Anak-anak zaman digital ini dibanjiri dengan pelbagai jenis permainan yang mudah dicapai melalui gajet elektronik. Kita perlu sedar bahawa jika tempoh masa dengan gajet tidak diawasi dengan bijak, ia boleh mengakibatkan masalah kesihatan seperti sakit mata, telinga dan obesiti. Selain itu, anak boleh mengalami gejala ketagihan gajet seperti cepat marah dan gangguan tidur. American Academy of Pediatrics (AAP) menyarankan penggunaan gajet selama 1 jam sahaja bagi anak-anak berumur 18 bulan – 5 tahun. Pihak AAP juga menegaskan bahawa aktiviti tersebut perlu dilakukan bersama-sama dengan ibu atau bapa. Ini membolehkan ibu bapa terlibat secara langsung dengan mereka. Sebagai contoh, memberi komen apabila melihat rama-rama di skrin, seolah-olah anda dan anak sedang berada di taman.
Apakah aktiviti alternatif yang ibu bapa boleh cadangkan kepada anak-anak? Cuba imbau kenangan semasa zaman kanak-kanak kita. Ketika itu, kita dapat berkumpul dengan kawan-kawan di halaman rumah, padang atau taman permainan untuk bermain bersama-sama. Kita bermain galah panjang, guli, congkak dan sebagainya. Namun, dalam era digital ini permainan tersebut hampir pupus ditelan zaman.
Permainan tradisional sebenarnya banyak memberi manfaat seperti meningkatkan fokus, membina kemahiran motor kasar dan juga motor halus anak-anak. Antara permainan tersebut adalah:
Galah Panjang
Foto Kredit : toodia.my
Permainan galah panjang merupakan sejenis permainan yang memerlukan pemain melintasi garisan-garisan melintang berhalang. Permainan ini memerlukan ramai pemain. Setiap ahli kumpulan perlu mempunyai kemahiran berlari dan kecekapan berhenti dengan cepat ketika melepasi petak kawasan yang dijaga oleh pasukan lawan. Aktiviti ini bukan sahaja dapat melatih fokus anak-anak tetapi dapat mengeratkan hubungan persahabatan antara satu sama lain.
Batu Seremban
Foto Kredit : locco.com.my
Permainan batu seremban adalah satu permainan tradisional yang sangat santai. Kita hanya perlu duduk sahaja untuk bermain permainan ini. Namun, ia memerlukan fokus yang sangat tinggi ketika membaling dan menangkap semula batu yang dibaling.
Congkak
Foto Kredit : https://blog.tourism.gov.my/
Permainan congkak bukan sahaja sesuai untuk anak-anak, tetapi ibu bapa juga boleh bermain bersama-sama. Permainan ini memerlukan dua orang pemain dalam satu masa. Permainan ini bukan sahaja meningkatkan fokus anak-anak tetapi kecekapan pemain untuk mengawal perjalanan untuk mengumpul sebanyak mungkin buah congkak ke dalam “rumah” mereka. Ia juga melatih kemahiran matematik dalam mengatur strategi untuk menang.
Main Guli
Foto Kredit : http://tabikakemasbesout2.blogspot.com/
Bermain guli merupakan satu permainan yang memerlukan fokus yang sangat tinggi untuk menjentik atau membaling guli tepat pada sasaran. Ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak yang berumur antara 7 tahun sehingga 12 tahun. Permainan ini biasanya dimainkan oleh 5 orang.
Main Lidi
Foto Kredit :https://www.theodysseyonline.com/
Dahulu kita menggunakan penyapu lidi atau lidi kelapa untuk bermain permainan ini. Permainan lidi ini memerlukan teknik tertentu untuk mengambil lidi daripada timbunan lidi tanpa menggerakkan lidi-lidi yang lain. Permainan ini sesuai dimainkan oleh sesiapa sahaja. Kanak-kanak akan gembira dan seronok apabila berjaya memperoleh banyak lidi.
Dedahkanlah permainan tradisional ini kepada anak-anak agar ia kekal sebagai sebahagian warisan budaya kita. Ia murah dan bebas elektronik. Penting untuk anak-anak berehat seketika daripada terlalu asyik dengan gajet.