Tiada sebab untuk anda berasa segan atau malu apabila bercakap tentang seks dan seksualiti dengan anak anda. Cuba untuk menjawab soalan yang diutarakannya dengan sebaik mungkin. Masa terbaik untuk mula membincangkannya adalah ketika dia di alam prasekolah. Gunakan rutin harian seperti waktu mandi atau ketika bersiap untuk bercakap tentang anggota badan dan sentuhan selamat.
Mula dengan mengajar perkara ringkas kepada anak anda seperti nama anggota sulit dan penjelasan mudah tentang asalusul bayi. Bercakap menggunakan fakta dan gunakan nama anggota badan yang betul seperti zakar, faraj, dan buah dada (kanak-kanak biasa mengambil perkara secara bulat-bulat). Anda mungkin perlu menjelaskan fungsi anggota tersebut, contohnya, rahim adalah seperti kantung yang menempatkan bayi dengan selamat di dalamnya.
Sebagai Permulaan…
Gunakan bahasa yang sesuai untuk menjelaskan perlakuan reproduktif dan berikan contoh berbentuk gambar untuk membantu pemahaman mereka. Berjenakalah sambil berbincang dan pastikan ianya tidak keterlaluan. Akhir sekali, jangan bimbang jika anda memberi ‘terlalu banyak’ maklumat kepada mereka.
Berikut adalah panduan ringkas pendekatan mengikut umur
Mencegah penderaan seksual kanak-kanak
Satu lagi aspek penting adalah mencegah penderaan seksual kanak-kanak. Jangan takut untuk menjadikannya topik perbualan dengan anak anda. Penderaan ini berlaku kepada sesiapa sahaja. Jumlah kes sebenar tidak didedahkan secara meluas (kebanyakan kes tidak dilaporkan), dengan sesetengah agensi berita melaporkan ‘sebanyak 22,000 kes dilaporkan sejak 2010’ atau ‘lebih 5,000 kes sejak 5 tahun lalu’.
Jangan hanya tertumpu pada ‘orang yang tidak dikenali’ kerana penjenayah penderaan seksual selalunya seseorang (lelaki atau wanita) daripada keluarga terdekat, seseorang yang dipercayai (seperti staf pusat asuhan atau pengasuh), malah mungkin juga adik-beradik lebih tua.
Mula dengan memberitahu anak anda jenis sentuhan yang boleh diterima dan tidak boleh diterima. Selanjutnya, anda harus mendidik mereka menjadi tegas apabila berdepan situasi sebegitu.
Peraturan Pakaian Renang
“Untuk mengajar anak anda tentang sentuhan selamat, gunakan peraturan pakaian renang sebagai panduan – tiada siapa dibenarkan menyentuh mereka pada kawasan tertutup. Beritahu mereka juga bahawa mulut adalah zon peribadi,” tegas Dr Rajini.
“Ajar mereka untuk melarang sebarang pencerobohan ruang atau sentuhan yang menyebabkan mereka tidak selesa. Ajar mereka untuk berkata ‘Tidak’ dan tekankan kepentingan menyuruh seseorang itu untuk berhenti. Ini harus disusuli dengan memberitahu anda tentang perkara tersebut. Yakinkan mereka bahawa mereka tidak bersalah dan perbuatan merahsiakan perkara tersebut tidak akan menyelesaikan masalah. Mereka harus mendedahkannya walaupun pesalah itu mengugut agar mereka mendiamkan diri.”
Kenal pasti tanda penderaan seksual
Malangnya, kebanyakan mangsa penderaan seksual takut atau terlalu malu untuk mendedahkan apa yang dihadapi mereka. Perhatikan tanda-tanda berikut.
Tanda-tanda untuk diperhatikan
Dr Rajini menasihatkan ibu bapa perlu berwaspada dengan sebarang perubahan perlakuan dan emosi yang berlaku secara tiba-tiba seperti:
- Ketakutan dan suka berkepit, terutama kanak-kanak kecil.
- Kembali kepada perlakuan yang sudah lama ditinggalkan, seperti kencing malam, menghisap jari, atau bercakap dengan tidak betul (bagi kanak-kanak kecil).
- Takut pada orang dewasa berjantina khusus.
- Ketakutan atau perasaan tidak suka yang melampau terhadap sentuhan fizikal atau takut untuk menjadi rapat dengan seseorang.
- Tiba-tiba tidak sanggup untuk keluar atau bersama-sama seseorang.
- Perubahan mendadak dari segi personalitinya.
- Menunjukkan tanda-tanda kemurungan dan kerisauan melampau.
- Menunjukkan tahap pengetahuan seksual yang tidak sewajarnya untuk umur mereka, terutamanya jika mereka tidak diajar tentangnya dan masih belum akil baligh.
Tanda-tanda fizikal penderaan seksual termasuklah:
- Kesakitan, perubahan warna, geseran, pendarahan, atau lelehan pada tempat sulit, punggung, atau mulut.
- Kesakitan semasa membuang air besar atau kecil yang berterusan dan sering berlaku.
- Terkencing atau terkincit (tidak berkaitan dengan latihan tandas).
Jika terdapat tanda-tanda di atas, berbincanglah dengan anak anda untuk cuba menentukan apa yang telah berlaku. Bertenang dan kekalkan perbualan secara ringan. Jika mereka mengesahkan segala syak wasangka anda, anda harus:
- membuat laporan polis.
- hantar mereka ke hospital kerajaan untuk pemeriksaan, jika terdapat bukti, doktor akan membantu anda membuat laporan polis.
- laporkan penderaan seksual yang disyaki itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat terdekat.
Jika anda berasa ragu-ragu selepas bercakap dengan anak anda, anda sentiasa boleh berunding dengan pakar pediatriknya berkenaan tindakan seterusnya. Anda juga boleh menghubungi Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) yang menawarkan sokongan emosi, kaunseling atau maklumat mengenai serangan seksual, rogol, penderaan seksual kanak-kanak atau sumbang mahram di Talian Bantuan Serangan Seksual mereka di 03-79603030 (Isnin-Jumaat, 9.00 pagi – 5.00 petang).
Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.
Artikel ini dipetik dengan izin daripada laman sesawang www.mypositiveparenting.org