Bilakah Masa Yang Sesuai Untuk Anak Mula Memberus Gigi?

  • Reading time:2 mins read
  • Post category:Kesihatan

Songkha

Penulis Buku Kanak-Kanak

Bilakah masa yang sesuai untuk anak mula memberus gigi? Masa yang paling sesuai ialah apabila anak mencecah usia 1 tahun. Ini adalah masa yang terbaik untuk membelikan berus gigi pertama untuknya. Berus gigi yang sesuai untuk kanak-kanak perlu mempunyai berus yang lembut, hujung berus yang berbentuk bulat, saiz kepala berus tidak terlalu besar dan saiz pemegang yang sesuai dengan tangan anak.

Biarkan anak memilih berus gigi sendiri. Pelbagai corak dan warna pada berus gigi pasti menjadikan pengalaman memilih dan membeli berus gigi pertama mereka satu pengalaman yang bermakna. Apabila mereka terlibat dari awal, ini menjadikan mereka lebih berminat untuk memberus gigi.

Gosok gigi bersama-sama anak dan ajarkan cara memberus dengan betul. Tunjukkan cara memberus dan sekiranya anak mengalami kesukaran untuk mengikut, pegang tangannya dan tunjukkan cara yang betul. Latih anak untuk memberus pada patung mainannya bagi membiasakan anak memegang berus gigi.

Cipta suasana yang menarik semasa anak memberus gigi seperti membuat aktiviti role play. Minta anak menjadi doktor gigi dan anda sebagai pesakit dan cipta situasi supaya anak lebih teruja. Anak perlu sedar bahawa memberus gigi adalah rutin harian yang perlu dibuat.

Orang dewasa dan kanak-kanak perlu memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan sebelum tidur. Tempoh yang sesuai untuk memberus gigi adalah selama 3 minit. Jika masih ada sisa makanan yang melekat pada gigi, gunakan flos gigi untuk membuang sisa makanan. Tukar berus gigi setiap 3 atau 4 bulan dan jangan berkongsi berus gigi. Jumpa doktor gigi 2 kali setahun untuk membuat pemeriksaan.

Related Books