Pengajaran dan pembelajaran al-Quran dari peringkat awal amatlah digalakkan. Anak-anak perlu faham bahawa al-Quran adalah wahyu atau ajaran yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai panduan dan rahmat untuk umat manusia. Sejak dari dulu, alim ulama berusaha agar umat Islam dapat mempelajari dan membaca al-Quran dengan mudah dan baik.
Adakah anak-anak tahu apa itu al-Quran?
Jika dilihat dari segi bahasa, al-Quran membawa maksud bacaan atau himpunan huruf-huruf dan kalimah. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam surah al-Qiyamah ayat 17 dan 18 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu);
Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibrail), maka bacalah menurut bacaannya itu.”
Manakala dari segi istilah al-Quran adalah kalam Allah yakni mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibrail. Al-Quran telah diturunkan secara berperingkat-peringkat dalam masa lebih kurang 23 tahun bermula dengan surah al-Alaq (ayat 1-5). Kemudian al-Quran disusun mengikut surah sepertimana naskhah yang ada sekarang dengan dimulai oleh surah al-Fatihah dan berakhir dengan surah an-Naas.
Apakah kepentingan membaca al-Quran?
- Al-Quran adalah al-Mubiin iaitu menerangkan sesuatu. Al-Quran sebagai penerang kepada permasalahan yang dihadapi oleh seluruh umat Islam. Al-Quran banyak menghuraikan ajaran dan nasihat.
- Al-Quran juga bermaksud al-Huda yakni petunjuk. Al-Quran sebagai petunjuk untuk umat Islam agar sentiasa berada di landasan yang betul dan lurus.
- Al-Quran juga membawa maksud ar-Rahmah iaitu kerahmatan. Al-Quran sebagai rahmat buat umat Islam yang sentiasa membaca, mempelajari dan mengamalkan isi kandungannya.
Sahabat Rasulullah SAW iaitu Saad bin Abi Waqas telah meletakkan bahawa kepentingan membaca dan mengajarkan al-Quran seperti keutamaan berperang di jalan Allah. Kedengarannya seperti mendidik bala tentera untuk berperang. Dahsyat bukan?
Mari kita lihat pula apa kepentingan dalam mengajarkan al-Quran:
Membentuk asas iman
Pada peringkat awal ini, ia dapat membantu ibu bapa menanamkan asas-asas keimanan yang jitu dalam jiwa anak-anak. Yakinkan anak bahawa al-Quran itu mudah dibaca dan difahami.
Mengembangkan potensi anak
Peringkat ini merupakan tahap yang paling penting dalam merangsang dan meningkatkan keupayaan otak dan minda anak untuk lebih cekap dan bijak.
Sepertimana yang dinyatakan oleh Dr. Glenn Doman, ahli terapi fizikal dan pelopor dalam bidang perkembangan otak kanak-kanak bahawa tiada ahli sains yang mampu mengalahkan semangat kanak-kanak untuk belajar, mengkaji, mencuba serta menyelidik sesuatu yang ingin mereka pelajari.
Berikut ialah beberapa cara didikan yang ceria dan menarik untuk diterapkan kepada anak bagi pembelajaran al-Quran:
- Berhenti sebelum anak bosan. Tempoh pembelajaran yang pendek lebih berkesan.
- Didiklah anak mengikut kemampuan mereka. Jangan terlalu memaksa.
- Suasana pembelajaran mestilah tenang dan selesa. Pastikan anak-anak dalam keadaan bersedia untuk belajar.
- Pelbagaikan aktiviti pembelajaran. Terapkan aktiviti bermain, bernyanyi mahupun bercerita tentang kisah-kisah yang ada dalam al-Quran supaya anak-anak tidak merasakan pembelajaran al-Quran ini membosankan.
- Berikan kata-kata rangsangan, pujian atau pelukan kasih sayang sekiranya anak berjaya atas usaha mereka.
Sebagai rumusan, tanamkan dalam diri anak terlebih dahulu bahawa al-Quran itu sesuatu yang sangat istimewa kerana terdapat panduan yang lengkap untuk menjadi insan yang dirahmati serta mendapat kebaikan di dunia dan akhirat. Dengan demikian, diharap anak-anak lebih bersemangat untuk mempelajari al-Quran yang mulia ini.