bapa yang bersalah maka mengaku dan ucapkanlah maaf kepada anak, “Mama minta maaf, adik. Mama terlupa nak belikan aiskrim untuk adik.” Jika ibu bapa bersikap begini tidak mustahil dalam persekitaran lazim anak-anak akan lebih mudah meminta dan menerima maaf tanpa perlu sebarang desakan.
Berikan pujian dan terangkan
Berikan pujian setelah anak meminta maaf dan terangkan apa kesalahan mereka. Terangkan dalam bahasa yang mudah akan kesan daripada tingkah laku yang tidak baik itu. Katakan, “Jika kita nakal, nanti tidak ada orang nak berkawan dengan kita.” Ingatkan juga supaya tidak mengulangi tingkah laku yang sama.
Oleh itu, latihlah anak untuk meminta maaf dari awal demi perkembangan masa depan yang positif. Ibu bapa adalah model terbaik bagi anak-anak, maka tunjukkanlah tingkah laku yang sebaiknya. Mintalah maaf tanpa perlu dipaksa-paksa.