Adakalanya, anak susah hendak buka mulut membaca. Bukan dia tak tahu tetapi mereka ni ‘just refuse‘ untuk berlatih membaca. Ada antara kita yang tertanya-tanya apa yang perlu dibuat kepada anak-anak yang tidak lancar membaca. Biasanya anak-anak yang belum lancar membaca ini malas nak membaca. Walhal untuk lancar membaca, nak tak nak mesti rajin membaca. Jadi, kita ibu bapa yang bengang. Bila dah bengang, mulalah nak marah. Bila suruh membaca, liat saja dia, kita pun mulalah tunjuk taring. Bila kita tunjuk taring, anak tu lagi tak suka nak membaca. Dan masalah tu berlarutan.
Antara cara yang mungkin boleh dijadikan panduan untuk menarik minat anak supaya cintakan membaca:
- Pilih buku yang menarik, tulisan yang agak besar dan sesuai dengan tahap keupayaan bacaannya.
- Pilih buku cerita yang kisahnya menarik minatnya. Contohnya kalau anak lelaki biasanya suka kereta… Kalau ada buku cerita tentang kereta memang bagus. Kalau anak perempuan pula biasanya suka kucing, princess dan sebagainya…
- Cuba bergilir-gilir membaca dengan anak. Sama ada bergilir-gilir membaca perkataan atau bergilir-gilir membaca ayat atau bergilir-gilir membaca perenggan. Bergantung kepada tahap keupayaannya membaca. Dengan cara ini anak tidak akan rasa tertekan untuk membaca.
- Buat carta pencapaian atau star chart untuk anak. Anak boleh lihat ‘stars’nya berkembang (dia membaca dengan lebih lancar) dari sehari ke sehari.
Kelancaran membaca amat penting. Anak itu mesti boleh membaca sehingga dirasakan membaca macam dah jadi second nature. Dia mesti boleh membaca dalam keadaan selesa untuk mencapai matlamat utama membaca iaitu kefahaman. Dia memerlukan mindanya lebih untuk memahamkan teks bacaan dan bukan lagi untuk menafsirkan huruf-huruf kepada bunyi dan kemudian menggabungkan bunyi-bunyi itu membentuk suku kata dan seterusnya perkataan dan ayat. Selamat mencuba!