Ibu bapa sebagai guru pertama anak-anak boleh membina asas dalam ilmu matematik dengan mudah. Galakkan mereka untuk memerhati, meneroka dan bercakap dengan menggunakan ayat matematik semasa membuat aktiviti di rumah atau di luar rumah.
DI DAPUR PUN BOLEH BELAJAR MATEMATIK
Proses pembelajaran pada peringkat awal kanak-kanak sangat bergantung pada kualiti rangsangan sensori dan motor yang dilakukan dalam suasana yang ceria.
Di dapur contohnya, ajak anak bersama-sama membuat sandwic telur. Sebenarnya banyak aktiviti matematik yang terlibat – mengira jumlah telur, mengecam bentuk roti, mengira bilangan berapa sudu garam dan lada putih yang diperlukan dan sebagainya
SERONOKNYA BACA BERSAMA MAMA
Semasa membaca buku cerita pun kita boleh selitkan aktiviti matematik. Katakan, cerita yang dibaca mengisahkan tentang kucing dan rakan-rakannya. Daripada situ kita boleh tanyakan jumlah haiwan dan saiz haiwan yang terlibat, apa yang berlaku pada waktu pagi dan pada waktu malam dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan matematik.
BELAJAR MATEMATIK SAMBIL BERMAIN PERMAINAN TRADISI
Selitkan aktiviti bermain permainan tradisi seperti congkak, dadu, dam ular dan batu seremban bersama anak pada hujung minggu. Sambil bermain, anak dapat membina kemahiran matematik seperti menambah dan menolak.
Jika anak memenangi permainan tersebut, sediakan ganjaran untuk meningkatkan motivasinya. Ganjaran tidak semestinya datang dalam bentuk hadiah yang mahal, memberi anak lebih masa bermain bersama kawan-kawan juga pasti membuatkan anak gembira.
MATEMATIK DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN
Apabila matematik dikaitkan dengan kehidupan seharian, perkara yang ada disekelilingnya, sesuatu yang dia boleh lihat dan relevan pada dirinya, pembelajaran akan jadi lebih berkesan.
Berikut adalah antara aktiviti matematik yang berkait dengan kehidupan seharian:
- Berat Amin pada bulan Januari ialah 15 kilogram. Berat Amin bertambah 1 kilogram pada bulan Februari. Berapakah beratnya sekarang?
- Berapa minitkah perjalanan dari rumah ke kedai Pak Abu?
- Jika adik menyimpan 20 sen sehari di dalam tabung, berapakah jumlahnya selepas 10 hari?
Aktiviti-aktiviti ini mungkin nampak mudah dan tak formal. Namun, secara santai ini memberi peluang untuk kita mengguna ayat matematik dan berbincang tentang konsep-konsep matematik kepada anak. Inilah yang akan membina minat mereka kepada matematik dan kepentingannya dalam kehidupan seharian.
Dapatkan pelbagai permainan dan aktiviti Matematik yang boleh dibuat dengan anak-anak melalui buku panduan ibu bapa dan guru MATEMATIK PRASEKOLAH. Buku ini menyelitkan petua-petua berguna daripada guru yang berpengalaman yang sudah semestinya akan memberi manfaat buat para guru dan ibu bapa.