Menulis merupakan satu kemahiran yang perlu dipelajari oleh anak. It is an acquired skill. Dalam kemahiran berbahasa, kemahiran menulis merupakan kemahiran yang paling sukar untuk dikuasai. Ia berada pada tahap yang lebih tinggi daripada kemahiran mendengar, bertutur dan membaca kerana melibatkan aspek fizikal iaitu kemahiran motor halus dan koordinasi mata dan tangan.
Anak perlu dibimbing dari peringkat awal lagi supaya boleh menulis. Bermula dengan aktiviti menconteng, mewarna, menyalur, menyambung garis putus-putus dan menyalin, kesemua aktiviti ini perlu dilalui oleh anak supaya mahir menulis. Asasnya, anak-anak perlu banyak melakukan latihan untuk mahir menulis. Practice makes perfect!
Berikut adalah 5 tip yang boleh dijadikan panduan untuk meningkatkan kemahiran menulis anak anda:
Pegang betul-betul
Jika diperhatikan, ramai kanak-kanak terutamanya di peringkat awal masih belum boleh memegang bahan menulis seperti pensel dengan betul. Contohkan dan bimbing anak supaya cara dia memegang pensel adalah betul yakni pensel dipegang menyentuh ibu jari, jari telunjuk dan jari hantu. Berikut merupakan tahap perkembangan “pencil grasp” yang sesuai mengikut peringkat usia anak.
Kredit Gambar: kidlink.net.au
Ruangan menulis
Wujudkan satu ruang khas untuk anak menulis. Ruang yang bebas daripada gangguan seperti televisyen. Ini supaya anak tidak terganggu dan boleh fokus dalam membuat aktiviti. Sediakan juga kerusi dan meja yang sesuai dengan saiz badan anak supaya anak dapat duduk selesa dengan postur yang betul.
Jadual aktiviti
Wujudkan jadual aktiviti menulis yang boleh dibuat secara harian atau mingguan. Dengan adanya jadual, aktiviti untuk melatih kemahiran menulis ini pasti menjadi satu rutin yang anak nanti-nantikan. Ibu bapa perlu kreatif untuk merancang jadual dan aktiviti-aktiviti menarik yang boleh dibuat bersama-sama anak.
Pelbagaikan media
Jangan hadkan aktiviti penulisan kepada buku bergaris dan pensel. Anda boleh menggunakan pelbagai media seperti warna pensel, krayon, warna air, kapur tulis, kertas pelbagai tekstur, kain terpakai, surat khabar lama dan banyak lagi.
Selain daripada bahan-bahan maujud, mobile app untuk melatih kemahiran menulis beserta permainan berunsur interaktif pun banyak yang boleh dimuat turun. Namun begitu, penggunaan gajet juga perlu dipantau. Pastikan anda mengawal tempoh screen time anak supaya tidak berlebihan. Kepelbagaian media pasti membuatkan anak sentiasa teruja untuk berlatih menulis.
Anda sebagai suri teladan!
Anda sendiri boleh menunjukkan contoh menulis yang baik. Tulis dengan perlahan, kemas dan teliti supaya anak dapat lihat proses menulis itu sendiri. Apabila anda yang mencontohkan, anak pasti lebih jelas dan dengan sendiri akan mengikut apa yang anda lakukan. Dalam apa-apa perkara pun, kita sebagai ibu bapa yang perlu menunjukkan contoh yang terbaik kepada anak.
Kemahiran menulis memerlukan latihan yang konsisten, masa yang cukup dan kepelbagaian aktiviti supaya anak sentiasa fokus dan gembira semasa belajar. Anda sebagai ibu bapa sendiri pasti tahu tahap perkembangan dan minat anak anda sendiri jadi susunlah aktiviti yang bersesuaian dengan kehendak mereka. Puji mereka walaupun untuk sekecil-kecil pencapaian, raikan mereka dengan kata-kata pujian, pelukan dan kasih sayang. InsyaAllah usaha mendidik anak di rumah pasti diberkati dan dipermudahkan oleh Allah SWT.