Sudah menjadi kebiasaan untuk sesetengah ibu bapa mengambil pendekatan memukul, merotan atau apa sahaja hukuman berbentuk fizikal terhadap anak-anak dengan rasional untuk mengajar dan mendidik mereka menjadi manusia yang lebih baik. Sisi didikan sebegini sudah lama menjadi satu bentuk perdebatan di kalangan pakar dalam dunia psikologi bagi mendasari dan memahami apakah implikasi atau natijah dari pendekatan sebegini.
Artikel ini ditulis untuk memfokus pada hukuman yang disebut di atas atau dalam bahasa Inggeris dipanggil sebagai ‘corporal punishment’.
Bagi tujuan ini saya ingin memetik satu ulasan dan teori yang digarap daripada satu kajian besar yang dilakukan oleh seorang pakar psikologi Elizabeth Gershoff, dari USA. Lapan dapatan diperoleh daripada hasil kajian beliau dan saya akan ulas serba ringkas bagi tujuan untuk kita bersama-sama menilai baik buruk hukuman berbentuk fizikal:
- Memastikan kepatuhan segera dalam situasi anak dihukum tetapi belum tentu memberi kesan jangka panjang penerapan disiplin anak.
- Ia tidak mampu membina kepatuhan moral yang berkekalan kerana ia tidak mempunyai nilai kelembutan dalam mendidik serta penggunaan kuasa autoriti ibu bapa yang tiada tolak ansur.
- Ia adalah salah satu prediktor terpenting dalam kelakuan agresif di kalangan kanak-kanak dan awal remaja serta menyumbang kepada perlakuan agresif/ganas dalam hidup berpasangan di masa akan datang.
- Ia menghakis hubungan antara anak dan ibu bapa yang mengakibatkan kegagalan dalam pembentukan disiplin yang baik dan menolak nilai yang cuba diterapkan ibu bapa. Natijahnya, akan lahir anak yang mempunyai masalah disiplin dan salah laku.
- Hukuman menggalakkan anak menipu bagi mengelak dihukum.
- Insiden stres dan kemurungan lebih tinggi di kalangan remaja yang mempunyai ibu bapa yang cepat tangan.
- Berisiko menjadi seorang pendera apabila dewasa.
- Mereka sebenarnya adalah mangsa dera.
Jika diteliti, hukuman sebegini tidak dapat membentuk apa yang kita mahu bahkan menjauhkan mereka dari kita, daripada nilai yang kita ingin bawa lalu melahirkan perasaan ingin melawan dan melakukan perkara yang bertentangan dengan apa yang kita mahu. Anak mungkin takut dengan kita tetapi sampai bila? Adakah kita mampu menahan mereka apabila mereka semakin besar dan adakah pendekatan kita itu menjauhkan mereka dan menyukarkan kita untuk kembali rapat?
Pendekatan yang sewajarnya ialah berasaskan nilai hormat. Hormati mereka sebagaimana kita mahu dihormati. Mereka perlu dipandu dengan teladan dan ingatan yang baik; bukan ugutan, kekerasan dan sebagainya. Setiap perkara wajar dibawa berbincang dengan anak tentang apa yang kita mahu daripada mereka kerana sebagai anak kecil, mereka sering akan melakukan kesalahan.
Tiada yang dilahirkan terus sempurna akhlaknya. Didikan ibu bapa dalam suasana kasih sayang serta tegas semasa mendisiplin merupakan faktor yang paling penting dan kritikal.