“Sesekali terdengar suara kecil menyanyi riang sambil melakarkan sesuatu di dinding ruang tamu. Warna pensel bersepah-sepah di celah-celah kertas dan timbunan buku. Nun, di setiap penjuru rumah, kelihatan pelbagai jenis mainan – ada yang tersusun rapi dan ada pula yang berselerakan. Beberapa bongkah kayu pelbagai warna disusun membentuk beberapa menara tinggi di celah-celah kerusi dan meja ruang tamu. Tidak jauh dari situ kelihatan deretan kereta mainan pelbagai bentuk, saiz dan warna tersusun rapi dalam satu deretan dari bawah kabinet televisyen sehingga ke meja ruang tamu. Manakala sebahagian besar anak patung berbentuk superman, transformer, bear, kereta mainan, bola dan blok lego berselerakan di merata tempat ruang tamu seperti selepas di landa ribut taufan”
Situasi sebegini bukan suatu yang asing bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil di rumah. Suasana bertambah meriah apabila semua anak-anak kecil ini berada di rumah contohnya di hujung minggu, cuti persekolahan atau fenomena ‘penularan wabak ConVid-19’ yang memerlukan semua berada di rumah. Seringkali kita mendengar ibu bapa akan menjerit memarahi anak-anak atau mengarahkan anak-anak untuk “jangan bermain dan sepahkan mainan merata-rata.” Tahukah kita bahawa anak-anak yang aktif bermain ini merupakan anak-anak yang kreatif, bijak dan berimaginasi tinggi?
Sebagai ibu bapa, inilah peluang dan ruang yang ada untuk ibu bapa lebih mengenali kecenderungan setiap anak-anak. Luangkan masa untuk memahami minat anak-anak dan seterusnya memperkembangkan daya kreativiti anak-anak. Persoalannya, bagaimana aktiviti seharian anak-anak ini dapat digunakan oleh setiap ibu bapa untuk memperkembangkan daya kreativiti dan imaginasi kanak-kanak?
Umum memperakui bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memperkembangkan daya kreativiti dan imaginasi kanak-kanak. Sikap, komitmen dan sokongan ibu bapa dalam setiap aktiviti mainan anak-anak secara langsung meningkatkan ekspresi dan kecenderungan kreativiti kanak-kanak secara semula jadi. Justeru, sebagai Ibu bapa, sokongan ini juga akan dapat membantu anak-anak untuk menerima perubahan dalam setiap situasi yang dihadapi. Ibu bapa perlu sedar bahawa setiap anak-anak mempunyai perasaan yang terlalu bimbang atau kecewa atau tidak selesa apabila berada dalam situasi baharu, maka ini tidak memungkinkannya untuk mengekspresi potensi kreativiti dirinya. Bagaimanakah ibu bapa dapat mempersiapkan diri dan mental anak-anak untuk menerima perubahan atau situasi baharu tanpa menjejaskan daya inovasi atau kreativitinya?
Untuk menggerakan inovasi, kreativiti dan imaginasi anak-anak, ibu bapa perlu membantu anak-anak untuk cepat menerima perubahan persekitaran dengan cara-cara berikut:
Membantu anak-anak menyedari bahawa sesuatu permasalahan tidak mempunyai jawapan yang paling tepat atau jalan penyelesaian yang sama dan mudah.
Keterbukaan ibu bapa untuk menerima setiap jawapan, pandangan serta pendapat anak-anak walaupun ada kalanya, sukar untuk diterima akal amat penting. Menerusi pendekatan ini, ibu bapa telah menggalakan anak-anak untuk berfikir secara kritis dan kreatif.
Membimbing anak-anak menyedari bahawa banyak masalah mempunyai beberapa jawapan yang mungkin boleh diterima.
Sebagai ibu bapa, galakan dan bimbingan yang berterusan perlu diberikan sepanjang masa untuk membolehkannya meneroka dan mencari lebih daripada satu jawapan bagi sesuatu permasalahan. Latih anak-anak untuk terus menilai semua jawapan yang berbeza bagi mempertimbangkan kesesuaiannya dengan situasi yang terbaik.
Membantu anak-anak belajar untuk menilai dan menerima perasaan sendiri.
Ibu bapa yang prihatin akan sentiasa membimbing anak-anak agar tidak merasa bersalah apabila mempunyai perasaan atau keinginan terhadap sesuatu perkara yang berbeza. Persekitaran yang kondusif adalah bila mana semua idea dihormati dan diterima. Perbincangan dan perbahasan secara terbuka adalah cara terbaik untuk mencuba idea dalam suasana yang tidak menentu. Ibu bapa berperanan penting untuk memastikan setiap anak-anak mengambil bahagian secara proaktif.
Memberi pengiktirafan dan ganjaran atas kreativiti dan inovasi yang dihasilkan.
Usaha ini amat penting bagi menyedarkan anak-anak bahawa setiap idea kreatif mereka sentiasa dihargai oleh ibu bapa. Namun, ibu bapa juga perlu menyedarkan anak-anak bahawa hasil idea/ produk yang kreatif kadang-kadang ganjaran yang terbaik datangnya daripada diri sendiri.
Merasai kegembiraan dalam menghasilkan kreativiti dan menyelesaikan masalah.
Ibu bapa seharusnya dapat membimbing kanak-kanak untuk menyedari bahawa melakukan sesuatu yang kreatif adalah menyeronokkan. Kejayaan menyelesaikan sesuatu permasalahan itu adalah sesuatu yang membanggakan dan mengembirakan.
Menghargai diri dan meraikan perbezaan dan kelainan.
Kecenderungan ibu bapa untuk memberi ganjaran atas setiap tugasan yang dipertanggungjawabkan tidak akan menggalakkan kreativiti dan inovasi dalam kalangan anak-anak. Untuk menggalakan kreativiti, ibu bapa seharusnya mendidik kanak-kanak untuk menyukai diri mereka atas keunikan yang ada pada mereka.
Membangun ketekunan dan berpegang teguh.
Anak-anak perlu digalakkan untuk fokus dan meneruskan apa yang mereka lakukan sehingga selesai dan mencapai hasil yang kreatif. Sebagai contoh, ibu bapa boleh memberi peluang kepada anak-anak untuk berpegang pada sesuatu aktiviti tertentu di sesuatu sudut walaupun semua orang telah berpindah untuk melakukan sesuatu yang berbeza di sudut yang lain.
Sebagai rumusan, penerokaan melalui aktiviti bermain, anak-anak secara langsung mengekspresikan diri untuk lebih kreatif dalam cara berfikir dan bertindak atau membuat sesuatu yang asli/baru (original). Perlu diingatkan bahawa anak-anak secara semula jadinya kreatif. Mereka berkelakuan dengan cara tersendiri dan melakukan perkara-perkara yang unik dan dihargai oleh diri mereka atau orang lain. Sebagai ibu bapa, penelitian dari perspektif yang berbeza dan menghargai setiap sesuatu aktiviti atau hasil yang dibangunkan oleh anak-anak adalah penting untuk kesinambungan daya saing, kreativiti dan inovasi. Ini secara langsung membantu perkembangan daya kreativiti dan imaginasi dalam diri kanak-kanak.