Para Guru Dan Ibu Bapa, Ayuh Meneroka Pendidikan Bertemakan Serangga!

Dr. Aishah Hani Azil

Dr. Aishah Hani Azil bertugas di Jabatan Parasitologi & Entomologi Perubatan, Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

“Ibu, apa benda yang kecil dan bergerak laju tu?’ tanya Humairah yang berumur 3 tahun kepada ibunya. Semasa Humairah baru belajar merangkak, dia sering mengikut jejak sekawan semut hitam di rumahnya. Humairah tidak menunjukkan perasaan takut kepada serangga tersebut. Malahan berasa teruja untuk memerhatikan kelakuan semut-semut itu. Ini kerana ibunya yang mempunyai ilmu tentang serangga, sentiasa memberi dorongan untuk Humaira meneroka alam serangga agar dia terbiasa dengan jenis haiwan tersebut.

Alam semulajadi dapat dijadikan sumber inspirasi kepada manusia untuk melakukan banyak perkara. Dengan memerhatikan kejadian ciptaan Allah, kita akan merasakan betapa hebatnya Allah yang Maha Pencipta yang mencipta semua makhluk dalam pelbagai bentuk, rupa, saiz dan warna. Serangga merupakan sebahagian alam semulajadi yang perlu kita jaga dan kekalkan.

Serangga merupakan haiwan invertebra (tidak bertulang belakang) yang diklasifikasi di bawah filum Artopoda. Terdapat kira-kira 1 juta spesies serangga yang telah dikenalpasti, menjadikannya kumpulan haiwan yang terbesar di muka bumi ini. Serangga memainkan peranan yang amat penting untuk keseimbangan ekosistem dan mempunyai banyak manfaat dan kegunaan kepada manusia.

Kita juga perlu mengenali dan mempelajari mengenai serangga supaya dapat mengelakkan bahaya dan kemudaratan yang diakibatkan olehnya. Terdapat pelbagai rupa, bentuk dan warna bagi serangga.  Ada yang berbisa dan berbahaya dan ada yang tidak berbisa. Sebahagian serangga juga boleh terbang dan bergerak jauh.

Pengetahuan mengenai jenis-jenis serangga dapat mempersiapkan individu untuk berhadapan dengan serangga dan menentukan tindakbalas yang bersesuaian. Contohnya, apabila kita mengenali serangga berbisa, maka kita akan segera menjauhi serangga berkenaan. Sesetengah serangga hanya boleh dijumpai di kawasan atau tempat-tempat tertentu sahaja. Tidak rugi jika kita mengetahui jenis-jenis serangga yang ada di persekitaran kita. Lebih-lebih lagi mengenai infestasi serangga perosak yang dapat diatasi dengan pengetahuan mengenai bagaimana untuk mengawal atau menghapuskannya.

Dengan mengenalkan serangga kepada kanak-kanak, guru dan ibu bapa dapat menunjukkan kekuasaan Allah yang Maha Pencipta. Kisah-kisah daripada al-Quran seperti Nabi Sulaiman A.S. yang berkebolehan memahami percakapan semut boleh diceritakan kepada anak-anak. Guru dan ibu bapa juga boleh menerangkan kepada anak-anak mengenai beberapa surah al-Quran yang dinamakan dengan nama serangga iaitu surah an-Naml (semut), an-Nahl (lebah) dan al-‘Ankabut (labah-labah).

Para guru telah lama mengambil inspirasi daripada serangga dan menerapkannya ke dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Usaha gigih guru-guru prasekolah dan sekolah rendah ditampakkan dalam penerapan elemen berasaskan serangga dalam pelan pengajaran sedia ada seperti membaca, mengeja, mengira, menulis, menyanyi, menari, melukis, mewarna, memasak, membuat kraftangan, bercerita, melihat dan mendengar video/filem pendek, berlakon termasuk role-play, menyambut perayaan dan hari jadi, bermain susun suai gambar (jigsaw puzzle), teka silang kata dan permainan papan, bersoal jawab, berkongsi pengalaman dan sebagainya.

Di era norma baharu ini, para guru dan ibu bapa perlu mengambil peluang untuk menggunakan kaedah-kaedah seperti:

  1. Penggunaan buku-buku cerita interaktif yang dilengkapi dengan teknologi realiti berperantara (Augmented Reality).
  2. Menggunakan aplikasi (apps) yang sesuai dan boleh dimanfaatkan oleh para guru. Misalnya, aplikasi untuk mengenal spesies serangga yang dibangunkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan aplikasi yang mempaparkan imej serangga secara tiga dimensi (3D).
  3. Menggalakkan pelajar untuk membuat sendiri video pendek bertemakan pembelajaran mengenai serangga. Misalnya, video yang berbentuk eksplorasi, dokumentari atau animasi yang ringkas. Terdapat banyak aplikasi untuk membuat dan mengedit video yang mudah dikendalikan oleh para pelajar.
  4. Pembelajaran mengenai serangga berasaskan permainan (game-based learning) yang melibatkan murid-murid dalam kelas yang sama. Ini boleh digunakan untuk memupuk semangat berpasukan di antara mereka. Pendekatan kuiz dan ganjaran boleh digunakan dalam permainan ini.
  5. Demonstrasi serangga hidup secara langsung melalui kerjasama dengan ahli entomologis dan individu terlatih. Ini dapat menarik minat para pelajar dengan menyaksikan sendiri serangga dan mengukuhkan apa yang telah dipelajari sebelumnya.
  6. Mereka cipta bekas sensori serangga (insect sensory bin) menggunakan bahan kitar semula. Aktiviti ini turut mengajar kepentingan kitar semula kepada pelajar.
  7. Mereka cipta ‘insect busy book’ atau ‘bug busy bag’ menggunakan pelbagai jenis bahan dan warna untuk menjadikannya lebih menarik dan meningkatkan daya kreativiti kanak-kanak.
  8. Menyertai lawatan zoo secara maya. Lawatan sambil belajar ke zoo dan taman serangga berupaya memperkayakan pengetahuan mengenai haiwan dan serangga. Namun, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak zoo dan taman serangga tidak mempunyai pembiayaan yang mencukupi untuk meneruskan operasi. Penganjuran lawatan berbayar Zoo Negara secara maya pada tahun lalu merupakan salah satu langkah berinovasi bagi mengutip bantuan kewangan daripada masyarakat.

Pendidikan bertemakan serangga mempunyai potensi yang besar untuk diterokai dan dimajukan. Diharapkan bahawa generasi kini dan akan datang mampu memahami hikmah kejadian dan menghargai peranan serta kepentingan serangga terhadap alam sekitar dan kehidupan manusia. Ayuh, para guru dan ibu bapa kita mainkan peranan kita dalam mendidik anak-anak menggunakan pendekatan pendidikan bertemakan serangga!