AWAS! Jangkitan Parasit Daripada Haiwan Kesayangan

  • Reading time:7 mins read
  • Post category:Kesihatan

Dr. Emelia Osman

Pensyarah di Jabatan Parasitolgi & Entomologi Perubatan, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bagi sesetengah individu terutamanya kanak-kanak, memiliki haiwan peliharaan adalah sesuatu yang sangat mengujakan. Melihat sahaja gelagat haiwan peliharaan yang dikongsikan di media-media sosial sudah cukup memberikan keceriaan kepada orang ramai. Dek kerana kecomelan dan kemanjaan haiwan seperti kucing contohnya, sesetengah daripada kita menganggap haiwan kesayangan ini sebagai sebahagian daripada ahli keluarga. Terdapat kajian membuktikan interaksi dengan haiwan dapat menurunkan tahap kortisol (hormon yang berkaitan dengan tekanan), menurunkan tekanan darah, mengurangkan kesunyian, dan menaikkan ‘mood’ pemiliknya. Walau bagaimanapun, hubungan rapat di antara manusia dan haiwan peliharaan perlu diawasi, terutamanya dari aspek kebersihan. Ini adalah kerana sekiranya kita tidak cakna dan berhati-hati terutamanya selepas menyentuh haiwan ini, penularan penyakit zoonotik boleh berlaku.

Penyakit zoonotik adalah jangkitan yang ditularkan daripada haiwan kepada manusia oleh bakteria, virus, parasit serta kulat yang boleh mengganggu sistem tubuh manusia. Jangkitan ini menyebabkan gangguan kesihatan yang menimbulkan gejala seperti demam, keracunan makanan malah membawa maut sekiranya tidak mendapat rawatan dengan segera. Dalam perkongsian kali ini, penulis ingin mengetengahkan beberapa jangkitan zoonotik disebabkan parasit protozoa dan cacing yang boleh ditularkan oleh haiwan seperti kucing dan anjing.

1. Jangkitan Toksoplasma

Toksoplasmosis adalah penyakit yang disebabkan oleh sejenis parasit protozoa yang dinamakan Toksoplasma gondii. Ia biasanya hidup dan berkembangbiak di dalam usus kucing. Pada peringkat akhir pembiakan, parasit ini akan menghasilkan peringkat infektifnya, iaitu oosista yang dikeluarkan bersama najisnya. Apabila kucing membersihkan diri dengan menjilat bulunya, parasit ini akan dipindahkan daripada sisa najis yang terlekat di duburnya ke seluruh anggota badan. Manusia boleh mendapat toksoplasmosis ketika membelai kucing dan semasa membersihkan kotak najis kucing. Selain itu, penularan toksoplasmosis juga boleh berlaku melalui minuman atau makanan yang tercemar dengan oosista Toksoplasma yang infektif dan ketika menjalankan aktiviti berkebun.

Pada individu yang sihat, parasit toksoplasmosis mungkin hanya menyebabkan gejala ringan seperti demam selesema dan pembengkakan nodus limfa.  Walau bagaimanapun, sekiranya individu yang terjangkit adalah terdiri daripada wanita hamil atau mereka yang lemah ketahanan sistem imun tubuh, maka T. gondii boleh menyebabkan gejala yang lebih serius.  Toksoplasmosis kongenital pada pada ibu mengandung boleh meningkatkan risiko keguguran dan kelahiran mati. Hampir 50 peratus daripada kes akan menyebabkan kelahiran pramatang disertai dengan berat lahir rendah. Kebanyakan simptom pada bayi yang terjangkit akan dikaitkan dengan triad komplikasi yang biasa dilihat dalam kes-kes yang serius, termasuk hidrosefalus (“air pada otak”), chorioretinitis (keradangan koroid dan retina mata), dan kalsifikasi intrakranial (deposit tidak normal kalsium di dalam otak kerana jangkitan). Manakala jangkitan di dalam individu yang lemah imunitinya, terutamanya seperti pesakit AIDS, otak merupakan organ utama yang akan diserang oleh parasit. Ini adalah kerana tapak jangkitan  pendam parasit di dalam otak telah diaktifkan semula apabila pesakit mengalami sistem daya tahan imun tubuh yang rendah. Gejala seperti sakit kepala, masalah pertuturan, perubahan personaliti sehingga ke tahap koma boleh berlaku. Selain reaktivasi jangkitan di otak, jangkitan semula dalam mata (toksoplasmosis okular) juga berlaku dan boleh menyebabkan penglihatan kabur, kemerahan, sakit mata, bintik-bintik buta (skotoma), dan kepekaan cahaya yang melampau.

2. Jangkitan Cacing Gelang

Cacing gelang daripada spesies Toxocara spp. hidup di dalam usus anjing dan kucing. Kebiasaannya, haiwan kesayangan ini mendapat jangkitan parasit secara tidak sengaja kerana tertelan telur cacing  yang terdapat di dalam air, makanan atau tanah yang telah tercemar oleh najis haiwan yang telah dijangkiti. Kanak-kanak yang suka bermain dengan tanah atau pemilik haiwan kesayangan berisiko untuk mendapat jangkitan parasit seperti cacing gelang melalui cara ini.Telur cacing gelang daripada sisa najis haiwan yang melekat di bulunya boleh mencemarkan tangan individu jika tidak dicuci selepas bersentuhan dengan haiwan tersebut. Apabila manusia menelan telur cacing, telur akan menetas di dalam usus dan berkembang menjadi peringkat larva. Larva menembusi saluran vena dan mengikuti  aliran darah sehingga  ke jantung, dan kemudian ke rangkaian kapilari paru-paru seterusnya bergerak ke trakea. Individu yang terjangkit akan mengalami refleks batuk, yang menyebabkan  larva ditelan bersama dengan air liur dan masuk sekali lagi ke dalam perut dan seterusnya ke dalam usus.

Keterukan gejala bergantung kepada jumlah telur yang dimakan. Walaupun gejala jangkitan jarang kelihatan pada manusia, namun, gejala klinikal yang parah boleh berlaku pada bahagian mata. Hal ini adalah disebabkan oleh migrasi parasit Toxocara spp. boleh mengakibatkan kehilangan penglihatan, inflamasi pada mata atau kerosakan pada retina. Keadaan ini dikenali sebagai toxokariasis okular dan kebiasaannya hanya berlaku pada sebelah mata saja. Parasit ini juga boleh bermigrasi ke bahagian organ dalaman manusia yang lain, mengakibatkan gejala demam, kepenatan, batuk dan sakit pada bahagian abdomen. Keadaan ini pula dikenali sebagai toxocariasis visera.

3. Jangkitan Cacing Kait

Cacing kait daripada spesies Ancylostoma spp. adalah parasit yang berkembang biak di dalam usus anjing atau kucing. Haiwan yang dijangkiti akan mengumuhkan najis yang mengandungi telur cacing, yang seterusnya akan menetas di dalam tanah. Larva cacing bertahan di persekitaran lembap dan panas selama beberapa bulan. Kitar hidupnya adalah hampir serupa dengan cacing gelang, kecuali kaedah penularannya adalah  sedikit berbeza. Jangkitan cacing kait kepada manusia melalui haiwan peliharaan ini berlaku melalui penembusan kulit. Manusia berkemungkinan boleh mendapat jangkitan ini ketika berjalan tanpa memakai kasut, berkebun atau ketika membersihkan bekas najis haiwan peliharaan.

Walaupun larva cacing ini tidak dapat hidup lama di dalam tubuh manusia, namun ia berupaya menyumbang kepada gejala klinikal yang perlu dirawat. Jangkitan cacing kait ini mengakibatkan kerengsaan kulit seperti gatal-gatal dan kemerahan yang mungkin kelihatan seperti garis berlekuk di bawah kulit. Penyakit yang diakibatkan oleh cacing kait haiwan ini juga dikelani sebagai larva migrans kulit. Jangkitan ini boleh menyebabkan ketidakselesaan ringan hingga melampau pada individu yang dijangkiti.

4. Jangkitan Cacing Pita

Terdapat beberapa spesies cacing pita haiwan  yang dapat disebarkan kepada manusia. Spesies cacing pita, Dipylidium caninum merupakan diantara contoh cacing pita yang biasa menjangkiti anjing dan kucing. Kebiasaannya, jangkitan zoonotik parasit ini kepada manusia berlaku secara tidak sengaja. Menariknya tentang cacing pita ini, ia memerlukan perumah perantara sebelum menjangkiti perumah sebenar. Contohnya,  telur cacing D. caninum  akan dimakan oleh serangga seperti  pinjal, seterusnya menetas dan membentuk sista di dalam pinjal. Manusia boleh mendapat jangkitan ini apabila termakan pinjal yang terjangkit dengan sista cacing pita ini.  

Secara amnya, jangkitan cacing pita berlaku secara tidak sengaja kepada manusia apabila anjing atau kucing membersihkan bulu mereka dengan menggigit kutikel pinjal sehingga pecah dan mengeluarkan sista cacing yang melekat ke bulunya. Aktiviti mengusap bulu haiwan kesayangan dan kemudiannya memasukkan sesuatu ke dalam mulut tanpa mencuci tangan terlebih dahulu selepas bermain dengan haiwan peliharaan boleh mengakibatkan individu termakan sista cacing pita tanpa sedar. Kanak-kanak kecil berkemungkinan besar memakan pinjal yang terjangkit dengan cacing pita secara tidak sengaja kerana mereka cenderung memasukkan barang ke dalam mulut mereka.

Pencegahan dan Kawalan

Untuk memastikan keluarga kita selamat dari jangkitan parasit zoonotik, aspek kebersihan diri hendaklah dititikberatkan. Beberapa pencegahan yang boleh dilakukan adalah seperti berikut:

  • Membasuh tangan dengan air dan sabun selepas bermain dengan haiwan atau berada di sekitar haiwan tersebut, walaupun tidak menyentuhnya.
  • Elakkan digigit atau dicakar oleh haiwan peliharaan.
  • Pakai kasut ketika berjalan di kawasan yang berhampiran dengan haiwan peliharaan.
  • Menggunakan sarung tangan ketika membersihkan kotak najis haiwan atau berkebun.
  • Mengawasi anak-anak anda ketika mereka bermain dengan haiwan. Elakkan mereka mencium atau tidur dengan haiwan tersebut.
  • Membawa haiwan kesayangan ke klinik haiwan untuk diperiksa oleh doktor haiwan dan divaksin.
  • Segera mendapatkan rawatan sekiranya terdapat gejala-gejala jangkitan zoonotik.

Semoga ahli keluarga dan haiwan kesayangan bebas daripada jangkitan parasit.

 Rujukan:

  1.  Jones JL, Lopez AL, Wilson M, et al. Congenital toxoplasmosis: a review. Obstet Gynecol Surv 2001;56:296-305.
  2.  Molina CP, Ogburn J, Odegboyega P. Infection by Dipylidium caninum in an infant. Arch Path Lab Med 2003;127:e157-159.
  3. Peter M. S. 2007. Division of Parasitic Diseases National Center for Zoonotic, Vector borne and Enteric Diseases Centers for Disease Control and Prevention Atlanta, GA
  4.  Schantz PM. Larva migrans syndromes caused by Toxocara species and other helminths. In: Gorbach SL, Bartlett JG, Blacklow NR, eds. Infectious diseases. 3rd ed. Philadelphia, Pa: WB Saunders Co, 2004;1529-1535.

This Post Has One Comment

  1. Kamarudin bin Mat Rawi

    Sangat berguna untuk pengatahuan dan pencegahan.

Leave a Reply