Ramai ibu bapa sering bercakap dengan bayi tanpa henti. Bercakap dan berinteraksi sememangnya merangsang perkembangan bahasa dan kosa kata si kecil. Bercerita semasa makan, bernyanyi sambil menyalin pakaian merupakan aktiviti yang boleh meningkatkan penguasaan bahasa pada peringkat awal. Namun, berdiam seketika juga penting untuk bayi memproses apa yang didengar supaya dia dapat memberi reaksi seperti “oo,” “aah,” – sebutan yang normal pada tahap ini. Otak bayi memproses bunyi-bunyi yang disebut termasuk nada yang meninggi semasa kita bertanya. Jika tiada tempoh yang senyap, bayi akan sukar untuk menerima apa yang cuba disampaikan.
Sebagai contoh, cuba tanya soalan ini kepada bayi anda: “Nak salin lampin ke?” Berdiam sebentar – kira dalam hati dari 1 hingga 10 dan perhatikan apa yang berlaku.
Mari lihat video ini:
Yang jelas, bayi akan “menjawab” sesuai dengan tahap kematangannya apabila diberi cukup masa untuk bertindak. Otak bayi memerlukan masa untuk mengumpul dan mengadun maklumat sebelum dia boleh menjawab dengan cara tersendiri.
Apabila kita bernyanyi sebuah lagu berulang-ulang, bayi akan mengecam corak bunyi yang didengari. Otaknya akan mengandaikan bahawa lagu tersebut mengikut urutan bunyi yang tertentu. Jika anda sengaja tinggalkan perkataan yang terakhir dalam lagu itu, si kecil akan cuba melengkapkannya.
Cuba nyanyikan lagu ini:
Pok amai-amai,
Belalang kupu-kupu;
Pok adik pandai,
Upah minum …?
Jangan sebut “susu”. Otak bayi akan sedar bahawa ada satu bunyi yang tertinggal. Dia kemudian akan cuba melengkapkannya dengan menyebut “uuu” atau sebutan lain yang pada kefahamannya ialah bunyi yang tertinggal.
Perbualan dengan bayi anda yang diselang-selikan dengan tempoh senyap sebenarnya membantu dalam penguasaan bahasa. Walaupun dia belum boleh bercakap dengan perkataan dan ayat yang lengkap, namun otaknya sedang membina asas-asas yang diperlukan untuk berbahasa dengan sempurna pada masa akan datang.
Teruskan berbual, teruskan bernyanyi, tetapi jangan lupa untuk berdiam seketika agar si kecil dapat menyusun respons yang sesuai dengan tahap perkembangannya.
Rujukan:
Amanda Holliday, penulis di National Association for the Education of Young Children (NAEYC).